Monday, February 29, 2016

Bagaimana Mereka Melakukannya - Riduan Judin

Bismillah.
Insya-Allah, saya akan mulakan ruangan ‘Bagaimana Mereka Melakukannya?’ di laman ini. Artikel baru akan dimasukkan setiap Selasa.

Sebagai pembukaan, hari ini kita bersama Tuan Riduan Judin, seorang penulis muda yang berbakat besar.

Riduan Judin - penulis Alaf21

1. Terlebih dahulu, mari kita berkenalan dengan beliau.

Riduan Judin - dilahirkan pada 10 september 1992 di Pitas, Sabah. Anak ke-4 daripada 6 adik-beradik. Bersekolah di sekolah harian dan melanjutkan pengajian di Maktab / IPG. Lulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dari IPG Kampus Bahasa Melayu,Kuala Lumpur. Mula berjinak dalam dunia penulisan pada tahun 2012 dalam bidang puisi dan cerpen. Namun mengubah genre kepada novel pada tahun 2013, seterusnya menerbitkan novel pertama (Petaka Nyawa) bersama Alaf 21.


2. Apa pendorong utama tuan menulis?

Pendorong utama saya dalam penulisan ialah yang pertama keluarga, diikuti minat yang mendalam dalam.bidang penulisan dan genre thriller.


3. Bagaimana tuan boleh bermula sebagai penulis genre thriller? Apa langkah pertama yang tuan ambil untuk menjadi seorang penulis kisah thriller?

Baik, sebenarnya minat itu timbul hasil daripada pembacaan novel-novel genre thriller sebelum ni. Lagi pula, saya mengambil kursus penulisan semasa belajar. 

Langkah pertama yang saya ambil adalah mendekati penulis-penulis thriller dan belajar teknik penulisan novel thriller. Kemudian saya cari idea, tulis dan tulis lagi sampai manuskrip siap. Selepas itu saya hubungi rumah penerbitan yang diminati (Alaf21).


4. Wow, tuan memang ikut flow yang cantik! Menulis dalam keadaan tahu. Seterusnya, apa cabaran yang paling besar semasa menghasilkan manuskrip pertama?

Cabaran? Sudah tentu tiada pengalaman dalam menghasilkan novel. Proses penghasilan manuskrip pertama mengambil masa setahun lebih (hampir dua tahun). Semangat pun agak 'down' pada masa-masa tertentu.


5. Dua tahun. Subhnallah, pelaburan masa yang berbaloi apabila melihat hasilnya. Masa down tu, apa yang tuan fikir sampai mahu teruskan juga tulis sampai siap?

Alhamdulillah... berbaloi.
Biasanya bila kekeringan idea... writer’s block! Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan! Minat tidak boleh dihentikan.


6. Ya, jalan terus! Masa idea kering tu apa yang tuan buat untuk segarkan balik plot cerita?

Saya cari idea dengan membaca buku dan tonton filem thriller. Lepas tu, saya baca beberapa bab yang sudah ditulis, sebelum scene yang tersangkut itu. Insya-Allah dan Alhamdulillah, kaedah ini berhasil untuk dapat idea.

7. Memang lelaki thriller. Kagum saya. Sebut pasal buku, buku thriller mana yang paling dekat di hati tuan? Yang tuan pernah baca berkali-kali sebab suka.
Terima kasih....
Hatiku Di Harajuku – Ramlee Awang Murshid, Secret Windows - Stephen King



8. Okey, seterusnya. Bagaimana tuan strukturkan rangka kerja penulisan manuskrip? Adakah tuan guna proses yang sama untuk Petaka Nyawa, Jembalang dan Penjara Mati?
Tidak sama. Rangka kerja Jembalang dan Penjara Mati lebih teratur sebab sudah ada pengalaman dan penambahbaikan daripada penghasilan novel Petaka Nyawa1.


9. Jika tak keberatan, boleh ceritakan prosesnya sikit? Bagaimana tuan cipta watak dan jalan ceritanya, secara ringkas?

Biasanya saya cipta watak berdasarkan keperluan cerita. Contohnya watak seorang pembunuh. Saya akan menonton filem yang ada aksi bunuh atau mencari bagaimana psikologi seorang pembunuh di internet.

Jalan cerita, saya lebih suka kaedah lompat. Maksudnya cerita tak ikut kronologi plot dari A-Z secara tersusun.


10. Sepanjang pengalaman tuan sebagai penulis, apa perkara yang paling kritikal dan paling tuan pentingkan dalam berkarya dan mengapa?

Kekuatan tema dan jalan cerita. Itu yang paling penting. Pengolahan cerita perlu mantap dan tidak meleret.


11. Apa projek tuan yang akan datang? Mohon kongsi sedikit, untuk makluman para pembaca.
Projek akan datang? Sebenarnya editor Alaf ada minta saya menulis untuk satu projek novel thriller. Cuma masih belum diputuskan. Sekarang saya baru siapkan sekuel Petaka Nyawa (Waris Sang Petaka-tajuk sementara). Insya-Allah sekarang tengah tulis novel terbaharu lagi.

Sama-sama kita tunggu kemunculan Waris Sang Petaka, bagi menyertai tiga karya penulis yang lain. All the best!
Karya Riduan Judin di Alaf21

12. Akhir sekali, di mana para pembaca boleh ikuti perkembangan tuan?

Boleh ikuti saya di:
Laman Facebook : Riduan Judin
Instagram : Riduan_Judin





1 comment:

  1. Terima kasih sebab sudi menerbitkan entry pasal saya :)
    Semua pengunjung blog ini boleh kunjungi blog saya seperti yang tertera dalam entrey ini. :)

    ReplyDelete