Monday, March 28, 2016

Bagaimana Mereka Melakukannya - Bonda Nor

Alhamdulillah, hari ini kita bersama Puan Norli Madlan yang terkenal dengan nama pena Bonda Nor. Terima kasih puan, atas kesudian ditemubual.



1) Pertama sekali, boleh ceritakan latar belakang diri dan karya puan?

Nama penuh saya – Norli binti Madlan, berasal dari Melaka dan setelah berkahwin, mengikut suami menetap di Terengganu. Seorang usahawan dalam bidang pendidikan kanak-kanak. Sudah terlibat membuka pusat tuisyen, tadika dan pusat membaca lebih kurang 16 tahun.

Pengalaman mengendalikan bengkel membaca ekspres telah menyebabkan saya menulis buku pertama saya iaitu set buku Belajar Membaca Ekspres-I pada tahun 2006. Sebagai pengasas kaedah ini, saya turut menjadi penceramah literasi kepada guru-guru dan ibubapa dalam siri seminar Teknik Mudah Mengajar Membaca.

Penglibatan saya dalam penulisan kreatif pula ialah pada tahun 2013 dengan kemunculan novel Saya Tunggu Awak, diikuti buku motivasi berjudul Pujuklah Hati. Kemudian, terlahir karya seterusnya iaitu novel Sahaja Aku Jatuh Cinta, Ahmad Ammar Engkau Milik-Nya, Bila Hati Berkata, Biar Hati Terasa (tulisan bersama Prof Muhd Kamil Ibrahim), Be Cool – Pujuklah Hati 2. Saya juga ada menulis untuk sebuah buku antologi cerpen berjudul Kapur Kasut vs Kapur Tulis, dan sebuah buku antologi puisi iaitu Melompat Keluar Dari Mimpi.

2) Soalan kedua, apa pendorong utama puan menulis dan mengapa memilih genre motivasi?

Kita semua akan meninggal dunia, dan kita perlu meninggalkan sesuatu yang boleh terus membuahkan kita pahala. Saya memandang bidang penulisan sebagai ladang yang cukup besar untuk menyemai benih-benih pahala. Bagi saya, antara ciri penulisan yang baik adalah penulisan yang mampu membawa pembaca mengingati Allah. Maka, saya memilih untuk menulis novel tarbiah dan novel motivasi untuk sentiasa mengingatkan diri sendiri dan orang lain tentang hakikat hidup bertuhankan Allah.

3) Bagaimana Bonda Nor bermula sebagai penulis? Apa langkah pertama yang puan ambil untuk bergelar penulis?
Selain buku Belajar Membaca Ekspres-I, saya tidak pernah terfikir untuk menjadi seorang penulis buku atau novel. Ia bermula dengan penyertaan saya ke Seminar Hidayatus Salikin. Seminar seminggu itu sangat memberi kesan kepada jiwa saya kerana ia memfokus kepada kupasan kitab Imam al-Ghazali iaitu Hidayatus Salikin (Asalnya ialah Bidayatul Hidayah).

Saya fikir, betapa hebatnya ilmu-ilmu yang terdapat di dalam kitab lama ini dan hati diruntun rasa ingin menyampaikannya kepada orang lain. Oleh kerana saya bukan seorang ahli agama, maka saya mengambil keputusan untuk menyampaikannya dalam bentuk yang lebih santai iaitu novel. Saya menulis beberapa bab, menunjukkannya kepada seorang sahabat baik dan mendapat maklumbalas positif daripadanya. Allah mempermudahkan usaha ini.

Dalam masa tiga bulan, saya berjaya menyiapkan lebih 600 halaman manuskrip dan menyerahkannya kepada Tuan Haji Zakaria Sungib di Galeri Ilmu. Ia diterima dan mendapat sokongan padu dari pihak penerbit. Tajuk asalnya Cinta Bidayatul Hidayah ditukar kepada tajuk yang lebih catchy dan ringan iaitu Saya Tunggu Awak.

4) Apa cabaran paling besar yang puan hadapi semasa menghasilkan manuskrip pertama?

Saya tidak berdepan banyak masalah sewaktu menyusun modul untuk buku Belajar Membaca Ekspres-i. Barangkali kerana garapan idea tersebut telah berlaku secara beransur-ansur sepanjang mengendalikan bengkel membaca.

Walau bagaimana pun, sewaktu mahu menjebakkan diri sebagai penulis novel, saya berdepan dengan tentangan dari keluarga. Mereka bimbang saya sibuk menulis hingga mengabaikan tuntutan utama perniagaan saya iaitu tadika dan pusat membaca. Paling berat adalah tekanan dari suami. Beliau mempunyai persepsi yang negatif terhadap novel yang dianggap lebih banyak unsur lagha dan melalaikan. Bahkan suami saya turut mempertikaikan kemampuan saya menulis novel memandangkan sepanjang berkahwin, beliau tidak pernah pun melihat saya membaca novel apatah lagi mengikuti sebarang kursus penulisan.

Saya berdepan kesukaran untuk meyakinkan beliau. Idea datang mencurah-curah tetapi tentu sahaja saya tidak akan menukilkannya tanpa restu suami tercinta. Ia satu tekanan yang cukup hebat bagi saya! Akhirnya, setelah enam bulan bersabar menunggu restu, Allah melembutkan hati suami dengan hasil dari solat hajat dan istikharah. Suami akhirnya bersetuju juga, bahkan saya tersenyum bila beliau mengatakan bahawa beliau juga mahu menumpang pahala dari hasil penulisan saya. Masya-Allah. Berbaloi menunggu restu sebegitu lama!

5) Selain menulis manuskrip non fiksyen, adakah puan pernah menulis cerpen? Apa pendapat puan pasal genre ini?

Sewaktu menghasilkan novel Saya Tunggu Awak, saya memang tidak pernah mengikuti sebarang bengkel penulisan, bahkan tidak membaca novel langsung. Saya tidak pernah berminat dengan bidang penulisan dan sejak kecil tidak pula disebut-sebut sebagai berbakat di dalam bidang ini. Saya Tunggu Awak adalah ibarat perintis kepada satu keajaiban. Sungguh saya benar-benar menganggapnya sebagai anugerah daripada Allah.

Bermula dengan novel menjadikan saya agak kekok juga untuk menulis cerpen. Walau bagaimana pun, saya cuba juga menggarap sebuah cerpen apabila diajak oleh seorang sahabat penulis untuk menyertai projek antologi cerpen Kapur Kasut, Kapur Tulis. Ustazi Majnun adalah cerpen pertama saya dan telah terpilih untuk disiarkan di dalam antologi ini.

Menulis cerpen dan novel bukan sahaja berbeza dari segi kepanjangan, bahkan pada kepelbagaian isi yang boleh disampaikan. Menulis cerpen memaksa saya bijak menumpu kepada sesuatu isu. Jalan cerita tidak boleh lari dari sesuatu skop atau mesej kerana tidak mahu ia tampak bercelaru. Garapan cerpen perlu padat, tidak boleh lewah. Watak juga tidak perlu banyak, hanya yang wajib sahaja.

Saya menganggap perbezaan menulis cerpen dan novel adalah lebih kurang sama dengan pengalaman saya menulis skrip untuk shortfilm dan skrip drama. Drama adalah novel dan shorfilm pula adalah cerpen. Shortfilm dan cerpen sama-sama punya ciri yang sama – mesti bersifat khusus dan ringkas dengan satu mesej yang jelas.

6) Diketahui, penulis sinonim dengan istilah writer's block. Apa yang Bonda Nor lakukan sewaktu idea kering?

Saya pernah mengalami writers block yang teruk sewaktu menggarap buku motivasi Ahmad Ammar Engkau Milik-Nya. Semua bahan penulisan sudah ada tetapi berbulan-bulan juga saya seperti kekeringan idea. Buka komputer, taip beberapa baris, padam dan tutup komputer. Saya buntu.

Akhirnya, saya menghubungi Tuan Haji Zakaria selaku sifu penulisan saya yang juga merupakan wakil penerbit. Sambil menceritakan masalah saya, saya turut meminta petua. Beliau memberikan beberapa bentuk ayat dan zikir yang boleh diamalkan. Saya cuba. Masih gagal. Dalam masa yang sama, idea untuk menjadikan kisah Ahmad Ammar dalam bentuk novel pula mencurah-curah.

Lalu, saya hentikan penulisan buku motivasi tersebut dan mula menumpu kepada novel Sahaja Aku Jatuh Cinta. Usai menggarap novel, barulah saya boleh menyambung semula penulisan buku yang tertangguh itu. Bermakna, saya telah menggarap satu kisah yang sama dalam dua bentuk yang berbeza – novel dan buku motivasi. Sungguh, ia writers block yang membuahkan rezeki!

Sehingga kini, adakalanya saya juga dilanda writers block (ringan) terutamanya apabila begitu banyak komitmen perlu diberi perhatian. Terlalu sibuk dengan urusan lain memang boleh menjejaskan tumpuan saya kepada penulisan. Agak sukar mendapat semula mood menulis dan menyambung karya yang terbengkalai. Biasanya, saya akan mengajak suami dan anak-anak melepak di pantai untuk ‘release tension’ seketika dan malamnya saya akan cuba tidur awal. Bangun semula pada jam dua atau tiga pagi, saya akan cuba membaca semula dari awal karya tersebut. Ibarat menoleh ke belakang, kita akan nampak kembali apa yang pernah kita tinggalkan. Biasanya berjaya, insya-Allah dengan lafaz istighfar yang sentiasa saya cuba jadikan amalan.

7) Kita pindah ke soalan yang lebih tenikal. Jika tak keberatan, boleh puan kongsi sedikit mengenai proses dan rangka kerja penulisan puan untuk salah sebuah manuskrip puan?

Saya seorang yang menulis apa yang terlintas di fikiran. Sesuatu yang saya fikir baik untuk dikongsikan, saya akan tulis. Tabiat ini berlaku lama sebelum saya menjadi seorang penulis. Dulu, sebelum ada Facebook, saya telah pun berkongsi pelbagai cerita dan mesej yang ingin disampaikan menerusi medium forum maya, dan menghantar artikel di website terkenal seperti I Luv Islam.

Apabila novel Saya Tunggu Awak meletup dan menjadi bestseller, ramai peminatnya mahukan karya saya yang seterusnya. Timbul cadangan untuk saya mengumpul semula semua artikel dan puisi saya sebelum ini. Inilah detik mula saya menulis buku motivasi. Ia dibukukan di dalam Pujuklah Hati dan saya sendiri terkejut kerana buku ini mendapat sambutan yang sangat baik dari khalayak pembaca. Gerak kerja seperti ini masih saya teruskan, Saya menulis artikel dan puisi secara beransur-ansur di Facebook dan kemudian ianya dibukukan.

8) Sepanjang pengalaman puan sebagai penulis, apa perkara yang paling kritikal dan paling puan pentingkan dalam berkarya dan mengapa?

Saya menulis dengan niat untuk menjana seberapa banyak pahala untuk diri sendiri dan orang lain. Saya menulis dengan niat menyebarkan seberapa banyak kebaikan untuk diri sendiri dan orang lain. Lalu, kesahihan bahan penulisan sangat penting bagi saya. Sebagai seorang yang tidak bergelar asatizah, saya sangat berhati-hati terhadap ayat al-Quran, hadis dan sirah yang saya gunakan di dalam karya saya. Saya akan menyemaknya berkali-kali dan bertanya ustaz sana dan ustazah sini. Bahkan setiap karya saya akan melalui proses tashih terlebih dahulu. Bermakna, sebelum dicetak, karya tersebut akan dibaca oleh mana-mana ustaz atau ustazah untuk diperbetulkan mana-mana yang salah. Setelah itu, barulah saya berasa tenang jika ia mula diedarkan untuk bacaan umum.

9) Apa projek puan yang akan datang? Mohon kongsikan sedikit, untuk makluman para pembaca.

Insya-Allah, sebuah lagi buku motivasi terbaharu saya berjudul Be Strong akan diterbitkan dalam masa terdekat. Ketika ini, saya sedang menyemak dan mengemaskini manuskrip untuk projek buku motivasi remaja yang diusahakan bersama 30 orang penulis lain. Dalam masa yang sama, setiap bulan saya menghantar artikel untuk majalah Anis dan UMKI yang mana kesemua artikel itu juga nantinya akan dibukukan menjadi dua buah buku berasingan. Menjelang akhir tahun ini, saya turut menjangkakan sebuah buku motivasi kehamilan dan pelahiran berjudul Tangisan Bahagia juga akan berjaya disiapkan. Insya-Allah.

10) Supaya boleh dijadikan rujukan para penulis lain, apa judul buku yang paling dekat di hati puan (selain buku sendiri), sehingga dibaca berkali-kali sebab suka?

Saya sangat menyukai buku-buku tulisan almarhum TG Nik Abdul Aziz Nik Mat. Antara yang sering menjadi teman saya ialah buku Tundukkan Hati, Insan Ingatlah, dan Bertemu Janji Allah. Buku Hidayatus Salikin susunan semula Sheikh Ahmad Fahmi Zamzam dan buku Bila Allah Menduga Kita tulisan Ustaz Syed Alwi Al-Attas juga antara yang saya suka ulang baca.


11) Senarai karya Bonda Nor:
























































































12) Sekiranya para pembaca mahu mengikuti perkembangan Bonda Nor, di mana mereka boleh melakukannya?

Insya-Allah, saya aktif di Facebook dan Instagram. Pembaca boleh terus mengikuti perkembangan dan tulisan saya di kedua-dua media sosial ini. Untuk coretan ringkas dan kata-kata hikmah, mereka boleh ikuti saya di Twitter. Insya-Allah, selagi terdaya, inilah medium perjuangan saya – penulisan.

Baca : Bagaimana Mereka Melakukannya - Mazura Stapah

Baca juga : 7 Langkah Menulis Cerpen Dalam Masa 7 Hari

No comments:

Post a Comment