Thursday, March 15, 2018

Reviu Buku : BUDAK KAMPUNG CONGO


Buku setebal 224 halaman tulisan Zyed Ahmad Hassan ini baru sahaja terbit. Naskhah terbit sendiri ini kaya dengan cerita pengalaman orang lama. Saya menikmati pelbagai perasaan yang datang sewaktu membacanya. Saya terkejut, ketawa besar, tersenyum, cemas, terjerit, menutup mata, dan menangis sepanjang membacanya.

Melihat judulnya, ada yang menyangka ini himpunan kisah pemuda-pemuda dari Congo, Afrika. Tentu sahaja salah tekaan itu, apatah lagi untuk orang macam saya yang tak pernah tahu Kampung Congo itu adalah tempat yang sama dengan Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.

Dikatakan, nama itu diberi kerana ia diteroka sekumpulan askar Melayu yang pernah berkhidmat di Congo. Sebahagian besar kisah dalam buku ini meliputi dua lokasi utama; Kampung Congo dan Kampung Jeram. Sebahagian lokasi lain hanya disentuh selepas Budak Congo ini memasuki sekolah menengah dan alam pekerjaan.

Disusun mengikut kronologi usia watak, saya terhibur membaca kisah-kisah nakal waktu kecilnya. Seronok mengikuti perjalanannya yang sempat merasa pengalaman 'membuka' kawasan baru. Lebih menyenangkan, ia sisi cerita Kuala Lumpur pada tahun-tahun awal kemerdekaan yang jarang dapat dilihat.

Paling saya suka, ada pesanan, kata hikmah atau peribahasa yang diselit dalam setiap episod. Seperti sedang mendengar ayah berkongsi cerita waktu kecilnya, yang kemudian diseimbangkan dengan nasihat mengenai kehidupan.

Mahu dapatkan buku ini? Klik foto


Saya sangat terkesan dengan peristiwa di lombong. Terkejut dan cemas dibuatnya. Sehingga selepas beberapa bab ke hadapan pun, saya masih ingat babak itu.   Saya juga senang dengan cara penulis menyesuaikan pesanan dengan kisah yang dipilih untuk diceritakan. Antaranya dalam tajuk Merancang Strategi, diingatkan mengenai usaha untuk mencapai cita-cita yang dimulakan dengan ayat ini,

"Bercita-cita tanpa usaha bukan cita-cita tetapi angan-angan."

Juga, meskipun ada beberapa babak berunsur seram dan misteri, saya berpuas hati apabila ia sekali lagi diseimbangkan dengan pesanan yang baik.

Peristiwa di sekolah asrama membuatkan saya sedih dan kesal. Betapa dadah sudah terlalu lama menghancurkan anak muda kita. Sehingga sekarang, ia masih menjadi barah yang merosakkan mentaliti masyarakat. Penulis bijak apabila dia mencari jalan menyelesaikan situasi, paling kurang pada peringkat yang ada dalam kuasanya waktu itu. Ini sikap penting yang boleh kita contohi.

Ada satu hal
yang sangat menarik, iaitu kisah Latihan Dril Kecemasan di sekolah. Sayang, ia 'terpaksa' dibiarkan tergantung. Kalaulah ada banyak lagi cerita mengenainya. Kalaulah ....

Jujur, saya berharap dapat membaca lebih banyak cerita zaman pekerjaan. Cabaran yang dihadapi dalam membangunkan anak syarikat, sehinggalah dilantik menjadi kemudi. Tetapi, kata penulis ia sengaja disimpan untuk dimuatkan dalam buku kedua.

Tidak mahu bongkar terlalu banyak sebenarnya, tetapi tahu-tahu tulisan saya sudah panjang begini.

Ya, ini kisah orang biasa yang berusaha keras mencapai cita-cita.

Akhir kata, selamat maju jaya Tuan Zyed Ahmad Hassan!

2 comments:

  1. Wah, mesti kisah menarik dari penulisnya, nanti aku mahu cari dan membelinya. Tahniah!

    ReplyDelete
  2. Reviu yang baik dan adii. Semoga buku ini dapat diterima oleh peminat di semua peringkat umur dan lapisan masyarakat.

    ReplyDelete