Wednesday, March 23, 2016

Kali Pertama

Hari ini, saya mahu buka sebuah cerita lama.
Pengalaman kali pertama saya mengirim proposal ke sebuah rumah penerbitan. Masa itu, semuanya berlaku dengan sungguh cepat sampai saya tak sempat nak fikir apa-apa.
Mula-mula, saya redah sahaja. Entah kuasa dari mana, saya hantar emel kepada penulis kegemaran saya, Bahruddin Bekri. Masa itu, saya lampirkan sahaja coretan pasal watak yang tiba-tiba muncul dalam fikiran.
Tahu-tahu, dia kata ini bagus dan sesuai dinovelkan. Dia minta saya siapkan sinopsis. Oh, buat yang tak tahu saya bermula dengan novel.
Menggeletar dengan semangat, saya siapkan sinopsis - yang waktu itu saya pun tak pasti macam mana rupanya. (Ini kesilapan pertama saya. Tak cari tahu lebih dahulu.)

Rezeki, Tuan Bahar memang penyabar dan tenang orangnya. Selepas saya kirim sinopsis yang salah, dia ajarkan saya cara menulis sinopsis yang betul. Maka, saya buat sambil belajar melalui emel. (Saya belajar dengan beliau - balas emel dan mesej yang bertanyakan hal penulisan, semampu mungkin.)
Tak sampai dua minggu, editor (Tuan bahar panjangkan sinopsis saya kepada Ketua Editor di PTS Litera) balas emel saya dan minta saya siapkan dan hantar manuskrip dalam tempoh tiga bulan. Ternganga.

Garu kepala.
Sengih.
Cubit lengan.
Sengih lagi.
Semangat naik mencanak!
Laju saya sambung tulis. Setiap hari, saya menulis tanpa gagal. Di dalam tren, saya menulis dalam buku nota. Balik, saya taip semula di laptop. Waktu rehat tengah hari, saya menulis di makmal.
Sesudah hantar manuskrip dan menunggu dinilai, saya sibuk berangan. Ini kesilapan saya yang kedua, terlalu positif dan bersangka baik sampai jadi fantasi. Haha.

Akhirnya, editor panggil ke pejabat.
Tandatangan perjanjian penerbitan.
Dengan riang, saya pergi dengan seorang rakan. Asyik tersenyum sepanjang jalan dan terus hidup dengan fantasi.
Sampai di pejabat penerbitan, cerita indah saya berkecai.
Editor minta saya olah semula manuskrip. Bukan sikit, tapi sebahagian besar!

"Cerita awak, banyak bahagian yang mengelirukan. Saya tak tahu siapa pekata dialog, keemudian banyak sangat naratif."

Saya tengok satu halaman yang diconteng besar-besar, 'Olah semula.'
Nampak kesan menulis tanpa tahu ilmunya?
Mengolah semula secara total, ia bukan perkara kecil. Lebih-lebih lagi untuk manuskrip novel.

Dalam keadaan keliru itu, editor tunjukkan cadangan kaver buku saya.
'Dah siap!'

Semangat saya naik semula. Lebih naik apabila editor kata, "Kalau awak siapkan olahan on time, inilah kaver buku awak. Kalau tak, jadi kaver buku orang lain."
Saya diam. Balik, pasang niat kuat-kuat. Mesti siapkan pembetulan on time!
Alhamdulillah, saya berjaya.

Walaupun hasilnya bukanlah bagus mana, tetapi saya belajar sangat banyak perkara melalui Lelaki Berbaju Biru. Ajaib dan tertulis yang ia rezeki saya. Sampai sekarang, ia masih ada di kedai buku walaupun banyak buku seangkatan dengannya sudah dilupuskan.
Nota: Gambar ini, antara siri emel saya dengan Tuan Bahar. Ada banyak lagi di FB Messenger. Haha


No comments:

Post a Comment