Skip to main content

5 Langkah Menjadi Penulis Professional

Hari ini saya direzekikan hadir ke Seminar Facebook Menjadi Buku di Wisma Sejarah. Alhamdulillah, banyak perkongsian bermanfaat disampaikan oleh para pemain industri yang pakar dalam bidang masing-masing.

Pada sesi akhir, Tuan Syarafuddin Sulaiman, seorang editor berkongsi sesuatu yang menarik mengenai langkah menjadi penulis.

Lima langkah tersebut adalah:
1. Bermula sekarang. Jangan bertangguh lagi.
Kita tidak menjadi penulis dengan hanya berkata, "Saya mahu menjadi penulis."



Saya ada kongsikan mengenai 4 kategori penulis di laman Facebook :
i. Professional, iaitu golongan yang jelas dengan tujuan dan matlamat sebagai penulis.
ii. Anorak, kumpulan penulis yang masih samar dengan tujuan dan genre yang mahu ditulis.
iii. Penggemar seni (The Dilettante) iaitu kumpulan yang menghargai seni lalu menjadikan aktiviti penulisan sebagai hobi.
iv. Pengkhayal iaitu kumpulan individu yang berhasrat menjadi penulis dan menyimpan impian di dalam fikiran.

Kita akan kekal di dalam kumpulan Pengkhayal selagi mana kita tidak bertindak.
Naikkan kedudukan kita ke kategori ke-3, SEKARANG.

2. Tulis secara konsisten, setiap hari.
Sudah bermula?
Kekalkan momentum itu dengan menulis setiap hari. BERHENTI MENUNGGU inspirasi. Ubah sikap ini dengan MENCARI inspirasi supaya kita boleh menulis setiap hari.

Bagaimana mahu memastikan perkara ini boleh dilakukan? Berhenti apabila sasaran sudah dicapai. Sambung kerja kita esok. Biarkan minda separa sedar kita bekerja dengan idea yang sudah dirancang untuk esok.

3. Tetapkan sasaran dan capai.
Stephen King memastikan dia menambah 5000 patah perkataan ke dalam manuskripnya setiap hari.

Ia sasaran yang perit untuk kita capai.
Tetapi, kita tidak sedar satu perkara. Kenyataan ini akan lebih perit apabila kita tahu ia amalan penulis berjaya, tetapi kita tidak mahu mengambil langkah serupa.

Sasaran, ia sesuatu yang payah tetapi tidak mustahil untuk dicapai. Jika 5000 terlalu banyak, mulakan dengan 500 patah perkataan.



4. Sukar menulis seorang? Cari rakan kongsi atau duduk dalam jemaah.
Ini rahsia kejayaan James Patterson menghasilkan buku dengan sangat kerap. Beliau mempunyai pasukan penulis.

Dalam situasi lebih mudah, ada individu yang kreatif menjana plot dan idea bagi sinopsis yang baik. Tetapi, ada individu yang lebih mahir menulis berbanding mengeluarkan idea sinopsis atau plot.

Lebih ramai, lebih meriah.

Boleh bayangkan idea yang akan terhasil apabila dua orang kreatif duduk bersama?
Di seminar tadi, Tuhan rezekikan saya mendapat DUA sinopsis menarik semasa berbual dan berkongsi rasa dengan rakan penulis (dalam masa tidak sampai 30 minit).

Alhamdulillah.

5. Fokus.
Selepas mempunyai hala tuju, seorang penulis perlu mempunyai disiplin yang tinggi. Apabila seorang penulis fokus dalam kerja penulisannya, proses kerjanya akan lebih teratur.

Selain itu, sikap ini akan membantu kita menguasai bidang sendiri dengan lebih baik. Seorang individu tidak menjadi pakar dalam satu hari. Ia memerlukan amalan dan latihan yang berterusan.

Seorang penulis professional bermula sebagai amatur. Yang membezakan dia dengan penulis amatur lain adalah, dia TIDAK BERHENTI.

Jalan terus!
Apabila sesat, cari semula tujuan dan sasaran kita. Fokus lagi.

Yang baik itu daripada Allah. Kekurangan dan keburukan itu adalah daripada kesilapan saya.

Jom selfie. Mari muhasabah diri.

Comments

Popular posts from this blog

Reviu Buku : BUDAK KAMPUNG CONGO

Buku setebal 224 halaman tulisan Zyed Ahmad Hassan ini baru sahaja terbit. Naskhah terbit sendiri ini kaya dengan cerita pengalaman orang lama. Saya menikmati pelbagai perasaan yang datang sewaktu membacanya. Saya terkejut, ketawa besar, tersenyum, cemas, terjerit, menutup mata, dan menangis sepanjang membacanya.
Melihat judulnya, ada yang menyangka ini himpunan kisah pemuda-pemuda dari Congo, Afrika. Tentu sahaja salah tekaan itu, apatah lagi untuk orang macam saya yang tak pernah tahu Kampung Congo itu adalah tempat yang sama dengan Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.
Dikatakan, nama itu diberi kerana ia diteroka sekumpulan askar Melayu yang pernah berkhidmat di Congo. Sebahagian besar kisah dalam buku ini meliputi dua lokasi utama; Kampung Congo dan Kampung Jeram. Sebahagian lokasi lain hanya disentuh selepas Budak Congo ini memasuki sekolah menengah dan alam pekerjaan.
Disusun mengikut kronologi usia watak, saya terhibur membaca kisah-kisah nakal waktu kecilnya. Seronok mengikuti pe…

Mengintai Ruang Berkarya di Majalah (Cerpen)

Dalam dunia penulisan fiksyen, salah satu cara cepat untuk membina nama adalah melalui penerbitan cerpen di akhbar, majalah atau antologi penerbit yang tumbuh semakin banyak.

Secara tidak langsung, menghantar karya supaya terbit di ruang terbitan berkala menjadi platform yang baik membina momentum dan semangat untuk terus berkarya. Sementara menanti manuskrip novel dibukukan, kaedah ini ada masanya dilakukan ramai penulis tempatan. Kita juga tidak mahu menjadi penulis yang berputus asa kerana tidak ada karya yang terbit.

Hari ini, saya mahu berkongsi mengenai penerbitan karya secara eceran di majalah tempatan.
Bagaimana mahu melihat karya terbit di majalah?

Langkah Pertama: Beli majalah Buat pelaburan awal anda dengan membeli majalah yang ada di pasaran. Ciri penulis yang baik, tindakannya dirancang dan bermatlamat.


Sudah ada majalah? Semak tiga perkara.
Satu, maklumat editorial dan ruang kolum majalah. Ada ruang karya pembaca? Jika ada, adakah ia ruang cerpen atau puisi?

Dua, periksa …

Reviu Buku : Chimera Naga Terakhir

Chimera Naga Terakhir Penulis: Hasif Rayyan Penerbit: Aye Chip Enterprise 296 halaman


Judul buku ini jelas, ia adalah karya genre fantasi. Hanya, apabila membacanya saya dapat melihat penulis muda yang juga seorang guru sains ini turut tidak melepaskan peluang menerapkan pengetahuan sains kepada pembaca di dalam penulisannya. Usaha yang baik.
Pada awalnya, saya mengikut siri ini melalui laman Instagram penulisnya. Perkongsian petikan-petikan perenggan di ruang kapsyen gambar cover buku yang dilakukan buat beberapa minggu itu berhasil menarik perhatian saya. Dari situ, saya tidak berfikir panjang apabila Hasif memaklumkan naskhah Chimera Naga Terakhir sedang dicetak.
Kali pertama membelek buku ini, saya terfikir-fikir mengapa nama ilustrator diletakkan di kulit buku. Barangkali, sebagai penghargaan kepada pelukis kulit buku itu sendiri, memandangkan penulis pernah terlibat dalam projek komik. Jangkaan saya meleset apabila melihat terdapat beberapa halaman ilustrasi watak dimuatkan di dalam…