Monday, March 21, 2016

Bagaimana Mereka Melakukannya - Mazura Stapah

Bismillah.

Insya-Allah, minggu ini kita bersama Puan Mazura Stapah, penulis yang terkenal dengan jemana Cuti-Cuti Halal.

Assalamualaikum wbt Puan Mazura. Terima kasih kerana sudi ditemubual.

1. Pertama sekali, boleh ceritakan latar belakang diri puan?
Waalaikumsalam wbt. Nama saya Mazura binti Stapah@Salleh. Berusia 41 tahun. Dilahirkan di Negeri Sembilan. Dibesarkan di beberapa negeri iaitu Pahang, Johor dan Negeri Sembilan kerana mengikut bapa berpindah tempat bertugas. 
Mendapat pendidikan peringkat tinggi di Universiti Putra Malaysia di dalam bidang Sains Perhutanan dan Pengurusan Taman dan Rekreasi. Pada masa ini bertugas di Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti, Politeknik Merlimau. 

2. Soalan kedua, apa pendorong utama puan menulis dan mengapa memilih genre non fiksyen dalam bidang pelancongan?
Pendorong utama menulis adalah untuk berkongsi serba sedikit ilmu dan pengalaman yang ada. Sesuai dengan pertambahan usia, tiba masanya untuk menyumbang kembali ilmu pengetahuan dan perkongsian pengalaman bersama masyarakat.
Saya memilih non-fiksyen kerana saya sendiri merasa kekuatan dan bakat saya lebih menjurus kepada penulisan non-fiksyen. Dalam masa yang sama, saya kagum dengan rakan-rakan penulis yang menghasilkan genre fiksyen.
Selain dari itu, saya turut mengambil kesempatan menulis ilmu dan pengalaman yang selari dengan bidang tugasan saya, Pengurusan Pelancongan iaitu kategori non-fiksyen.

3. Bagaimana Puan Mazura bermula sebagai penulis? Apa langkah pertama yang puan ambil untuk bergelar penulis?
Alhamdulillah. Saya bermula dengan menyertai bengkel penulisan artikel rencana akhbar dan majalah anjuran kursuspenulisan.com

4. Apa cabaran paling besar yang puan hadapi semasa menghasilkan manuskrip pertama?
Cabaran paling besar semasa menghasilkan manuskrip pertama adalah mendapatkan mood menyiapkan penulisan. Cerpen muzikal. Perlu sesuaikan lirik dan jalan cerita. Saya memerlukan masa yang agak panjang walaupun hanya perlu menulis sebanyak 10 muka surat. Ya. Cabaran terbesar adalah untuk mengolah kata-kata yang mampu menjentik emosi pembaca.

5. Selain menulis manuskrip non fiksyen, adakah puan pernah menulis cerpen? Apa pendapat puan pasal genre ini?
Ya. Naskhah pertama saya tadi merupakan kompilasi cerpen. Pada pendapat saya, jika anda berhasrat serius di dalam bidang penulisan terutamanya fiksyen, genre cerpen merupakan platform terbaik untuk mengasah skil penulisan.
Paling penting, anda perlu mempersiapkan diri dengan ilmu berkaitan. Agak mencabar juga sebenarnya kerana bagi genre cerpen, anda perlu mengolah penceritaan di dalam limitasi mukasurat yang telah ditentukan oleh pihak penerbitan. Berdasarkan pemerhatian, cerpen punya peminatnya yang tersendiri. Sesuai juga buat mereka yang mahu sesi bacaan santai.

6. Diketahui, penulis sinonim dengan istilah writer's block. Apa yang puan lakukan sewaktu idea kering?
Biasanya saya akan tinggalkan kerja-kerja penulisan yang saya sedang buat, jika mengalami writer's block. Saya akan mengerjakan solat sunat. Bergantung kepada masa bilakah writer's block itu berlaku. Jika berlaku pada hari cuti dan waktu siang, saya akan lakukan aktiviti-aktiviti lain seperti beriadah dan bersiar-siar.

7. Kita pindah ke soalan yang lebih tenikal. Jika tak keberatan, boleh puan kongsi sedikit mengenai proses dan rangka kerja penulisan puan untuk manuskrip Cuti-Cuti Halal?
Proses penulisan Cuti Cuti Halal bermula sebaik sahaja Tuan Zamri Mohamad menawarkan diri menjadi literary agent. Saya kemudiannya diminta menyediakan proposal Cuti Cuti Halal. Beliau juga yang menyarankan agar saya bergandingan bersama Tuan Mohd Sharumnisham seorang rakan penulis dari Kedah Darul Aman. 
Setelah berpuashati dengan proposal yang dihantar, saya dan beberapa rakan penulis lain dipertemukan dengan pihak penerbit iaitu Legacy Publishing. Setelah persetujuan dicapai, saya dan Tuan Mohd Sharumnisham menggembleng tenaga menyiapkan proses penulisan manuskrip bahagian masing-masing. Saya menggunakan KJ Method untuk memudahkan kerja-kerja penulisan. Kaedah ini juga saya gunakan mengatasi situasi Writer's Block.
Beberapa kali, proses pembetulan manuskrip berlaku di antara saya dan penerbit. Gambar-gambar bersesuaian juga turut dihantar memandangkan naskhah Cuti Cuti Halal merupakan bahan bacaan ilmiah sebenarnya tetapi bercorak santai. Saya turut mendapat sokongan sumbangan gambar-gambar daripada rakan-rakan di alam maya.

8. Tadi, Puan Mazura ada menyentuh pasal literary agent. Menurut puan, adakah agen sangat membantu dalam kerja-kerja penulisan dan penerbitan karya?
Ya. Literary agent sangat penting dan sangat membantu. Terutamanya di dalam mencorakkan karier saya sebagai penulis. Juga memberi khidmat nasihat dari sudut perundangan kerana literary agent merupakan orang lama di dalam penulisan.

9. Sepanjang pengalaman puan sebagai penulis, apa perkara yang paling kritikal pernah puan hadapi?
Situasi paling kritikal yang saya alami sepanjang menyiapkan naskhah Cuti Cuti Halal adalah 'communication breakdown' di antara saya dan penerbit. Berlaku situasi di mana beberapa fail manuskrip yang saya hantar melalui emel tertinggal. Namun, alhamdulillah disedari selepas beberapa bulan. Itu antara perkara yang perlu diberi perhatian pada masa hadapan.
Bagi saya juga, antara perkara yang perlu diberi perhatian adalah berkongsi tips dan garis panduan percutian yang diperlukan oleh mereka yang merancang percutian.

10. Apa projek puan yang akan datang? Mohon kongsikan sedikit, untuk makluman para pembaca.
Projek pada masa hadapan pula adalah naskhah kupasan tip-tip yang terdapat di dalam naskhah Cuti Cuti Halal. Walaubagaimanapun, hal ini memerlukan perbincangan lebih lanjut di antara saya, literary agent dan penerbit.

11. Supaya boleh dijadikan rujukan para penulis lain, apa judul buku yang paling dekat di hati puan (selain buku sendiri), sehingga dibaca berkali-kali sebab suka?
Antara buku yang dekat di hati saya adalah Shamsiah Fakeh nukilan Azzah A.R., Hartini  oleh Aziz Afkar, Kisah Orang Kaunter hasil tulisan Tuan Rafi Harumin dan 99 Stress Free Mummy oleh Zatika Izati Puade. Buku-buku ini tidaklah pula saya baca berkali-kali tetapi antara naskhah yang saya baca dan terus habiskan. Juga bercorak santai dan melekat di fikiran.

 
Koleksi yang saya nyatakan tadi antara naskhah kesayangan. Mungkin juga saya akan baca lagi pada masa hadapan.

12. Senarai karya Mazura Stapah:



Antologi Cerpen Muzikal Melodi Di Atas Kertas
Terbitan Nuun Creative Books
Tulisan bersama alumni Akademi Hero






Mama Kerja Apa?
Projek 100 Buku Bergambar Kanak-Kanak
Terbitan Buku Prima, Karangkraf


Cuti Cuti Halal
Terbitan Legacy Publishing






12. Jika para pembaca mahu mengikuti perkembangan puan, di mana mereka boleh dapatkan cerita terkini pasal puan?
Para pembaca dirahmati Allah boleh mengikuti perkembangan saya di:
Laman Facebook: Mazura Stapah
FB group: Cuti Cuti Halal.
FB page: Mazura Stapah dan Cuti-cuti Halal. 

Terima kasih cik puan kerana sudi memberi peluang yang sangat berharga ini kepada saya. Insya-Allah, semoga kita berkonvoi ke syurga. Aminnn...

No comments:

Post a Comment