Monday, April 4, 2016

Bagaimana Mereka Melakukannya - Sofuan Saadon

Alhamdulillah, hari ini kita bersama seorang penulis muda. Beliau seorang guru berjiwa besar yang sedang bertugas di Matu, Sarawak. Beliau bertanya, kenapa saya memilihnya untuk sesi kali ini. Sebabnya, saya belum menemubual penulis yang membawa genre anekdot. Jadi, mari kita belajar sedikit mengenai penulisan anekdot daripada beliau.

Buat yang tidak tahu, Anekdot adalah sebuah cerita singkat dengan unsur humor atau menarik, yang mungkin menggambarkan kejadian atau orang sebenarnya. Anekdot selalu disajikan berdasarkan pada kejadian nyata melibatkan orang-orang sebenar, sama ada terkenal atau tidak, di suatu tempat yang dapat dikenalpasti.


Assalamualaikum wbt Sofuan. Terima kasih kerana sudi ditemubual.

Terima kasih kembali kerana sudi menemubual saya. Saya sangat berbesar hati dapat berkongsi sesuatu dengan orang yang pernah berkolaborasi dengan Hafiz Hamidun. Kira orang yang bertanya ini pun sudah sebaris artis la, kan? Kikiki....

1. Ehem. Macam-macam tuan ni. Pertama sekali, boleh ceritakan latar belakang diri dan karya tuan?

Nama penuh saya ialah Muhammad Sofuan bin Saadon. Lahir pada 10 Disember 1989 di Taiping, Perak. Beberapa bulan selepas saya lahir, keluarga saya berpindah ke Pengkalan Hulu, Perak dan terus menetap di sana sehingga sekarang. Ketika soalan ini dijawab, status saya masih bujang. 

Berkenaan pendidikan pula, selepas tamat pengajian tingkatan 6, saya melanjutkan pengajian ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Bahasa Melayu. Minor pengajian saya ialah Kesusasteraan Melayu. Saya ditempatkan di Matu, Sarawak sebagai seorang pendidik bagi majoriti anak Melanau di sini bermula pada 2 Julai 2014.

Sehingga hari ini, saya telah mempunyai tiga buku solo dan dua buku kumpulan cerpen bersama penulis-penulis lain. Buku-buku tersebut ialah Untuk Buat Anda Terkesan (2014), Anekdot Seorang Cikgu (2015), Dalam Bilik Darjah (2016), Kumpulan Cerpen Komplot Penulis (2015) dan Kumpulan Cerpen Sedetik.Doc (2016). Saya bertuah apabila buku 'Untuk Buat Anda Terkesan' yang sebelum ini diterbitkan sendiri telah diterbitkan semula oleh rumah penerbitan Mustread.




2. Soalan kedua, apa pendorong utama tuan menulis dan mengapa memilih stail penulisan anekdot?

Pendorong utama saya menulis ialah ibu saya sendiri iaitu Puan NoorAziah binti Ahmad. Beliau sentiasa menyokong apa saja pekerjaan yang saya lakukan termasuk dalam bidang penulisan ini. Selain beliau, saya didorong oleh diri sendiri. 
Bagi saya, menulis ini adalah satu hobi. Satu terapi bagi menenangkan jiwa, berkongsi cerita dan meluah rasa. Sejak di bangku sekolah, saya seorang yang suka berkongsi apa yang saya tahu dengan rakan-rakan. Walaupun mungkin perkara itu nampak kecil dan remeh, tetapi jika ia sesuatu yang baru bagi saya, saya akan sebarkannya pula kepada rakan-rakan. Selain menggunakan cara lisan, penulisan adalah medium lain untuk perkara ini dilaksanakan.

Penulisan anekdot begitu dekat dengan diri saya kerana dipengaruhi bahan yang saya baca. Sebelum saya mempunyai buku sendiri, saya lebih gemar membaca buku anekdot seperti ini berbanding novel. Kebiasannya, buku anekdot ini menggunakan gaya bahasa dan pendekatan yang santai dan bersahaja. Mudah untuk dibaca dalam apa jua keadaan.

Selain itu, struktur tulisan anekdot itu sendiri adalah padat dan ringkas. Saya ada masalah untuk mengembangkan idea penulisan saya menjadi panjang. Jadi, mungkin ini juga sebab saya memilih penulisan anekdot. 

3. You are  what you read. Nampaknya tuan dah jadikan ia, 'You are whta you read and write.'  Hebat! Bagaimana tuan bermula sebagai penulis? Apa langkah pertama yang tuan ambil untuk bergelar penulis?

Jika diikutkan, saya telah bermula pada tahun 2011 tetapi pada waktu itu saya tidak sedar yang saya sebenarnya telah menjadi 'penulis'. Saya masih ingat tarikhnya iaitu 11.11.11. Tarikh saya membuka blog ubatsofuan@blogspot.com dan mula menulis di situ. 

Akibat kesibukan dengan tesis semester akhir di universiti, blog tersebut tidak lagi aktif sehinggalah pada suatu hari, saya menerima mesej daripada seseorang yang menyuruh saya menulis buku kerana tertarik dengan perkongsian-perkongsian saya selama ini. Saya cuma tulis benda yang suka tak saya tak sangka orang lain pun suka. 

Langkah awal yang saya buat adalah mengemaskini kembali bahan dalam blog tersebut dan beberapa bulan selepas itu, saya terbitkan sendiri buku UBAT (Untuk Buat Anda Terkesan).

4. Apa cabaran paling besar yang tuan hadapi semasa menghasilkan manuskrip pertama?

Ketika menulis buku pertama, saya tak ada langsung buku tip penulisan sebagai rujukan. Malah, pada waktu itu juga saya tak pernah pergi ke mana-mana bengkel penulisan. Boleh dikatakan cabaran yang paling utama adalah saya perlu FIKIR dan BUAT SEMUANYA tanpa sebarang ilmu. Bukan setakat menulis, tetapi mencari editor, membuat kaver desain (upah kawan dengan topup), menghantar ke kedai untuk cetakan, mengambil pesanan dan menjualnya. 

Manuskrip UBAT itu pernah ditolak oleh beberapa penerbit. Inilah sebab utama saya menerbitkannya sendiri. Jadi, cabaran lain menulis buku pertama adalah mencari penerbit kepada manuskrip mengikut genre yang kita telah siapkan itu. Saya banyak belajar daripada ini. Nasihat saya kepada penulis di luar sana, jangan main hentam kromo saja hantar manuskrip anda itu. Kaji setiap penerbit sebelum niat mahu hantar. Jangan jadi macam saya. Manuskrip motivasi tetapi hantar kepada penerbit yang mengeluarkan novel-novel cinta. Memang wajiblah kena tolak.

5. Adakah tuan selesa dengan genre sekarang? Jika diberi pilihan, genre mana lagi yang tuan mahu cuba?

Saya sangat selesa dengan genre sekarang. Namun, saya sedar jika ini berterusan, saya tidak akan mencabar diri sendiri. Saya punya banyak impian dalam kerja penulisan ini. Ada yang telah tercapai. Banyak lagi yang belum. Salah satu daripadanya adalah mahu ada sekurang-kurangnya satu novel sebelum saya meninggalkan dunia ini buat selamanya. 

Saya tak ada kemahiran untuk menulis karya fiksyen. Cerpen pertama saya pun ambil masa enam bulan untuk disiapkan tapi syukur juga kerana Majalah Mingguan Wanita sudi mengeluarkannya dalam ruangan mereka. Semoga satu hari saya akan ada novel tulisan sendiri. Kalau pun tidak berjaya diterbitkan oleh mana-mana penerbitan, ia tetap menjadi satu kejayaan kepada diri saya.  

6. Diketahui, penulis sinonim dengan istilah writer's block. Apa yang tuan lakukan sewaktu tiada idea?

Kebanyakan karya saya adalah non-fiksyen. Dalam satu buku akan ada 100 lebih cerita. Jika berlaku writer's block, saya tinggalkan saja bahagian itu dan tulis bahagian lain. Jika berlaku lagi writer's block, saya tutup laptop dan buat kerja lain. Saya akan sambung balik pada masa lain.

Untungnya saya adalah kerana saya tak kejar apa-apa dateline. Ketika menulis sesebuah buku, saya hanya menulis sampai siap tanpa memikirkan kepada siapa saya mahu layangkan manuskrip itu. Jadi saya tak terikat dengan masa. Saya tulis bila-bila masa saya suka. 

7. Kita pindah ke soalan yang lebih teknikal. Jika tak keberatan, boleh tuan kongsi sedikit mengenai proses dan rangka kerja penulisan untuk salah sebuah manuskrip tuan?

Izinkan saya makan nasi goreng ayam ini dulu. Saya di kedai makan ni.

Bahan utama ketika menulis buku pertama ada blog saya sendiri. Saya mengambil bahan-bahan yang sesuai sebagai teras penulisan dan saya memperkemaskannya menjadi satu manuskrip. Berbeza dengan buku kedua dan ketiga yang saya gunakan facebook untuk menyimpan tulisan-tulisan tersebut sebelum dibukukan.

Saya serik untuk menyimpan bahan penulisan di dalam 'note' telefon. Risikonya sangat besar kerana jika telefon rosak, semua bahan penulis tidak akan dapat diselamatkan lagi. Saya juga ada pengalaman rumah dipecah masuk dan telefon dicuri. 

8. Dah kenyang? Mari kita teruskan lagi. Sepanjang pengalaman tuan sebagai penulis, apa perkara yang paling kritikal dan paling tuan pentingkan dalam berkarya dan mengapa?

Walaupun saya tidak menulis buku ilmiah atau sesuatu isu yang berat, saya meletakkan setiap karya saya perlu ada tiga elemen ini. Pendidikan, hiburan dan motivasi. Sia-sia orang hanya ketawa pada waktu itu jika tak ada apa yang mereka belajar atau bawa dalam kehidupan seharian mereka. Biarlah mereka dapat hanya satu ilmu baru dalam buku tetapi perkara baik itu akan berguna jika mereka aplikasi dalam hidup dan menyebarkan pula kepada orang lain. Ini sudah cukup buat saya gembira. 

9. Pendidikan, hiburan dan motivasi. Saya suka poin ini. Jadi, apa projek tuan yang akan datang? Mohon kongsikan sedikit, untuk makluman para pembaca.

Saya dengan seorang pelukis ilustrasi yang juga guru sedang merancang untuk membuat satu komik berpendidikan. Besar impian kami untuk melihat ada buku komik seumpama ini di sekolah-sekolah yang dihasilkan oleh guru sendiri, bukan pihak luar.

Di samping itu, saya juga telah dipertanggungjawabkan dengan satu projek penulisan cerpen. Saya akan bertindak sebagai penyelenggara bagi projek penulisan tersebut. Jika projek ini berjalan dengan lancar, ia akan menjadi projek buku pertama di bawah selenggaraan saya. 

10. Supaya boleh dijadikan rujukan para penulis lain, apa judul buku yang paling dekat di hati tuan (selain buku sendiri), sehingga dibaca berkali-kali sebab suka?

Walaupun saya lebih gemar membaca buku-buku anekdot atau catatan ringkas, buku yang dekat di hati saya bukanlah buku-buku seumpama itu. Buku yang dimaksudkan itu adalah sebuah novel bertajuk 'Jibam' tulisan Kartunis Ujang. Novel itu memaparkan citra masyarakat dengan begitu berkesan sehinggakan seolah-olah saya menjadi sebahagian daripada watak-watak yang terdapat dalam novel tersebut. Saya dibawa masuk ke dalamnya. 



11. Jibam, memang naskhah yang mengesankan. Baik, jika para pembaca mahu mengikuti perkembangan tuan, di mana mereka boleh dapatkan cerita terkini pasal Sofuan Saadon?

Saya aktif berfacebook. Cari saja saya di akaun facebook bernama Sofuan Saadon. Saya juga ada Instagram dengan nama yang sama. Akaun twitter juga pernah ada tetapi sudah lupa password. Kalau nak nombor telefon saya pula, minta pada mak saya. 

Baik, itu sahaja soalan saya, setakat ini.
Terima kasih banyak-banyak tuan.

Sama-sama.

No comments:

Post a Comment