Skip to main content

Tip10 : 7 Masalah Draf Pertama & Cara Membaikinya

Baru-baru ini, saya menerima emel daripada agen literari. Editor meminta manuskrip kami dibaiki. Pedih, memang pedih tetapi peluang mendapat komen daripada editor adalah sesuatu yang amat baik. Ambil positif, dan lihat semula komen editor, ayat demi ayat.

Alhamdulillah, dua rakan penulis bersama saya juga adalah penulis berjiwa besar dan terbuka apabila ditegur.
Maka, kami berkumpul dan membincangkan cara menambahbaik manuskrip yang sudah siap ditulis supaya menepati kehendak penerbit dan disukai editor.

Menurut Anthony Ehlers (writerswrite.co.za), ada 7 masalah utama dalam draf pertama.



Apa masalah utama dalam draf pertama kita?
Bagaimana mahu membaikinya?

[1] Cerita bermula terlalu perlahan
Masalah ini berlaku apabila penulis sibuk mahu memberikan deskripsi panjang lebar mengenai suasana atau watak sehingga menenggelamkan bahagian cerita yang menyampaikan matlamat atau masalah watak utama yang mahu diselesaikan dalam cerita.

Baiki : Tulis di ruangan lain ciri-ciri watak utama kita. Tulis sebanyak mungkin, sehinggalah kita rasa kenal dengan watak itu tanpa perlu mengisahkan panjang lebar dalam naratif. Kemudian, cari satu poin yang mengubah sikap watak kita dan penting untuk dituliskan dalam cerpen.


[2] Hero / heroin terlalu baik
Ada masanya, kita mencipta watak yang terlalu sempurna sehingga tiada cacat walaupun sedikit. Itu tidak normal dan ia menimbulkan rasa bosan. Seperti diri kita sendiri, setiap manusia ada kekurangan. Begitu juga watak kita.

Baiki : Masukkan kekurangan watak yang disebabkan oleh sikap, seperti
(1) Selalu tidur semula selepas solat Subuh dan bangun lewat
(2) Selalu main game sehingga lewat
(3) Kerap solat akhir waktul
(4) Mudah mengamuk apabila lapar


[3] Plot cerita terhenti di tengah-tengah
Ini masalah yang biasa berlaku semasa menyiapkan draf pertama. Ia sering mengganggu sehingga akhirnya penulis memilih meletak pen atau berhenti menulis cerita. Masalah serupa kemudiannya berlaku dengan cerita lain yang ditulis selepas itu dan beterusan....

Baiki : Sediakan rangka karya, dengan jalan cerita yang jelas. Fokus pada konflik dan perkembangan watak di sepanjang cerita.


[4] Mengedit semasa menulis
Situasi ini, tidak dapat tidak, ia adalah masalah kebanyakan penulis. Tanpa disedari, sikap ini membuat kita terlupa fokus jalan cerita asal dan akhirnya draf cerita tergantung atau siap tetapi hilang fokus.

Baiki : Sediakan masa untuk mengedit. Bina disiplin sendiri dengan berjanji hanya akan membetulkan ejaan dan bahasa selepas menulis selama satu jam. Masa mengedit pun, kita terhadkan selama 10 atau 15 minit sahaja.


[5] Tiada dialog / Terlalu banyak dialog
Ada masanya, kita menulis terlalu banyak naratif sehingga terlupa memasukkan dialog. Ataupun, dialog yang ditulis tidak membantu perkembangan cerita.

Baiki : Berlatih memasukkan dialog dalam karya, sekurang-kurangnya dalam pecahan 70% naratif - 30% dialog. Dialog yang ditulis juga, kaitkan dengan sikap dan emosi watak.


[6] Cerita tidak hidup / tidak sampai
Jalan cerita sukar difahami atau membosankan pembaca apabila ia terlalu penuh dengan ayat memberitahu.

Baiki : Kaitkan cerita dengan lima deria manusia sebanyak mungkin (rasa, sentuh, bau, dengar dan lihat). Pembaca suka, apabila mereka boleh membayangkan cerita yang ditulis.


[7] Kita sudah bosan dengan cerita sendiri
Bagaimana hendak tahu sama ada kita bosan atau tidak dengan cerita sendiri? Ia berlaku apabila kita rasa, plot cerita hambar atau sudah boleh diagak. Kita tidak teruja dengan cerita sendiri.

Baiki : Cari permulaan bahagian cerita yang hambar dan tambah twist. Bahagian cerita yang kita suka, kembangkan lagi dengan konflik dan selesaikan.


Saya datangkan dua contoh di sini :
Contoh :
(1) Sejak usianya mencecah 11 tahun, Akmal sudah tidak kenal rasa takut. Ketika semua budak lelaki sebayanya sedang berlari-lari di padang sekolah atau bergurau di dalam kelas, dia sudah terpaksa berhadapan dengan realiti kehidupan yang kejam. Sewaktu anak-anak lain berlumba-lumba mendapatkan keputusan peperiksaan paling cemerlang sebagai hadiah kejayaan dan pencapaian hidup, dia sudah terpaksa berlari-lari di celah lorong sunyi di ibu kota. Ada masanya, kaki Akmal tersadung dan dia jatuh dengan luka yang tidak kecil. Ada waktunya, Akmal hanya bermalam di bawah langit, beralaskan kotak yang sudah koyak sana sini, menahan gigil sendiri. Ada masanya, dia memeluk kedua lutut, mengharapkan ada yang singgah mengirim makanan walaupun ia sudah hampir basi.

(2) Hari itu, langit gelap pekat. Seperti hati yang menyimpan marah sebagai titik-titik hitam yang akhirnya berkumpul dan menghitamkan, yang akan dilepaskan bila-bila masa sahaja. Guruh berdentum kuat dan sesekali, pancaran kilat melintas di langit. Tidak cukup dengan itu, angin bertiup kencang sehingga hampir-hampir menerbangkan atap genting di sebuah rumah setinggan di pinggir kota.
Namun, di sebalik semua itu seorang budak lelaki sedang berdiri tegak di tengah-tengah halaman sebuah rumah agam. Tanpa mempedulikan tiupan angin, dia memandang ke pintu rumah besar itu tanpa mengedipkan mata.

Apa yang kita rasa daripada kedua-dua contoh ini?

Nota :
Draf pertama, tidak dapat tidak adalah karya yang akan kita edit berkali-kali. Penulis Ain Maisarah mengedit manuskrip sebanyak lima kali sebelum menghantarnya kepada editor.

Comments

Popular posts from this blog

Reviu Buku : BUDAK KAMPUNG CONGO

Buku setebal 224 halaman tulisan Zyed Ahmad Hassan ini baru sahaja terbit. Naskhah terbit sendiri ini kaya dengan cerita pengalaman orang lama. Saya menikmati pelbagai perasaan yang datang sewaktu membacanya. Saya terkejut, ketawa besar, tersenyum, cemas, terjerit, menutup mata, dan menangis sepanjang membacanya.
Melihat judulnya, ada yang menyangka ini himpunan kisah pemuda-pemuda dari Congo, Afrika. Tentu sahaja salah tekaan itu, apatah lagi untuk orang macam saya yang tak pernah tahu Kampung Congo itu adalah tempat yang sama dengan Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.
Dikatakan, nama itu diberi kerana ia diteroka sekumpulan askar Melayu yang pernah berkhidmat di Congo. Sebahagian besar kisah dalam buku ini meliputi dua lokasi utama; Kampung Congo dan Kampung Jeram. Sebahagian lokasi lain hanya disentuh selepas Budak Congo ini memasuki sekolah menengah dan alam pekerjaan.
Disusun mengikut kronologi usia watak, saya terhibur membaca kisah-kisah nakal waktu kecilnya. Seronok mengikuti pe…

Mengintai Ruang Berkarya di Majalah (Cerpen)

Dalam dunia penulisan fiksyen, salah satu cara cepat untuk membina nama adalah melalui penerbitan cerpen di akhbar, majalah atau antologi penerbit yang tumbuh semakin banyak.

Secara tidak langsung, menghantar karya supaya terbit di ruang terbitan berkala menjadi platform yang baik membina momentum dan semangat untuk terus berkarya. Sementara menanti manuskrip novel dibukukan, kaedah ini ada masanya dilakukan ramai penulis tempatan. Kita juga tidak mahu menjadi penulis yang berputus asa kerana tidak ada karya yang terbit.

Hari ini, saya mahu berkongsi mengenai penerbitan karya secara eceran di majalah tempatan.
Bagaimana mahu melihat karya terbit di majalah?

Langkah Pertama: Beli majalah Buat pelaburan awal anda dengan membeli majalah yang ada di pasaran. Ciri penulis yang baik, tindakannya dirancang dan bermatlamat.


Sudah ada majalah? Semak tiga perkara.
Satu, maklumat editorial dan ruang kolum majalah. Ada ruang karya pembaca? Jika ada, adakah ia ruang cerpen atau puisi?

Dua, periksa …

Reviu Buku : Chimera Naga Terakhir

Chimera Naga Terakhir Penulis: Hasif Rayyan Penerbit: Aye Chip Enterprise 296 halaman


Judul buku ini jelas, ia adalah karya genre fantasi. Hanya, apabila membacanya saya dapat melihat penulis muda yang juga seorang guru sains ini turut tidak melepaskan peluang menerapkan pengetahuan sains kepada pembaca di dalam penulisannya. Usaha yang baik.
Pada awalnya, saya mengikut siri ini melalui laman Instagram penulisnya. Perkongsian petikan-petikan perenggan di ruang kapsyen gambar cover buku yang dilakukan buat beberapa minggu itu berhasil menarik perhatian saya. Dari situ, saya tidak berfikir panjang apabila Hasif memaklumkan naskhah Chimera Naga Terakhir sedang dicetak.
Kali pertama membelek buku ini, saya terfikir-fikir mengapa nama ilustrator diletakkan di kulit buku. Barangkali, sebagai penghargaan kepada pelukis kulit buku itu sendiri, memandangkan penulis pernah terlibat dalam projek komik. Jangkaan saya meleset apabila melihat terdapat beberapa halaman ilustrasi watak dimuatkan di dalam…