Sunday, March 6, 2016

Bagaimana Mereka Melakukannya - Web Sutera

Bismillah, Insya-Allah untuk sesi temu bual kali ini, kita bersama Tuan Web Sutera, penulis novel fiksyen sejarah yang sudah mempunyai 14 buah buku yang diterbitkan. Beliau juga rakan penulis dalam buku Kapsul Nurani terbitan Metromedia Solutions.

 

1. Pertama sekali, boleh ceritakan latar belakang diri tuan?
Web Sutera atau nama sebenar Hizamnuddin bin Awang pernah menjadi Editor bagi subjek matematik di salah sebuah syarikat penerbitan. Selepas itu selama 11 tahun bekerja di MIMOS Berhad dan JARING Communications Sdn. Bhd. sebagai Penyelidik dan Pegawai Pemasaran yang fokus tugasnya kepada penulisan bahan-bahan pemasaran, pendidikan ICT / Internet dan branding.
Semasa bekerja di JARING saya melaksanakan tugas-tugas sebagai penulis, associate editor dan editor online bagi majalah Jaring Internet Magazine. Dalam waktu yang sama saya banyak menyumbangkan hasil penulisan kepada beberapa majalah berbahasa Melayu tempatan – Dewan Kosmik, Dewan Ekonomi, Dewan Masyarakat, Dewan Agama dan Falsafah, Dataniaga, Majalah PC, Usahawan Malaysia, Usahawan Sukses, Akademik, Millenia Muslim.
Kesemua subjek penulisan Web Sutera ialah dalam bidang sains dan teknologi, ICT,  internet dan peradaban manusia. Jawatan terakhir saya ialah Ketua Unit bagi salah satu unit dalam jabatan Komunikasi Korporat dan Branding di JARING.


2. Apa pendorong utama tuan menulis dan mengapa memilih genre fiksyen sejarah?
Hobi dan minat utama saya ialah membaca. Rencam bahan bacaan saya baca, dari buku-buku kajian Barat tentang sesuatu perkara sehingga kitab-kitab karangan ulama silam dan kontemporari. Bagi fiksyen pula, minat saya mendalam untuk mencicip karya-karya Barat bergenre thriller, misteri, sains fiksyen dan saga sejarah.
Dari pembacaan itu, saya melihat banyak perkara yang perlu difahami dari sudut sejarah. Selalunya sejarah subjek bosan untuk ditekuni. Justeru timbul minat untuk menulis agar khalayak Islam terutamanya memahami doktrin dan lambakan tusukan jarum-jarum jahat mereka terhadap Islam. Saya mudahkan kisah sejarah dalam bentuk fiksyen/novel. Saya juga mengambil ibrah kisah-kisah dalam al-Quran, bahawa Allah menyuruh kita berjalan ke serata dunia menyaksikan kesan-kesan yang ditinggalkan.
Justeru saya berasa amat perlu untuk menyajikan kepada pembaca sudut pandang yang membenarkan Islam, dan dalam masa yang sama mematahkan serangan saraf pihak kuffar dalam banyak karya kreatif.

3. Subhanallah, motivasi dan sebab yang sangat kuat! Jadi, bagaimana Web Sutera bermula sebagai penulis? Apa langkah pertama yang tuan ambil untuk bergelar penulis?
Sebermula saya bekerja makan gaji, sebermula itu juga saya terlibat dalam dunia penerbitan dan buku. Tugas sebagai editor membuka peluang melihat lebih mendalam dalam dunia penulisan.
Seterusnya sekitar tahun 1995, saya mula menulis untuk majalah. Mengapa? Pada waktu itu saya banyak terdedah dengan teknologi, IT dan internet. Banyak maklumat di depan mata, rencam pula mehnahnya. Timbul hasrat untuk mudahkan orang ramai memahami dunia teknologi, agar mereka tidak digigit oleh dunia digital yang semakin memakan diri sekiranya tidak berhati-hati.
Langkah pertama sebagai penulis ialah minat membaca, memerhati, menelaah dan mengisih maklumat.

Satu perkara saya mahu kongsikan. Semasa bersekolah dalam tingkatan 2 (andai tidak silap) di Besut, Terengganu, seorang cikgu bertanya, “Bila besar awak nak jadi apa?”
Spontan saya menjawab, “Penulis terkenal.” Mungkin doa cikgu itu, maka minat menulis kekal terbenam di dalam lubuk jiwa, walaupun ia timbul kemudian tatkala saya habis belajar di universiti. Tetapi semasa bersekolah juga, antara minat saya ialah menulis puisi. Mungkin... ya mungkin, itu sebermula sebenar dunia penulisan saya.

4. Amin. Hebatnya guru itu. Dalam usaha mencapai cita-cita, apa cabaran paling besar yang tuan hadapi semasa menghasilkan manuskrip pertama?
Menelaah, mengisih dan mencari maklumat betul dari banyak kajian sejarah. Mengimbangi anasir jahat dalam sejarah oleh ramai penulis Barat-Yahudi. Satu lagi ialah memerhati minat pembacaan orang ramai di Malaysia.
  
5. Diketahui, penulis sinonim dengan istilah writer's block. Apa yang tuan lakukan sewaktu idea kering?
Apabila idea kering, saya selalu berfikir. Apakah yang tak kena? Di mana silap saya? Kat mana mahu cari maklumat tambahan?
Seterusnya saya solat Hajat, memohon ilham dari Allah Taala. Baca al-Quran, agar hati tenang dan berdoa, kerana yakin semuanya dari Allah. Andai Dia tidak izinkan, semua tidak menjadi.
Kemudian baca kembali rujukan-rujukan. Lihat semula plot-plot yang sudah dilakar.

6. Alhamdulillah. Ya, semuanya dari Dia. Sekarang, kita pindah ke soalan yang lebih tenikal. Jika tak keberatan, boleh tuan kongsi sedikit mengenai proses dan rangka kerja penulisan tuan untuk salah sebuah manuskrip? Bagaimana tuan cipta watak, jalan cerita dan sebagainya, secara ringkas dan padat.

Saya ambil contoh untuk novel Konstantinopel: Kibaran Panji-panji Al-Fateh. Sebelum bermula, banyak sumber bacaan dan rujukan saya kaji dan telaah. Saya gali dari sudut Islam dan pandangan Barat tentang kota Konstantinopel dan susuk Sultan Muhammad Al-Fateh.
Saya menyelami pemikiran Sultan Muhammad Al-Fateh. Apa yang beliau fikir, apa yang dicari, apa yang beliau mahu? Apa yang pentingnya kota Konstantinopel? Mengapa kota Konstantinopel disebut khusus oleh Rasulullah? Kajian apa yang Sultan tekuni – senjata, teknologi, amanah Allah, tanggungjawab, Islam perlu disebarkan, jihad... ulama.
Dari memahami pemikiran dan minat Sultan muda itu, maka saya mulakan penulisan. Walaupun saya tidak belajar sebarang teori sastera, tapi pengalaman membaca karya Barat banyak memberi panduan.
Watak dalam sejarah dikekalkan, dan watak fiksyen dihasilkan sebagai penguat cerita dan hujah.

7. Proses yang panjang dan teliti, padan dengan hasilnya. Baik, sepanjang pengalaman tuan sebagai penulis, apa perkara yang paling kritikal dan paling tuan pentingkan dalam berkarya dan mengapa?
Fakta dan kebenaran. Kritikal untuk mengisih maklumat betul dan salah. Kerana menulis adalah tanggungjawab yang akan ditanggunghisab, bukan perkara main-main. Fikir dosa dan pahala, kerana setiap satunya akan mengalir ke liang lahad, selagi mana ia diamalkan oleh pembaca.

8. Saya suka point tuan. Ya, menulis itu tanggungjawab. Seterusnya, apa projek tuan yang akan datang? Mohon kongsikan sedikit, untuk makluman para pembaca.
Banyak projek sebenarnya, tapi kadangkala kurang mampu dirasakan. Banyak benda saya nak kongsikan dengan pembaca. Insya-Allah, saya mahu sambung Trilogi Armagedon dan juga terus menekuni kisah dalam al-Quran sebagai ibrah.

9. Supaya boleh dijadikan rujukan para penulis lain, apa judul buku yang paling dekat di hati tuan (selain buku sendiri), sehingga dibaca berkali-kali sebab suka?
Tafsir al-Quran. Kerana darinya banyak cerita yang boleh ditulis. Saya tidak senaraikan buku tafsir yang mana kerana banyak yang saya suka.

Buat semua pembaca, ini senarai buku tulisan Tuan Web Sutera:

1) Buat Duit dengan Katering
ISBN: 978-967-369-084-8 
 Tebal: 132 muka surat


Penerbit: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.
Tahun: 2011 (Buku bisnes dan pengurusan)
Harga: RM14.00



2) Macedonia: Alexander Agung (Hijab Raja Zulqarnain)
ISBN: 978-983-097-360-9
Tebal: 470 muka surat
Penerbit: Galeri Ilmu Sdn. Bhd.
Tahun: 2012 (Novel sejarah/kembara/thriler)
Harga: RM20.00



3) 50 Sup Champion Resipi Rasulullah (SAW)


ISBN: 978-967-0392-45-5
Tebal: 300 muka surat
Penerbit: Must Read Sdn. Bhd.
Tahun: 2013 (Buku motivasi Islam)
Harga: RM24.90


4) Berfikir Gaya Champion
ISBN: 978-983-097-342-5
Tebal: 200 muka surat
Penerbit: Galeri Ilmu Sdn. Bhd.
Tahun: 2013 (Buku motivasi Islam)
Harga: RM17.00



5) Konstantinopel: Kibaran Panji-panji AL-FATEH


ISBN: 978-983-097-417-0
Tebal: 885 muka surat
Penerbit: Galeri Ilmu Sdn. Bhd.
Tahun: 2013 (Novel sejarah)
Harga: RM29.00



6) Perang Armagedon
ISBN: 978-983-097-467-5
Tebal: 480 muka surat
Penerbit: Galeri Ilmu Sdn. Bhd.
Tahun: 2014 (Novel sejarah/perang/fantasi/thriler)
Harga: RM22.00



7) Nakhoda Agung

ISBN: 978-967-039-299-8
Tebal: 231 muka surat
Penerbit: Must Read Sdn. Bhd.
Tahun: 2014 (Fiksyen sejarah berilustrasi)
Harga: RM22.00



8) Hijrah Champion Gaya Rasulullah SAW
ISBN: 978-967-039-293-6
Tebal: 210 muka surat
Penerbit: Must Read Sdn. Bhd.
Tahun: 2014 (Motivasi / inspirasi addin)
Harga: RM19.90



9) Baitulmaqdis: Petaka Armagedon
ISBN: 978-983-097-467-5
Tebal: 427 muka surat
Penerbit: Galeri Ilmu Sdn. Bhd.
Tahun: 2015 (Novel sejarah/perang/fantasi/thriler)
Harga: RM21.00



10) Kapsul Nurani – 50 Catatan Inspirasi Penulis-Pembaca
ISBN: 139789671259702
Tebal: 209 muka surat
Penerbit: Metromedia Solutions.
Tahun: 2014 (Himpunan 50 kisah oleh 50 penulis, termasuk saya)
Harga: RM25.00

11) Kapur Kasut vs. Kapur Tulis – Koleksi 50 Kisah Alam Persekolahan



ISBN: 978-967-12597-1-9
Tebal: 245 muka surat
Penerbit: Metromedia Solutions.
Tahun: 2015 (Himpunan 50 kisah oleh 50 penulis, termasuk saya)
Harga: RM29.00


12) SARKAS (Antologi Cerpen Santai_Tapi_Sentap)
ISBN: 978-967-13580-2-3
Tebal: 285 muka surat
Penerbit: Khairy Tajudin Resources.
Tahun: 2015 (Antologi Cerpen bersama penulis lain)
Harga: RM25.00



13) KELIBAT (Antologi Cerpen bersama 14 penulis)


Penerbit: SO Publishing
Tahun: 2016
Harga: RM22.00




14) Gua Cinta: Travelog Mujahidin


Penerbit: Jootawan Books
Tahun: 2016 (Novel adaptasi sejarah/fiksyen sejarah)





Ikuti perkembangan Web Sutera di:
i) Facebook: Websutera dan NovelisWebSutera
ii) Instagram: Websutera

* * * * * * *


1 comment: