Monday, March 14, 2016

Bagaimana Mereka Melakukannya - Salleh Kausari



Bismillah.

Assalamualaikum wbt Tuan Salleh. Terima kasih kerana sudi ditemubual.

1. Pertama sekali, boleh ceritakan latar belakang diri dan karya tuan?

Saya fokus pada bidang penulisan saja ya. Saya tidak pernah mengikuti sebarang kursus penulisan secara formal, kecuali sebuah kelas online yang dianjurkan oleh Puan Maria Kajiwa suatu masa dulu. Beliau terkenal dengan novel seperti Lengloi, Puja dan Janji Julia.

Kelas asas itu saya sertakan bersama pembacaan banyak ebook dalam bahasa Melayu dan Inggeris untuk mendalami tentang teknik penulisan kreatif. Pengembaraan saya dalam bidang penulisan bermula dengan menulis artikel di laman blog Kausar Kreatif setelah mempelajari tentang teknik pemasaran online. Kemudian laman blog Pena VR (skausari.blogspot.com) jadi medan saya bereksperimen dengan pelbagai genre penulisan – puisi, cerpen dan novel. Juga pelbagai genre penulisan kreatif – cinta, thriller, seram, satira, komedi, masyarakat dan lain-lain.

Setelah itu saya mula menyertai pelbagai grup penulisan yang menyatukan penulis dan pembaca. Antaranya adalah Geng Urban, di mana saya dan Cik Rahmah Mokhtar pernah jadi admin di sana suatu masa dulu. Yang lain-lain termasuk Kami Cinta Novel dan Komuniti Enovel.

2. Soalan kedua, apa pendorong utama tuan menulis dan mengapa memilih genre fiksyen thriller?

Saya mencuba pelbagai genre penulisan kerana setiap satu ada kekuatan sendiri. 
Puisi menguji kita dalam penggunaan kata minimal dengan maksud tersirat yang mampu menyentuh jiwa, walaupun dari perspektif berlainan setiap pembaca.
Cerpen menguji kemampuan kita mengupas sesuatu isu dalam kisah ringkas dengan hanya beberapa mukasurat.

Novel memberi kita ruang yang lebih untuk bermain dengan watak, perwatakan, latar, plot dan pelbagai elemen lagi dalam mengetengahkan sesuatu mesej tentang kehidupan dan konfliknya.
Penerimaan pembaca dan penerbit memainkan peranan dalam genre yang ingin saya fokuskan. 
Karya cinta saya ada khalayak pembaca sendiri, walaupun tidak melepasi penerbitan mainstream. Begitu juga dengan karya berunsur sastera saya, sama ada dalam bentuk puisi, cerpen atau novel. Saya pernah menyertai Sayembara ITBM-Pena-BH 2014. 

Akhirnya saya buat keputusan untuk menerbitkan sendiri antologi solo puisi dan cerpen cinta saya berjudul Kembara Mencari Pelangi dan Kembara Mencari Cinta di bawah label Kausar Kreatif.
Karya seram dan thriller saya lebih diterima oleh penerbit seperti yang diterbitkan oleh Ilham Karangkraf iaitu Antologi Gaun Berdarah. Begitu juga cerpen seram C.H.A.T yang pernah menjadi pilihan editor di Ilham Karangkraf. Manuskrip Sumpahan Ling Chi menjadi karya novel sulung saya yang diterbitkan oleh Buku Prima.

Saya mempertaruhkan Misteri Mimpi Yana, sebuah novel misteri thriller dengan elemen interaktif semasa pertandingan Writers Unleashed anjuran MyCreative. Alhamdulillah, karya itu memenangi salah satu hadiah utama bersama beberapa penulis lain termasuk Dhiaz Diandra. Novel ini dalam proses penerbitan di bawah label Terfaktab Media.
Saya sedang mengusahakan beberapa projek solo dan antologi seram dan thriller yang dijangka akan terbit dalam tahun ini jika tiada aral.

3. Bagaimana tuan bermula sebagai penulis? Apa langkah pertama yang tuan ambil untuk bergelar penulis?

Seperti yang saya ceritakan dalam soalan sebelum ini, saya bermula dengan penulisan artikel. Setelah menimba ilmu dalam bidang penulisan kreatif, saya menulis novel pertama yang masih saya peram hingga kini. Selepas itu saya terus mengasah kemahiran penulisan puisi, cerpen dan novel dengan pelbagai teknik dan bereksperimen. Maklum balas pembaca saya jadikan sebagai panduan.

4. Apa cabaran paling besar yang tuan hadapi semasa menghasilkan manuskrip pertama?

Jika dikira dari segi manuskrip pertama yang siap ditulis, cabarannya adalah mencari jalan cerita yang menarik di samping menghidupkan watak dengan pelbagai konflik dan mesej.
Jika dari segi manuskrip yang berjaya diterbitkan, cabaran paling besar adalah mencari sesuatu yang boleh diterima oleh penerbit. Beberapa manuskrip saya pernah ditolak. Saya bernasib baik kerana manuskrip Sumpahan Ling Chi atau pada asalnya berjudul Misteri Banglo Ophelia, berjaya menambat hati editor tanpa perlu sebarang rombakan plot. Hanya beberapa pembaikan dari segi teknikal dan penulisan.

5. Sebelum menulis novel, adakah tuan pernah menulis cerpen?

Cerpen adalah alat utama untuk saya bermain dengan pelbagai elemen penulisan kreatif termasuk watak, latar, perwatakan, teknik, mesej dan lain-lain. Saya bertuah kerana ada pembaca sporting di grup Facebook saya, Laman Inspirasi Pena VR, yang sudi menyumbang idea dan pendapat. Berdasarkan maklum balas mereka, saya garap cerita bertema dengan elemen-elemen yang telah dicadangkan. Itu penting untuk melatih otot-otot minda penulisan dalam menyahut penulisan bertema untuk diterbitkan.

6. Diketahui, penulis sinonim dengan istilah writer's block. Apa yang tuan lakukan sewaktu idea kering?

Saya juga ada mengalaminya. Biasanya setelah terlalu lama menulis. Ia seperti isyarat otak yang memerlukan rehat. 
Saya sentiasa sibukkan diri dengan aktiviti penulisan, kecuali ketika bercuti. Itupun hanya untuk dua tiga hari. Bagi saya, membiarkan otak tidak aktif dalam hal penulisan untuk jangkamasa terlalu lama akan menyebabkan kita mudah ‘dijangkiti’ writer’s block.

Aktiviti penulisan tidak terhad kepada menulis saja. Antara aktiviti yang boleh dipelbagaikan ketika otak beku dan tidak dapat menulis adalah:

a) Memikirkan cerita baru. Fikirkan rangka kasarnya. Sebagai contoh, pengembara angkasa yang berjaya menemui jawapan untuk mengubah kehidupannya setelah berhari-hari terperangkap di angkasa lepas tanpa tahu ajalnya bakal tiba atau tidak
b) Merangka cerita dengan lebih terperinci – watak (nama, perwatakan, masalah, matlamat), latar (zaman, rupa), konflik (masalah yang dihadapi oleh watak dan cabarannya), mesej (kemanusiaan dll) dan banyak lagi.
c) Sinopsis. Perjalanan ringkas cerita dari awal hingga penghujung.
d) Menggambarkan apa yang bakal ditulis sambil mencari apa yang masih belum cukup dan lengkap. 
e) Kajian untuk menjadikan jalan cerita lebih realistik dan diperkayakan.
f) Jika cerpen, saya akan mula menulis selepas itu. Jika novel, saya kembangkan dengan merancang apa yang ingin diketengahkan dalam setiap bab. Kemudian baru saya mula menulis.
g) Mencari ilham untuk menulis puisi, kemudian mula menulis.

Adakala semua ini tidak mampu dilakukan. Ketika itu cari sesuatu yang bukan berkaitan dengan penulisan seperti keluar berjalan-jalan, karaoke (berkesan untuk saya), bermain game dan apa saja aktiviti atau hobi pilihan individu itu sendiri. Mungkin juga berkunjung ke laman blog, Facebook dan media sosial milik penulis lain atau sesiapa saja.

7. Kita pindah ke soalan yang lebih teknikal. Jika tak keberatan, boleh tuan kongsi sedikit mengenai proses dan rangka kerja penulisan tuan untuk salah sebuah manuskrip? Bagaimana tuan cipta watak, jalan cerita dan sebagainya, secara ringkas dan padat.

Secara ringkas kerja merangka cerpen dan novel saya hampir sama. Cuma untuk novel, perlu dipecahkan menjadi lebih terperinci dalam setiap bab dan mencapai bilangan mukasurat yang dikehendaki.

Berikut adalah langkah-langkah yang saya gunakan:
1) Siapkan rangka kasar cerita. Boleh juga dipanggil sinopsis 2-3 ayat.
2) Untuk novel, lukis carta minda dengan gambaran kasar cerita (watak-watak, lokasi, pecahan bab)
3) Cipta watak-watak yang akan menjadikan cerita menarik. Fokus kepada jalan cerita. Ada yang memerlukan watak bulat (banyak sisi), pipih (satu sisi) dan lain-lain. Ada watak utama dan ada watak yang membantu menjelaskan tentang watak utama atau cerita.
4) Pecahkan babak untuk cerpen dan bab untuk novel. Dalam satu bab novel mungkin juga ada satu atau beberapa babak.
5) Peram idea sambil kaji kesesuaian yang saya gelar sebagai fasa ‘test run dalam kepala’. Buang idea yang tak sesuai. Kembangkan elemen jika perlu. Utamakan apa yang akan membantu dalam mencapai matlamat penceritaan.
6) Mula menulis tanpa mengedit. Tulis sehingga matlamat mukasurat tercapai.
7) Peram hingga lupa jalan cerita sepenuhnya.
8) Mula baca semula dan cari kelemahan. Kalau kurang mukasurat, tambah. Kalau ada plot longgar, perkemaskan. Kalau cerpen, biasanya saya lakukan dengan beberapa kali bacaan. Kali pertama untuk perbaiki tatabahasa dan ayat. Kedua untuk jalan cerita. Kali ketika untuk memastikan matlamat asal tercapai. Kalau novel atau novelet biasanya saya buat sekali gus kerana faktor masa.

8. Sepanjang pengalaman tuan sebagai penulis, apa perkara yang paling kritikal dan paling tuan pentingkan dalam berkarya dan mengapa?

Masa. Saya cuba mengelakkan projek yang memerlukan jangka masa terlalu pendek kerana ia akan menjejaskan kualiti kerja. Ia akan menyebabkan kurang masa untuk memikirkan rangka, menulis, memeram dan mengedit.

Namun begitu, saya cuba mengatasi masalah ini. Semenjak saya menyertai projek Buku Prima, ini adalah perkara yang paling mencabar. Saya cuba atasi masalah ini dan semakin lama masalah itu boleh ditangani. Bulan ini saya perlu hantar sebuah projek novel yang asalnya juga sebuah novelet, sama seperti Sumpahan Ling Chi. Doakan saya berjaya siapkan seperti yang diminta.

9. Apa projek tuan yang akan datang? Mohon kongsikan sedikit, untuk makluman para pembaca.

Cita-cita saya adalah untuk menamatkan (menerbitkan) semua projek puisi, cerpen, novel dan bukan fiksyen yang telah saya mulakan, sama ada yang belum siap, telah ditolak atau yang belum dihantar ke mana-mana lagi. Selepas itu saya akan tumpukan pada sebuah projek baru yang tiada kaitan dengan penulisan tetapi masih berunsur kreatif. Apa projek itu? Buat masa ini masih rahsia, walaupun saya pernah berkongsi dengan ahli grup saya.

10. Supaya boleh dijadikan rujukan para penulis lain, apa judul buku yang paling dekat di hati tuan (selain buku sendiri), sehingga dibaca berkali-kali sebab suka?

Sebuah novel yang begitu tebal berjudul IT oleh Stephen King. Saya jatuh cinta dengan cara garapan beliau terutamanya cara bermain dengan flashback dan watak-watak dengan kisah silam yang begitu mengujakan. Garapan dalam novel itu banyak mempengaruhi saya untuk menggunakan teknik yang sama.

12. Senarai karya Salleh Kausari





Kembara Mencari Pelangi
Himpunan Puisi Salleh Kausari
(Self-publish)









Sumpahan Ling Chi
Alaf 21
Karya ini disenaraikan dalam carta jualan paling laris di kedai buku Popular dua minggu lalu.









Kembara Mencari Cinta
Himpunan Cerpen Salleh Kausari
(Self-Publish)








Misteri Mimpi Yana (Sebuah Novel Interaktif)
Dengan manuskrip ini , Salleh Kausari dinobatkan sebagai salah seorang Grand Prize Winner bagi MCV Writers Unleashed

Naskhah ini sedang dicetak dengan penerbit Terfaktab Media.


Perkembangan Salleh Kausari boleh diikuti di:

Blog: Pena VR (skausari.blogspot.com)
Facebook: Salleh Kausari (facebook.com/salleh.kausari.9)
Grup penulisan Facebook: Laman Inspirasi Pena VR (facebook.com/groups/penavr)

Laman-laman Facebook yang lain: 
Tips Motivasi dan Penulisan Pena VR, 
Koleksi Puisi Pena VR, 
Abam Oyen and The Gang, 
Kembara Mencari Cinta, 
Kembara Mencari Entiti, 
Kembara Mencari Pelangi, 
Sumpahan Ling Chi 
Misteri Mimpi Yana


1 comment:

  1. Alhamdulillah, terima kasih Cik Rahmah kerana sudi temuramah saya. Walaupun pada mulanya terasa bimbang dengan soalan yang bakal diajukan. Semoga perkongsian ini bermanfaat. Terima kasih sekali lagi ^__^

    ReplyDelete