Tuesday, July 26, 2016

Alhamdulillah, majalah ini sudah sampai semalam.
Rezeki, cerpen terbit di majalah isu 8, Ogos 2016.

Terima kasih tim Demi Cinta dan Telaga Biru Sdn Bhd yang osem.



Setiap kali ada cerpen terbit, saya baca semula dan bandingkan dengan karya yang dihantar.
Perhatikan beberapa perkara:

1. Perubahan yang dibuat oleh editor. Ini termasuklah,
- Ayat yang dicantas
- Ayat yang ditambah
- Ayat yang diubah susunannya

2. Cari kelemahan yang boleh dibaiki untuk karya akan datang.

Ini antara kelebihan menulis cerpen. Prosesnya jauh lebih pantas dan pendek berbanding novel.
Lebih untung, dapat baca juga perkongsian para guru dan tokoh ilmuwan dalam majalah yang sama. Dari situ, dapat bahan baru untuk ditulis.

Karya ini sudah lama dimulakan. Intipati idea ucapan DS Najib (ingat tak ucapan yang banyak kata pujangga tu?), saya kembangkan. Jadilah cerpen ini.
Jangan susah hati, ini bukan kisah politik. Kisah cinta, untuk sahabat dan keluarga.

Rahmah Mokhtar,
Hati ada cinta.

Mengintai Ruang Berkarya di Majalah (Cerpen)

Dalam dunia penulisan fiksyen, salah satu cara cepat untuk membina nama adalah melalui penerbitan cerpen di akhbar, majalah atau antologi penerbit yang tumbuh semakin banyak.

Secara tidak langsung, menghantar karya supaya terbit di ruang terbitan berkala menjadi platform yang baik membina momentum dan semangat untuk terus berkarya. Sementara menanti manuskrip novel dibukukan, kaedah ini ada masanya dilakukan ramai penulis tempatan. Kita juga tidak mahu menjadi penulis yang berputus asa kerana tidak ada karya yang terbit.

Hari ini, saya mahu berkongsi mengenai penerbitan karya secara eceran di majalah tempatan.
Bagaimana mahu melihat karya terbit di majalah?

Langkah Pertama: Beli majalah

Buat pelaburan awal anda dengan membeli majalah yang ada di pasaran. Ciri penulis yang baik, tindakannya dirancang dan bermatlamat.


Sudah ada majalah? Semak tiga perkara.
Satu, maklumat editorial dan ruang kolum majalah. Ada ruang karya pembaca? Jika ada, adakah ia ruang cerpen atau puisi?

Dua, periksa nama pengelola ruangan (jika ada) dan ambil maklumatnya.

Tiga, lihat maklumat penerbitan. Adakah ia diterbitkan secara mingguan, bulanan atau selang dua bulan? Mengetahui maklumat ini, penulis boleh mencongak masa untuk membuat follow up status karya.



Langkah Kedua: Kaji

Selepas memeriksa tiga perkara asas tadi, kita lanjutkan kajian. Baca isi majalah secara keseluruhan dan lihat jenis konten yang dikongsi. Tajuk-tajuk perkongsian para kolumnis, sering menjurus ke mana? Bahasa penyampaiannya, bagaimana?

Juga, kaji karya yang terbit. Apa yang saya maksudkan dengan kaji? Periksa tema, jumlah perkataan dan bahasa. Adakah karya mesti diselitkan hadis atau ayat al-Quran? Adakah kebanyakan karya yang terbit menggunakan POV1? Bahasanya, santai atau bagaimana?

Mengapa perlu baca isi majalah?
Untuk dapatkan ilmu baru, yang penting sebagai input dalam karya kita nanti. Kita adalah apa yang kita baca.

Langkah Ketiga: Tulis

Sudah tahu jenis karya yang terpilih untuk diterbitkan, mula merangka dan tulis karya kita. Bersesuaian dengan tema majalah berkenaan. Sudah siap, edit sendiri. Pastikan karya kita minimal kesalahan tatabahasa dan ejaan. Jika tak mahu edit, dapatkan khidmat editor bebas. Biasanya, harga servis di antara RM3.50 - RM6 per halaman, bergantung kepada tugasan yang diedit.

Siapkan juga satu dokumen lagi yang mengandungi profil penulis.

Apa yang perlu diisi dalam profil penulis?

Nama penuh,
Nama pena (jika ada),
Emel,
No telefon,
Alamat surat-menyurat,
Maklumat bank (nama bank dan no akaun),
Perakuan (penulis mengaku karya yang dihantar adalah bukan karya ciplak atau plagiat, juga belum pernah diterbitkan di mana-mana ruang online dan offline).

Penting: Letak nama dokumen dengan lengkap.

Contoh:
Cerpen Pangkat - Mingguan Wanita - Rahmah Mokhtar.docx
Cerpen Pangkat - Profil Rahmah Mokhtar.docx

Langkah Keempat: Hantar

Apabila karya sudah siap, buka emel, karang isinya dan hantar. Lampirkan kedua-dua dokumen, karya dan profil penulis.

Apa yang perlu ditulis dalam isi emel?

Ini yang selalu dikongsikan oleh guru-guru saya.
1. Ucapan salam, doa
2. Perkenalkan diri
3. Maklumat karya - sinopsis keseluruhan (setengah halaman A4)
4. Maklumat lampiran - nama dokumen yang dilampirkan.

Langkah Kelima: Tulis lagi

Selepas menghantar karya, kita terus menulis cerpen seterusnya. Tempoh menunggu karya terbit, selalunya di antara 1 hingga 6 bulan. Sepanjang tempoh itu, kita hasilkan karya lagi untuk majalah yang sama atau majalah lain pula.

Bila masa yang sesuai untuk buat follow-up?

1. Sehari atau dua hari selepas hantar emel, untuk tanya status penerimaan.
2. Selepas dua minggu, untuk tanya status penilaian (kala majalah mingguan).
3. Selepas sebulan, untuk status penilaian (kala majalah bulanan).

Letak tajuk emel yang jelas. Contohnya, Pertanyaan: Status Penilaian Karya

Bagaimana jika tiada khabar selepas enam bulan?

Selalunya, ia bermakna karya ditolak. Tenang sahaja, emel editor dan tanya status penilaian karya sekali lagi.
Jika tiada maklumbalas, hantar emel kedua dengan tajuk yang jelas; Menarik Semula Karya (Judul: Pangkat).

Dah tarik balik karya, edit dan sesuaikan dengan Ruangan Pembaca di majalah lain pula.

Baik, sampai di sini sahaja.
Selamat menulis!

Rahmah Mokhtar,
Suka menulis cerpen untuk majalah.

Tuesday, July 19, 2016

Rancang, Buat & Capai

"Sasaran tanpa perancangan, adalah semata-mata impian."

Impian, seringkali nampak terlalu jauh untuk dicapai.

Benar, apabila ia hanya diletakkan sebagai impian. Tanpa usaha mendekatkan jaraknya daripada kedudukan sekarang.

Saya olah kata-kata sahabat saya, Tuan Ikram al-Banjari, "Apabila kita takut mahu mencapai sesuatu, ketahuilah ada ketakutan yang lebih besar menanti. Itulah penyesalan."

Bagaimana mahu mendekatkan jarak impian melihat karya siap ditulis?

Langkah pertama selepas menanam impian, siapkan rangka asas dan rangka cerita yang boleh dijadikan panduan sepanjang proses menyudahkan karya.

Dalam rangka asas sebuah cerita, ada lima perkara penting untuk diambilkira:
1. Permulaan
2. Perkembangan konflik
3. Klimaks
4. Peleraian
5. Penyelesaian

Setiap perubahan jalan cerita ini akan melibatkan turun naik emosi dan perubahan corak pemikiran watak utama. Bagi menggabung jalin kesemuanya, ada tiga elemen untuk dimasukkan iaitu aksi dramatik, perkembangan emosi dan tema yang bermakna.

Apabila semua elemen digabungkan, ada dua perkara boleh ditambah dalam rangka plot.

Mahu tahu lanjut, kita cerita pada 24 Julai 2016, jam 2-5 petang.

Whatsapp 'Kelas Online Telegram' ke 011-1567 3645 untuk info pendaftaran.

Plagiat

Plagiat. Peniru.

Semakin dibincangkan, semakin rancak aktiviti ini berkembang.

Ada rakan kata, "Apabila karya ditiru, itu bermakna kita sudah menghasilkan sesuatu yang bagus. Plagiat itu sendiri adalah penghargaan."

Tetapi, ia bukan penghargaan yang boleh buat penerimanya tersenyum. Jiwa besar mana sekalipun, situasi begini mendatangkan marah.

Bayangkan, kita bersengkang mata sampai pagi. Ada masanya tidur sekadar lelap lima minit. Semata-mata mahu menyiapkan sesebuah hasil yang dikategorikan sebagai seni.

Tahu-tahu, apabila ia disiar, dihebah, ada pihak ambil dan salin bulat-bulat. Siap dalam masa tidak sampai dua jam. Ohoi! Tak menentu jiwa kita dibuatnya. Mendidih!

Selain ambil tindakan yang perlu, apa yang boleh dibuat?

Neelofa kata, pihaknya akan buat dua kali ganda lebih baik. Tinggalkan sang peniru dua langkah di belakang.

Kata sahabat saya, "Orang tiru satu, kita ke depan dua."

Kenapa? Sebab dengan sendirinya kita memang sudah di hadapan.
Yang meniru asyik melihat pesaing, sehingga lupa menggali potensi sendiri.

Naik tangga kejayaan satu per satu, dan nikmati kemanisannya sedikit demi sedikit.

Jalan terus.

Thursday, June 30, 2016

Bengkel Klik dan Tulis (Seni Fotografi Potret & Penulisan Kisah Hidup)

A picture tells a thousand words.

Benar.
Sejauh mana ia benar?
Kata Sebastyne Young, "A picture can tell a thousand words, but a few words can change its' story."

Seperti kerja seni yang lain, mengambil foto itu juga ada teknik yang tersendiri.
Ada kemahiran membaca momen yang boleh digilap supaya cerita yang mahu disampaikan melalui gambar, terus hidup dan dibaca sebagaimana yang kita mahu.

Bagaimana mengambil foto yang boleh diangkat sebagai ada cerita?

Saya kira, inilah tuah yang jelas seperti yang kita nampak di kaki sang ayam.
Peluang belajar seni fotografi potret & penulisan kisah hidup.

Info lanjut, klik bit.ly/29jVwzK

Sunday, April 24, 2016

Jejak Jodoh Berdua #4

10 Julai 2015.
Saya menghubungi puan penerbit semula.
Memberi khabar selepas bertanya kepada tuan mentor mengenai konsep dan stail penulisan yang sesuai.

Alhamdulillah, lampu hijau menyala.
Tidak menunggu, saya terus ke poin penting, 'status cadangan projek buku dengan Hafiz Hamidun.'

Kata puan penerbit, "Saya dah maklumkan pada dia. Tapi, dah banyak kali appoinment tertunda. Apapun, secara asasnya dia setuju. Cuma nanti, cikpuan kena buat satu contoh idea cikpuan tu. Senang saya nak tunjuk pada dia."

Automatik, mata bercahaya!
Tanpa silu saya beritahu yang saya tengah sengih. Sengih yang sungguh-sungguh lebar.

Tahu kami miting pukul berapa? Satu pagi.

Maka, proses menulis pun bermula. Sasaran, menyediakan sampel cerita untuk ditunjukkan dalam perjumpaan pertama.

Tapi, sebelum tulis cerita kenalah asingkan quote yang berlambak-lambak tu. Pening kepala dibuatnya. Mahu memilih dan menyusun semuanya ikut kategori.

Saya ambil empat hari jugalah untuk proses pilih-dan-pecah ini. Ada tiga kategori; Motivasi, Jodoh, Sahabat.

Cadangan asal, saya mahu tulis tiga cerpen - satu contoh bagi setiap kategori. Buat permulaan, saya tulis dahulu satu cerpen untuk tajuk jodoh. Mengambil inspirasi daripada lagu Jodoh Berdua, juga memanjangkan semangat Aku Terima Cintanya.

Hujung Julai 2015, ketika saya sedang sibuk dengan persiapan untuk majlis pernikahan dan kenduri kahwin adik (siapkan hantaran, bungkus doorgift, teman adik fitting baju, siapkan jahit manik untuk baju kenduri, etc), puan penerbit hantar mesej.

Bunyinya lebih kurang begini, "Minggu depan miting dengan Hafiz. Bawa proposal cadangan cikpuan yang kita bincangkan tu."

Terus kena serangan panik dan teruja tahap tinggi. Nak melompat gembira, tapi panik banyak sebab sampel cerpen belum siap!

Dalam masa kurang seminggu, saya siapkan satu contoh cerpen. Lagi dua, simpan diam-diam dalam Dropbox.

Akhirnya, tarikh itu tiba.

3 Ogos 2015. Sembilan pagi, puan penerbit telefon.
Mesyuarat waktu lunch!

Tiba-tiba banyak air liur dalam mulut. Telan semuanya. Tarik nafas panjang-panjang, dalam. Tenanglah wahai diri, tenang.

Baru sahaja bertenang, saya teringat.
'Proposal belum print!'

Cepat-cepat ketuk bilik adik segak....
.
.
.
Jejak Jodoh Berdua #4

Rahmah Mokhtar,
Pakar buat kerja saat akhir.


***
Maklumat pre-order, klik
bit.ly/1WaU04J
bit.ly/1WaU04J
bit.ly/1WaU04J

13 cerita, 13 pasang manusia. 13 quote untuk hati.
Sebab jodoh itu rahsia Tuhan.

Jejak Jodoh Berdua #3

Selepas saya kirim ayat yang penuh dengan nilai-nilai murni dan inti kesopanan seorang wanita Melayu akhir zaman, mesej itu terus dibalas. Bertalu-talu.

Paling saya suka, ada ayat ini.

"Saya memang berminat dengan projek ni. Menarik!"

Disambung pula dengan sebaris ayat lain, "Saya akan cuba panjangkan kepada Hafiz."

Kembang hidung sekejap apabila penerbit kata idea kita menarik. Kalau keluarkan sisi dramatik, memang menangis gaya terharu juga dibuatnya.

Tetapi, hal yang buat hidung lupa untuk dikempiskan semula tidak berakhir di situ saja. Kemudian, puan penerbit tambah lagi.

"Cikpuan mahu tak kalau saya emelkan SEMUA quote Hafiz yang kami kumpulkan?"

Oh, this is so wow! Alhamdulillah.
Memang cantik, menarik dan tertarik!

Alang-alang lampu kuning sudah mahu bertukar hijau terang, saya tambah kuah. Meminta dipanjangkan juga cadangan supaya saya mendapatkan cerita Hafiz untuk dimuatkan dalam buku. Mahu mencontohi naskhah Hijabista Hijrahsista, Amoi Berhijab dan Diari Seorang Mujahidah yang ada sisi cerita selebriti.

Walaupun menyedari ada kemungkinan saya akan lebih banyak tergamam sahaja sepanjang sesi temubual nanti (perangai fangirl yang memang tak membantu).

Hasilnya, saya terima balasan... senyap.
Status mesej seen dan ruang itu sepi sehingga 10 Julai 2015....
.
.
.
Jejak Jodoh Berdua #3

Rahmah Mokhtar,
Yang ikut cakap cikgu dan tulis 30 cerpen yang diterbitkan.

***
Maklumat pre-order, klik
bit.ly/1WaU04J
bit.ly/1WaU04J
bit.ly/1WaU04J

13 cerita, 13 pasang manusia. 13 quote untuk hati.
Sebab jodoh itu rahsia Tuhan.

Thursday, April 21, 2016

Jejak Jodoh Berdua #2

Saya tersalah. Sebenarnya, saya hubungi penerbit lebih awal.
Bulan Mei 2015. Hanya, saya memilih berdiam pada bulan itu kerana sibuk-sibuk dengan kerja akhir untuk tesis Sarjana.

Waktu itu pun, saya sedang menyiapkan sebuah manuskrip lain. Jadi, pada bulan Mei ia masih projek dalam kepala saja.

Sambung cerita.
Pada hari bertuah itu dan selepas menunggu 7 jam 32 minit, notifikasi FB messenger muncul di skrin tablet. Menyala-nyala minta dibaca.

Tetapi entah ada urusan apa, saya tak membacanya terus. Silap gaya, nampak macam mengada. Kan?

Sebagai penulis yang santun, saya balas mesej itu... pada pukul 3.42 pagi.
Dengan keyakinan yang entah muncul dari mana, saya beritahu yang saya mahu tulis 15-21 cerpen daripada quotes Hafiz yang sudah saya kumpulkan.

Pesanan dibaca.
Kekal dibaca, untuk 18.2 jam.

Sebagai manusia yang tauhidnya tidak tinggi mana, hati mula bersangka-sangka.
Macam lirik lagu Mawi & Syamsul Yusof, 'Kau fikir kau siapa? Kenapa bajet hot sangat?'

Mulalah episod emosi tunggang-langgang. Sekejap sedih, sekejap teruja. Sekejap rasa nak menangis, sekejap lagi kebal.

Akur, saya pun tulis ayat yang berbunyi lebih merendah diri. Dalam hati, impian menggunung tetap tidak mahu dilepaskan.

Kata saya, "Tapi kalau cadangan ni kurang menarik dan tidak umph, saya maklum. Nanti kita brainstorm supaya lebih menarik."

Nampak tak permainannya di situ?

Rupanya, Tuhan pandang sangka baik yang saya iringkan semasa menghantar mesej pada kali pertama. Ada agenda 'wow' sudah siap-siap disusun di pihak penerbit....
.
.
.
Jejak Jodoh Berdua #2

Rahmah Mokhtar,
Awek engineer berhati tisu.

***

Maklumat pre-order, klik
bit.ly/1WaU04J
bit.ly/1WaU04J
bit.ly/1WaU04J

13 cerita, 13 pasang manusia. 13 quote untuk hati.
Sebab jodoh itu rahsia Tuhan.

Jejak Jodoh Berdua #1

Februari 2015.
Kakak tag saya di ruang komen Berita Harian Online. Saya buka, sebab beliau selalu tag saya untuk hal-hal yang best.

Sebaik saya baca tajuk artikel itu, entah dari mana ada suara memberitahu, 'Kau boleh tulis sesuatu dengan dia ni.'
Saya sudah ingat-ingat lupa, tetapi yang pasti ia cerita Hafiz dengan RM1 dalam poket.
Macam dah sah ada peluang menulis bersama tu, saya selamba berterima kasih kepada kakak kerana tag saya pada hari itu.

Bermula hari itu, saya pasang impian.
Saya mulakan dengan kongsi status dan quote beliau dengan olahan saya sendiri. Tidak tertinggal, saya selit juga nota kaki: Misi MakMah 2015.

Pada bulan Jun 2015, saya sudah nampak apa yang mahu ditulis. Sikit-sikit, saya kumpulkan quotes yang berkaitan dan simpan dalam Dropbox. Terus menanam impian dan meneruskan proses menulis manuskrip Wanita & Rezeki (Ia masih dalam fasa pembetulan).

Rezeki, apabila ia sudah datang, alamatnya memang tak pernah salah.

Pada ketika itu juga, perbincangan hangat mengenai tribe sedang berlangsung di sebuah grup penulis. Puan penerbit, salah seorang yang aktif membincangkannya. Selepas berfikir beberapa kali, saya klik mesej dan tulis-taip-padam-tulis-taip-padam-tulis sebelum menghantar mesej kepada puan penerbit.

Itupun, saya tulis tiga ayat sahaja.

Assalamualaikum.
Puan sedang bercuti?
Maaf ganggu.

Mesej dibaca dan saya menanti dengan debar yang tak terhingga.
Tetapi, selepas beberapa jam ia masih kekal dibaca sahaja....

Jejak Jodoh Berdua #1

Rahmah Mokhtar,
Juara taip-padam yang tak didendang.

***

Maklumat pre-order, klik
bit.ly/1WaU04J
bit.ly/1WaU04J
bit.ly/1WaU04J

13 cerita, 13 pasang manusia. 13 quote untuk hati.
Sebab jodoh itu rahsia Tuhan.

Tuesday, April 12, 2016

Set Minda Writerpreneur

Puan Ainon selalu berkongsi pasal BMC.

Kuncinya, jangan leburkan duit lebih daripada RM2k atas faktor mahu REDAH KASI PECAH.

Apabila difikir-fikirkan, penulis juga kena ada setting yang sama. Sebab kita mahu jadi writerpreneur, penulis usahawan yang menjadi kesayangan para penerbit, apatah lagi yang mahu terbit sendiri.

Sebetulnya saya bermula sebagai penulis dengan jalan itu - REDAH. Waktu itu, fenomenanya tak macam sekarang. Jadi, saya sempat bersiar-siar dengan bahagia sebelum tersedar bahawa jalan yang saya sedang lalu itu semakin sempit dan curam. Akhirnya, macam bisnes yang BUNGKUS, saya tersungkur.

Masa itu, jangan cakaplah pasal kritikan.
"Kau sampai bila nak jadi macam ni?"
"Betul ke kau nak jadi penulis ni?"
"Kenapa kau tulis cerita bangang macam ni?"

Saya mereput sendiri. Enam bulan terperuk, berfikir.
Memang masa ini, saya fikir dah tak mahu menulis.
Alhamdulillah, saya bangun sekali lagi dengan sokongan ahli keluarga dan rakan seperjuangan.

Apa modal seorang penulis?
Selain alat dan masa untuk menulis, modal utama penulis adalah ilmu dan fikirannya. Tetapi, bagaimana mahu sampaikan kedua-danya tanpa tahu cara yang betul?

Maka, saya ambil langkah baru dan pilih bermula dengan berilmu. Saya berguru. Saya belajar skil menulis dan menggarap idea. Juga, saya belajar cara dan etika berhadapan dengan penerbit. Sejak itu, saya hanya toleh ke belakang untuk ambil iktibar kejadian lepas dan berkongsi dengan orang-orang yang mahu dengar.

Atas dasar yang sama, saya beria-ia menulis panduan menulis cerpen. Sebab saya tahu apabila redah dan gagal, kesannya besar kepada emosi dan spiritual seorang penulis. Hendak bangun dan bermula sekali lagi, perlu kepada kekuatan yang sangattt banyak.

Teknik Menulis Cerpen: Langkah Demi Langkah Menulis Cerpen Dengan Cepat & Fokus Sehingga Diterbitkan - supaya tuan dan cikpuan tidak buat kesilapan yang sama macam saya.

Selamat hari Rabu, kawan-kawan.

Rahmah Mokhtar,
Penulis yang memilih mahu jalan terus.

Monday, April 11, 2016

Bagaimana Mereka Melakukannya - Bahruddin Bekri

Alhamdulillah, hari ini kita bertuah kerana dapat bersama mendengar (membaca) perkongsian penulis yang terkenal dengan karya, Penulis Yang Disayang Tuhan dan siri Diari Mat Despatch. Perkenalkan, penulis yang tidak asing lagi, Tuan Bahruddin Bekri.

1. Pertama sekali, boleh ceritakan latar belakang diri dan karya tuan?
- Saya asal Sarawak. Sudah bernikah dan ada dua orang anak perempuan. Saya pelajar yang biasa saja semasa di sekolah, berkat doa orang tua saya dapat masuk U, kemudian menganggur. Kerja itu ini, dan akhirnya saya balik kepada minat yang saya, iaitu menulis.


2. Apa pendorong utama tuan menulis dan mengapa memilih stail penulisan fiksyen?
-Pendorong utama, adalah minat. Tapi setakat tulis di blog. Pada ketika masuk bengkel Puan Ainon, saya dapat dorongan luaran pula. Menulis itu boleh mendatangkan pendapatan. Juga pahala.

3. Pendorong yang sangat memotivasikan. Bagaimana tuan bermula sebagai penulis? Apa langkah pertama yang tuan ambil untuk bergelar penulis?
- Saya menulis sahaja di mana-mana tanpa tahu yang pada suatu masa nanti, minat itu berguna. Kemudian ada friendster. Saya menulis di situ dan ada orang baca. Saya terkejut. Saya menulis di blog, ada komen. Saya bertambah terkejut. Pada ketika datang bengkel penulisan, saya semakin terkejut, Jadi, dalam hidup akan ada banyak kejutan. Cari kejutan itu dalam bidang yang kita minat, dan kejutan-kejutan itu akan menjadi kejutan yang berguna.

4. Kejutan yang berguna, saya suka poin ini. Jadi, selepas terjun sebagai penulis, apa cabaran paling besar yang tuan hadapi semasa menghasilkan manuskrip pertama?
- Walaupun belum ada stail sendiri, tapi saya sudah ada stail penulisan yang saya suka. Kemudian saya kena ikut mazhab penulisan PTS. Memang sengsara juga. Tapi asalkan terbit itu dah cukup baik waktu itu.

5. Sejak akhir-akhir ini tuan banyak menghasilkan karya stail kolaborasi dengan selebriti. Boleh berkongsi tip jika ada yang mahu mengikut jejak tuan?
- Peluang itu datang daripada editor. Berbaik-baik dengan editor, dan biasanya mereka sentiasa ada perancangan baru. Juga kita boleh beri idea kepada mereka. Kerana editor biasanya ada jaringan yang luas dan akses untuk bertemu selebriti.

6. Setakat ini, adakah tuan selesa dengan genre sekarang? Jika diberi pilihan, genre mana lagi yang tuan mahu cuba?
- Tak selesa tapi, saya anggap ia cabaran. Genre yang saya mahu cuba? Entahlah. Tapi memang semuanya saya mahu cuba sebenarnya.

6. Mencabar diri. Ya, penulis memang suka cabaran, Diketahui, penulis sinonim dengan istilah writer's block. Apa yang tuan lakukan sewaktu tiada idea?
- Saya memang tidak menulis. Saya akan tengok tv, jalan-jalan dan apa sahaja selain menulis. Selepas itu, saya beri tempoh akhir siap manuskrip. Ketika tempoh semakin dekat, motivasi akan semakin naik dan writer block biasanya hilang.

7. Betul juga. Set tarikh akhir kadang-kadang memang membantu. Kita pindah ke soalan seterusnya. Jika tak keberatan, boleh tuan kongsi sedikit mengenai proses dan rangka kerja penulisan untuk salah sebuah manuskrip tuan?

- Tidak ada apa sangat sebenarnya. Novel-novel saya memang dikenali oleh editor dan sesetengah pembaca sebagai novel yang sentiasa tersalah atau tertukar watak.
Sebab, biasanya saya hanya ada idea kasar dalam kepala. Hanya muncul satu ada dua watak, dan seiring penulisan bermunculan watak-watak baru. Kemudian plot-plot juga berubah.

Saya terus menulis tanpa memikirkan apa-apa selain mahu kembangkan idea kasar itu menjadi sebuah kisah yang menarik dibaca. Penulisan menjadi adventure, bukan lagi satu bisnes di tangan saya. Saya tidak tahu bagaimana endingnya. Sekiranya sudah ada option ending pun, saya masih tidak tahu bagaimana saya harus sampai ke situ.

Namun untuk buku kolaborasi, saya rakam apa mereka cakap, kemudian ikut apa sahaja apa yang mereka mahu. Tidak ada apa-apa sangat, selain perlu motivasi dan kerajinan.

8. Sepanjang pengalaman tuan sebagai penulis, apa perkara yang paling kritikal dan paling tuan pentingkan dalam berkarya dan mengapa?
- Idea original. Tapi sekarang sangat susah untuk cari idea original 100%. Jadi original saya tu, mungkin 30%-70% pun dah cukup. Sebab ia memberi kesegaran kepada semua orang.

9. Apa projek tuan yang akan datang? Mohon kongsikan sedikit, untuk makluman para pembaca.
- Menulis buku tentang pengembaraan Sani Al Araby di Syria.

10. Semoga proses penulisan buku itu lancar. Supaya boleh dijadikan rujukan para penulis lain, apa judul buku yang paling dekat di hati tuan (selain buku sendiri), sehingga dibaca berkali-kali sebab suka?
- Macam orang lain juga, saya suka karya-karya Andrea Hirata. Novel-novel Pramoedya Ananta Toer. Juga novel-novel semasa saya sekolah rendah. Malangnya semasa sekolah rendah saya tak peduli pun dengan penulisnya. Antara yang saya dapat trace balik adalah, novel arwah Azizi Abdullah.

11. Jika para pembaca mahu mengikuti perkembangan tuan, di mana mereka boleh dapatkan cerita terkini pasal Bahruddin Bekri?
- Saya tidak tahu sebenarnya. Sebab biasanya saya kurang untuk berkongsi sehingga benda tu sudah jadi. Orang putih kata, "Work hard in silence, let your success be your noise." Juga termasuk hal-hal peribadi. Jadi kalau ada di FB yang saya kongsi-kongsi tu, maknanya sudah habis tapislah tu. Sudah tak berapa peribadi sangatlah tu. Follow FB saya pun okey. Adalah satu dua cerita saya di situ.

Alhamdulillah, semoga terus sukses tuan. Semoga kita semua menjadi penulis yang disayang Tuhan, amin.

Baik, itu sahaja soalan saya, setakat ini.
Terima kasih banyak-banyak tuan.
- Sama-sama.

Antara karya Bahruddin Bekri:

Panduan untuk penulis. Sudah baca buku bagus ini?
Jika belum, dapatkannya sekarang di bookcafe.

Siri Diari Mat Despatch
Antara karya Bahruddin Bekri. Boleh dapatkannya di sini

Thursday, April 7, 2016

Usah Simpan

Beberapa hari lalu saya tanya kepada Puan Suhana Salleh pasal ebook 7 Langkah Menulis Cerpen Dalam Masa 7 Hari.

Niat bertanya sebab mahu cari tahu apa lagi keperluan beliau.

Sudahnya saya yang terharu apabila beliau kata,

"Sebenarnya saya suka menulis. Tapi banyak karya saya yang pada peringkat idea sahaja. Selepas saya jumpa Cik Rahmah baru saya sedar saya tak boleh simpan saja semua tu. Saya kena baiki dan hantarkan ke mana-mana supaya orang lain pun dapat yang baik-baik daripada karya saya."

Beliau tambah lagi, terkesan dengan ayat sifu Tuan Izwan Robotys, "Sesalan paling besar dalam hidup seorang penulis adalah apabila dia terbaring sakit di atas katil dengan hakikat tiada satupun karyanya yang terbit." (Saya olah lagi ayat ini, ikut pemahaman saya).

Terdiam jugalah.

Subhanallah. Terus terngiang ayat yang Allah ulang 31 kali dalam surah ar-Rahman.

#ThisIsLife

Monday, April 4, 2016

Bagaimana Mereka Melakukannya - Sofuan Saadon

Alhamdulillah, hari ini kita bersama seorang penulis muda. Beliau seorang guru berjiwa besar yang sedang bertugas di Matu, Sarawak. Beliau bertanya, kenapa saya memilihnya untuk sesi kali ini. Sebabnya, saya belum menemubual penulis yang membawa genre anekdot. Jadi, mari kita belajar sedikit mengenai penulisan anekdot daripada beliau.

Buat yang tidak tahu, Anekdot adalah sebuah cerita singkat dengan unsur humor atau menarik, yang mungkin menggambarkan kejadian atau orang sebenarnya. Anekdot selalu disajikan berdasarkan pada kejadian nyata melibatkan orang-orang sebenar, sama ada terkenal atau tidak, di suatu tempat yang dapat dikenalpasti.


Assalamualaikum wbt Sofuan. Terima kasih kerana sudi ditemubual.

Terima kasih kembali kerana sudi menemubual saya. Saya sangat berbesar hati dapat berkongsi sesuatu dengan orang yang pernah berkolaborasi dengan Hafiz Hamidun. Kira orang yang bertanya ini pun sudah sebaris artis la, kan? Kikiki....

1. Ehem. Macam-macam tuan ni. Pertama sekali, boleh ceritakan latar belakang diri dan karya tuan?

Nama penuh saya ialah Muhammad Sofuan bin Saadon. Lahir pada 10 Disember 1989 di Taiping, Perak. Beberapa bulan selepas saya lahir, keluarga saya berpindah ke Pengkalan Hulu, Perak dan terus menetap di sana sehingga sekarang. Ketika soalan ini dijawab, status saya masih bujang. 

Berkenaan pendidikan pula, selepas tamat pengajian tingkatan 6, saya melanjutkan pengajian ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Bahasa Melayu. Minor pengajian saya ialah Kesusasteraan Melayu. Saya ditempatkan di Matu, Sarawak sebagai seorang pendidik bagi majoriti anak Melanau di sini bermula pada 2 Julai 2014.

Sehingga hari ini, saya telah mempunyai tiga buku solo dan dua buku kumpulan cerpen bersama penulis-penulis lain. Buku-buku tersebut ialah Untuk Buat Anda Terkesan (2014), Anekdot Seorang Cikgu (2015), Dalam Bilik Darjah (2016), Kumpulan Cerpen Komplot Penulis (2015) dan Kumpulan Cerpen Sedetik.Doc (2016). Saya bertuah apabila buku 'Untuk Buat Anda Terkesan' yang sebelum ini diterbitkan sendiri telah diterbitkan semula oleh rumah penerbitan Mustread.




2. Soalan kedua, apa pendorong utama tuan menulis dan mengapa memilih stail penulisan anekdot?

Pendorong utama saya menulis ialah ibu saya sendiri iaitu Puan NoorAziah binti Ahmad. Beliau sentiasa menyokong apa saja pekerjaan yang saya lakukan termasuk dalam bidang penulisan ini. Selain beliau, saya didorong oleh diri sendiri. 
Bagi saya, menulis ini adalah satu hobi. Satu terapi bagi menenangkan jiwa, berkongsi cerita dan meluah rasa. Sejak di bangku sekolah, saya seorang yang suka berkongsi apa yang saya tahu dengan rakan-rakan. Walaupun mungkin perkara itu nampak kecil dan remeh, tetapi jika ia sesuatu yang baru bagi saya, saya akan sebarkannya pula kepada rakan-rakan. Selain menggunakan cara lisan, penulisan adalah medium lain untuk perkara ini dilaksanakan.

Penulisan anekdot begitu dekat dengan diri saya kerana dipengaruhi bahan yang saya baca. Sebelum saya mempunyai buku sendiri, saya lebih gemar membaca buku anekdot seperti ini berbanding novel. Kebiasannya, buku anekdot ini menggunakan gaya bahasa dan pendekatan yang santai dan bersahaja. Mudah untuk dibaca dalam apa jua keadaan.

Selain itu, struktur tulisan anekdot itu sendiri adalah padat dan ringkas. Saya ada masalah untuk mengembangkan idea penulisan saya menjadi panjang. Jadi, mungkin ini juga sebab saya memilih penulisan anekdot. 

3. You are  what you read. Nampaknya tuan dah jadikan ia, 'You are whta you read and write.'  Hebat! Bagaimana tuan bermula sebagai penulis? Apa langkah pertama yang tuan ambil untuk bergelar penulis?

Jika diikutkan, saya telah bermula pada tahun 2011 tetapi pada waktu itu saya tidak sedar yang saya sebenarnya telah menjadi 'penulis'. Saya masih ingat tarikhnya iaitu 11.11.11. Tarikh saya membuka blog ubatsofuan@blogspot.com dan mula menulis di situ. 

Akibat kesibukan dengan tesis semester akhir di universiti, blog tersebut tidak lagi aktif sehinggalah pada suatu hari, saya menerima mesej daripada seseorang yang menyuruh saya menulis buku kerana tertarik dengan perkongsian-perkongsian saya selama ini. Saya cuma tulis benda yang suka tak saya tak sangka orang lain pun suka. 

Langkah awal yang saya buat adalah mengemaskini kembali bahan dalam blog tersebut dan beberapa bulan selepas itu, saya terbitkan sendiri buku UBAT (Untuk Buat Anda Terkesan).

4. Apa cabaran paling besar yang tuan hadapi semasa menghasilkan manuskrip pertama?

Ketika menulis buku pertama, saya tak ada langsung buku tip penulisan sebagai rujukan. Malah, pada waktu itu juga saya tak pernah pergi ke mana-mana bengkel penulisan. Boleh dikatakan cabaran yang paling utama adalah saya perlu FIKIR dan BUAT SEMUANYA tanpa sebarang ilmu. Bukan setakat menulis, tetapi mencari editor, membuat kaver desain (upah kawan dengan topup), menghantar ke kedai untuk cetakan, mengambil pesanan dan menjualnya. 

Manuskrip UBAT itu pernah ditolak oleh beberapa penerbit. Inilah sebab utama saya menerbitkannya sendiri. Jadi, cabaran lain menulis buku pertama adalah mencari penerbit kepada manuskrip mengikut genre yang kita telah siapkan itu. Saya banyak belajar daripada ini. Nasihat saya kepada penulis di luar sana, jangan main hentam kromo saja hantar manuskrip anda itu. Kaji setiap penerbit sebelum niat mahu hantar. Jangan jadi macam saya. Manuskrip motivasi tetapi hantar kepada penerbit yang mengeluarkan novel-novel cinta. Memang wajiblah kena tolak.

5. Adakah tuan selesa dengan genre sekarang? Jika diberi pilihan, genre mana lagi yang tuan mahu cuba?

Saya sangat selesa dengan genre sekarang. Namun, saya sedar jika ini berterusan, saya tidak akan mencabar diri sendiri. Saya punya banyak impian dalam kerja penulisan ini. Ada yang telah tercapai. Banyak lagi yang belum. Salah satu daripadanya adalah mahu ada sekurang-kurangnya satu novel sebelum saya meninggalkan dunia ini buat selamanya. 

Saya tak ada kemahiran untuk menulis karya fiksyen. Cerpen pertama saya pun ambil masa enam bulan untuk disiapkan tapi syukur juga kerana Majalah Mingguan Wanita sudi mengeluarkannya dalam ruangan mereka. Semoga satu hari saya akan ada novel tulisan sendiri. Kalau pun tidak berjaya diterbitkan oleh mana-mana penerbitan, ia tetap menjadi satu kejayaan kepada diri saya.  

6. Diketahui, penulis sinonim dengan istilah writer's block. Apa yang tuan lakukan sewaktu tiada idea?

Kebanyakan karya saya adalah non-fiksyen. Dalam satu buku akan ada 100 lebih cerita. Jika berlaku writer's block, saya tinggalkan saja bahagian itu dan tulis bahagian lain. Jika berlaku lagi writer's block, saya tutup laptop dan buat kerja lain. Saya akan sambung balik pada masa lain.

Untungnya saya adalah kerana saya tak kejar apa-apa dateline. Ketika menulis sesebuah buku, saya hanya menulis sampai siap tanpa memikirkan kepada siapa saya mahu layangkan manuskrip itu. Jadi saya tak terikat dengan masa. Saya tulis bila-bila masa saya suka. 

7. Kita pindah ke soalan yang lebih teknikal. Jika tak keberatan, boleh tuan kongsi sedikit mengenai proses dan rangka kerja penulisan untuk salah sebuah manuskrip tuan?

Izinkan saya makan nasi goreng ayam ini dulu. Saya di kedai makan ni.

Bahan utama ketika menulis buku pertama ada blog saya sendiri. Saya mengambil bahan-bahan yang sesuai sebagai teras penulisan dan saya memperkemaskannya menjadi satu manuskrip. Berbeza dengan buku kedua dan ketiga yang saya gunakan facebook untuk menyimpan tulisan-tulisan tersebut sebelum dibukukan.

Saya serik untuk menyimpan bahan penulisan di dalam 'note' telefon. Risikonya sangat besar kerana jika telefon rosak, semua bahan penulis tidak akan dapat diselamatkan lagi. Saya juga ada pengalaman rumah dipecah masuk dan telefon dicuri. 

8. Dah kenyang? Mari kita teruskan lagi. Sepanjang pengalaman tuan sebagai penulis, apa perkara yang paling kritikal dan paling tuan pentingkan dalam berkarya dan mengapa?

Walaupun saya tidak menulis buku ilmiah atau sesuatu isu yang berat, saya meletakkan setiap karya saya perlu ada tiga elemen ini. Pendidikan, hiburan dan motivasi. Sia-sia orang hanya ketawa pada waktu itu jika tak ada apa yang mereka belajar atau bawa dalam kehidupan seharian mereka. Biarlah mereka dapat hanya satu ilmu baru dalam buku tetapi perkara baik itu akan berguna jika mereka aplikasi dalam hidup dan menyebarkan pula kepada orang lain. Ini sudah cukup buat saya gembira. 

9. Pendidikan, hiburan dan motivasi. Saya suka poin ini. Jadi, apa projek tuan yang akan datang? Mohon kongsikan sedikit, untuk makluman para pembaca.

Saya dengan seorang pelukis ilustrasi yang juga guru sedang merancang untuk membuat satu komik berpendidikan. Besar impian kami untuk melihat ada buku komik seumpama ini di sekolah-sekolah yang dihasilkan oleh guru sendiri, bukan pihak luar.

Di samping itu, saya juga telah dipertanggungjawabkan dengan satu projek penulisan cerpen. Saya akan bertindak sebagai penyelenggara bagi projek penulisan tersebut. Jika projek ini berjalan dengan lancar, ia akan menjadi projek buku pertama di bawah selenggaraan saya. 

10. Supaya boleh dijadikan rujukan para penulis lain, apa judul buku yang paling dekat di hati tuan (selain buku sendiri), sehingga dibaca berkali-kali sebab suka?

Walaupun saya lebih gemar membaca buku-buku anekdot atau catatan ringkas, buku yang dekat di hati saya bukanlah buku-buku seumpama itu. Buku yang dimaksudkan itu adalah sebuah novel bertajuk 'Jibam' tulisan Kartunis Ujang. Novel itu memaparkan citra masyarakat dengan begitu berkesan sehinggakan seolah-olah saya menjadi sebahagian daripada watak-watak yang terdapat dalam novel tersebut. Saya dibawa masuk ke dalamnya. 



11. Jibam, memang naskhah yang mengesankan. Baik, jika para pembaca mahu mengikuti perkembangan tuan, di mana mereka boleh dapatkan cerita terkini pasal Sofuan Saadon?

Saya aktif berfacebook. Cari saja saya di akaun facebook bernama Sofuan Saadon. Saya juga ada Instagram dengan nama yang sama. Akaun twitter juga pernah ada tetapi sudah lupa password. Kalau nak nombor telefon saya pula, minta pada mak saya. 

Baik, itu sahaja soalan saya, setakat ini.
Terima kasih banyak-banyak tuan.

Sama-sama.

Monday, March 28, 2016

Bagaimana Mereka Melakukannya - Bonda Nor

Alhamdulillah, hari ini kita bersama Puan Norli Madlan yang terkenal dengan nama pena Bonda Nor. Terima kasih puan, atas kesudian ditemubual.



1) Pertama sekali, boleh ceritakan latar belakang diri dan karya puan?

Nama penuh saya – Norli binti Madlan, berasal dari Melaka dan setelah berkahwin, mengikut suami menetap di Terengganu. Seorang usahawan dalam bidang pendidikan kanak-kanak. Sudah terlibat membuka pusat tuisyen, tadika dan pusat membaca lebih kurang 16 tahun.

Pengalaman mengendalikan bengkel membaca ekspres telah menyebabkan saya menulis buku pertama saya iaitu set buku Belajar Membaca Ekspres-I pada tahun 2006. Sebagai pengasas kaedah ini, saya turut menjadi penceramah literasi kepada guru-guru dan ibubapa dalam siri seminar Teknik Mudah Mengajar Membaca.

Penglibatan saya dalam penulisan kreatif pula ialah pada tahun 2013 dengan kemunculan novel Saya Tunggu Awak, diikuti buku motivasi berjudul Pujuklah Hati. Kemudian, terlahir karya seterusnya iaitu novel Sahaja Aku Jatuh Cinta, Ahmad Ammar Engkau Milik-Nya, Bila Hati Berkata, Biar Hati Terasa (tulisan bersama Prof Muhd Kamil Ibrahim), Be Cool – Pujuklah Hati 2. Saya juga ada menulis untuk sebuah buku antologi cerpen berjudul Kapur Kasut vs Kapur Tulis, dan sebuah buku antologi puisi iaitu Melompat Keluar Dari Mimpi.

2) Soalan kedua, apa pendorong utama puan menulis dan mengapa memilih genre motivasi?

Kita semua akan meninggal dunia, dan kita perlu meninggalkan sesuatu yang boleh terus membuahkan kita pahala. Saya memandang bidang penulisan sebagai ladang yang cukup besar untuk menyemai benih-benih pahala. Bagi saya, antara ciri penulisan yang baik adalah penulisan yang mampu membawa pembaca mengingati Allah. Maka, saya memilih untuk menulis novel tarbiah dan novel motivasi untuk sentiasa mengingatkan diri sendiri dan orang lain tentang hakikat hidup bertuhankan Allah.

3) Bagaimana Bonda Nor bermula sebagai penulis? Apa langkah pertama yang puan ambil untuk bergelar penulis?
Selain buku Belajar Membaca Ekspres-I, saya tidak pernah terfikir untuk menjadi seorang penulis buku atau novel. Ia bermula dengan penyertaan saya ke Seminar Hidayatus Salikin. Seminar seminggu itu sangat memberi kesan kepada jiwa saya kerana ia memfokus kepada kupasan kitab Imam al-Ghazali iaitu Hidayatus Salikin (Asalnya ialah Bidayatul Hidayah).

Saya fikir, betapa hebatnya ilmu-ilmu yang terdapat di dalam kitab lama ini dan hati diruntun rasa ingin menyampaikannya kepada orang lain. Oleh kerana saya bukan seorang ahli agama, maka saya mengambil keputusan untuk menyampaikannya dalam bentuk yang lebih santai iaitu novel. Saya menulis beberapa bab, menunjukkannya kepada seorang sahabat baik dan mendapat maklumbalas positif daripadanya. Allah mempermudahkan usaha ini.

Dalam masa tiga bulan, saya berjaya menyiapkan lebih 600 halaman manuskrip dan menyerahkannya kepada Tuan Haji Zakaria Sungib di Galeri Ilmu. Ia diterima dan mendapat sokongan padu dari pihak penerbit. Tajuk asalnya Cinta Bidayatul Hidayah ditukar kepada tajuk yang lebih catchy dan ringan iaitu Saya Tunggu Awak.

4) Apa cabaran paling besar yang puan hadapi semasa menghasilkan manuskrip pertama?

Saya tidak berdepan banyak masalah sewaktu menyusun modul untuk buku Belajar Membaca Ekspres-i. Barangkali kerana garapan idea tersebut telah berlaku secara beransur-ansur sepanjang mengendalikan bengkel membaca.

Walau bagaimana pun, sewaktu mahu menjebakkan diri sebagai penulis novel, saya berdepan dengan tentangan dari keluarga. Mereka bimbang saya sibuk menulis hingga mengabaikan tuntutan utama perniagaan saya iaitu tadika dan pusat membaca. Paling berat adalah tekanan dari suami. Beliau mempunyai persepsi yang negatif terhadap novel yang dianggap lebih banyak unsur lagha dan melalaikan. Bahkan suami saya turut mempertikaikan kemampuan saya menulis novel memandangkan sepanjang berkahwin, beliau tidak pernah pun melihat saya membaca novel apatah lagi mengikuti sebarang kursus penulisan.

Saya berdepan kesukaran untuk meyakinkan beliau. Idea datang mencurah-curah tetapi tentu sahaja saya tidak akan menukilkannya tanpa restu suami tercinta. Ia satu tekanan yang cukup hebat bagi saya! Akhirnya, setelah enam bulan bersabar menunggu restu, Allah melembutkan hati suami dengan hasil dari solat hajat dan istikharah. Suami akhirnya bersetuju juga, bahkan saya tersenyum bila beliau mengatakan bahawa beliau juga mahu menumpang pahala dari hasil penulisan saya. Masya-Allah. Berbaloi menunggu restu sebegitu lama!

5) Selain menulis manuskrip non fiksyen, adakah puan pernah menulis cerpen? Apa pendapat puan pasal genre ini?

Sewaktu menghasilkan novel Saya Tunggu Awak, saya memang tidak pernah mengikuti sebarang bengkel penulisan, bahkan tidak membaca novel langsung. Saya tidak pernah berminat dengan bidang penulisan dan sejak kecil tidak pula disebut-sebut sebagai berbakat di dalam bidang ini. Saya Tunggu Awak adalah ibarat perintis kepada satu keajaiban. Sungguh saya benar-benar menganggapnya sebagai anugerah daripada Allah.

Bermula dengan novel menjadikan saya agak kekok juga untuk menulis cerpen. Walau bagaimana pun, saya cuba juga menggarap sebuah cerpen apabila diajak oleh seorang sahabat penulis untuk menyertai projek antologi cerpen Kapur Kasut, Kapur Tulis. Ustazi Majnun adalah cerpen pertama saya dan telah terpilih untuk disiarkan di dalam antologi ini.

Menulis cerpen dan novel bukan sahaja berbeza dari segi kepanjangan, bahkan pada kepelbagaian isi yang boleh disampaikan. Menulis cerpen memaksa saya bijak menumpu kepada sesuatu isu. Jalan cerita tidak boleh lari dari sesuatu skop atau mesej kerana tidak mahu ia tampak bercelaru. Garapan cerpen perlu padat, tidak boleh lewah. Watak juga tidak perlu banyak, hanya yang wajib sahaja.

Saya menganggap perbezaan menulis cerpen dan novel adalah lebih kurang sama dengan pengalaman saya menulis skrip untuk shortfilm dan skrip drama. Drama adalah novel dan shorfilm pula adalah cerpen. Shortfilm dan cerpen sama-sama punya ciri yang sama – mesti bersifat khusus dan ringkas dengan satu mesej yang jelas.

6) Diketahui, penulis sinonim dengan istilah writer's block. Apa yang Bonda Nor lakukan sewaktu idea kering?

Saya pernah mengalami writers block yang teruk sewaktu menggarap buku motivasi Ahmad Ammar Engkau Milik-Nya. Semua bahan penulisan sudah ada tetapi berbulan-bulan juga saya seperti kekeringan idea. Buka komputer, taip beberapa baris, padam dan tutup komputer. Saya buntu.

Akhirnya, saya menghubungi Tuan Haji Zakaria selaku sifu penulisan saya yang juga merupakan wakil penerbit. Sambil menceritakan masalah saya, saya turut meminta petua. Beliau memberikan beberapa bentuk ayat dan zikir yang boleh diamalkan. Saya cuba. Masih gagal. Dalam masa yang sama, idea untuk menjadikan kisah Ahmad Ammar dalam bentuk novel pula mencurah-curah.

Lalu, saya hentikan penulisan buku motivasi tersebut dan mula menumpu kepada novel Sahaja Aku Jatuh Cinta. Usai menggarap novel, barulah saya boleh menyambung semula penulisan buku yang tertangguh itu. Bermakna, saya telah menggarap satu kisah yang sama dalam dua bentuk yang berbeza – novel dan buku motivasi. Sungguh, ia writers block yang membuahkan rezeki!

Sehingga kini, adakalanya saya juga dilanda writers block (ringan) terutamanya apabila begitu banyak komitmen perlu diberi perhatian. Terlalu sibuk dengan urusan lain memang boleh menjejaskan tumpuan saya kepada penulisan. Agak sukar mendapat semula mood menulis dan menyambung karya yang terbengkalai. Biasanya, saya akan mengajak suami dan anak-anak melepak di pantai untuk ‘release tension’ seketika dan malamnya saya akan cuba tidur awal. Bangun semula pada jam dua atau tiga pagi, saya akan cuba membaca semula dari awal karya tersebut. Ibarat menoleh ke belakang, kita akan nampak kembali apa yang pernah kita tinggalkan. Biasanya berjaya, insya-Allah dengan lafaz istighfar yang sentiasa saya cuba jadikan amalan.

7) Kita pindah ke soalan yang lebih tenikal. Jika tak keberatan, boleh puan kongsi sedikit mengenai proses dan rangka kerja penulisan puan untuk salah sebuah manuskrip puan?

Saya seorang yang menulis apa yang terlintas di fikiran. Sesuatu yang saya fikir baik untuk dikongsikan, saya akan tulis. Tabiat ini berlaku lama sebelum saya menjadi seorang penulis. Dulu, sebelum ada Facebook, saya telah pun berkongsi pelbagai cerita dan mesej yang ingin disampaikan menerusi medium forum maya, dan menghantar artikel di website terkenal seperti I Luv Islam.

Apabila novel Saya Tunggu Awak meletup dan menjadi bestseller, ramai peminatnya mahukan karya saya yang seterusnya. Timbul cadangan untuk saya mengumpul semula semua artikel dan puisi saya sebelum ini. Inilah detik mula saya menulis buku motivasi. Ia dibukukan di dalam Pujuklah Hati dan saya sendiri terkejut kerana buku ini mendapat sambutan yang sangat baik dari khalayak pembaca. Gerak kerja seperti ini masih saya teruskan, Saya menulis artikel dan puisi secara beransur-ansur di Facebook dan kemudian ianya dibukukan.

8) Sepanjang pengalaman puan sebagai penulis, apa perkara yang paling kritikal dan paling puan pentingkan dalam berkarya dan mengapa?

Saya menulis dengan niat untuk menjana seberapa banyak pahala untuk diri sendiri dan orang lain. Saya menulis dengan niat menyebarkan seberapa banyak kebaikan untuk diri sendiri dan orang lain. Lalu, kesahihan bahan penulisan sangat penting bagi saya. Sebagai seorang yang tidak bergelar asatizah, saya sangat berhati-hati terhadap ayat al-Quran, hadis dan sirah yang saya gunakan di dalam karya saya. Saya akan menyemaknya berkali-kali dan bertanya ustaz sana dan ustazah sini. Bahkan setiap karya saya akan melalui proses tashih terlebih dahulu. Bermakna, sebelum dicetak, karya tersebut akan dibaca oleh mana-mana ustaz atau ustazah untuk diperbetulkan mana-mana yang salah. Setelah itu, barulah saya berasa tenang jika ia mula diedarkan untuk bacaan umum.

9) Apa projek puan yang akan datang? Mohon kongsikan sedikit, untuk makluman para pembaca.

Insya-Allah, sebuah lagi buku motivasi terbaharu saya berjudul Be Strong akan diterbitkan dalam masa terdekat. Ketika ini, saya sedang menyemak dan mengemaskini manuskrip untuk projek buku motivasi remaja yang diusahakan bersama 30 orang penulis lain. Dalam masa yang sama, setiap bulan saya menghantar artikel untuk majalah Anis dan UMKI yang mana kesemua artikel itu juga nantinya akan dibukukan menjadi dua buah buku berasingan. Menjelang akhir tahun ini, saya turut menjangkakan sebuah buku motivasi kehamilan dan pelahiran berjudul Tangisan Bahagia juga akan berjaya disiapkan. Insya-Allah.

10) Supaya boleh dijadikan rujukan para penulis lain, apa judul buku yang paling dekat di hati puan (selain buku sendiri), sehingga dibaca berkali-kali sebab suka?

Saya sangat menyukai buku-buku tulisan almarhum TG Nik Abdul Aziz Nik Mat. Antara yang sering menjadi teman saya ialah buku Tundukkan Hati, Insan Ingatlah, dan Bertemu Janji Allah. Buku Hidayatus Salikin susunan semula Sheikh Ahmad Fahmi Zamzam dan buku Bila Allah Menduga Kita tulisan Ustaz Syed Alwi Al-Attas juga antara yang saya suka ulang baca.


11) Senarai karya Bonda Nor:
























































































12) Sekiranya para pembaca mahu mengikuti perkembangan Bonda Nor, di mana mereka boleh melakukannya?

Insya-Allah, saya aktif di Facebook dan Instagram. Pembaca boleh terus mengikuti perkembangan dan tulisan saya di kedua-dua media sosial ini. Untuk coretan ringkas dan kata-kata hikmah, mereka boleh ikuti saya di Twitter. Insya-Allah, selagi terdaya, inilah medium perjuangan saya – penulisan.

Baca : Bagaimana Mereka Melakukannya - Mazura Stapah

Baca juga : 7 Langkah Menulis Cerpen Dalam Masa 7 Hari

Thursday, March 24, 2016

Meletakkan Piawai Karya Sendiri

Dua minggu lepas saya berbual dengan seorang rakan penulis.
Seperti selalu, beliau rajin mengirim cerpen yang siap ditulis untuk saya baca dan komen dan kutuk. 
Macam ritual bulanan pun ada.
Sengaja saya beritahu, "Saya tak nak komen banyak, hanya... dan ...."
Dua hal sahaja dan rakan saya balas, "Saya baca belum cukup lancar di bibir. Masih sangkut-sangkut."
Tersenyum.
Mengiyakan, "Sebab itu saya tak nak komen banyak. Standard tuan tetapkan pun dah cukup tinggi."

Ya, meletakkan standard untuk setiap karya yang ditulis sebelum hantar kepada editor. Ini salah satu tanggungjawab penulis. Menentukan kedudukan diri sendiri dan tidak hanya membiarkan editor menelan kepahitan, membetulkan setiap kesilapan remeh dalam karya kita.
Kawan-kawan, teruskan langkah!

Wednesday, March 23, 2016

Kali Pertama

Hari ini, saya mahu buka sebuah cerita lama.
Pengalaman kali pertama saya mengirim proposal ke sebuah rumah penerbitan. Masa itu, semuanya berlaku dengan sungguh cepat sampai saya tak sempat nak fikir apa-apa.
Mula-mula, saya redah sahaja. Entah kuasa dari mana, saya hantar emel kepada penulis kegemaran saya, Bahruddin Bekri. Masa itu, saya lampirkan sahaja coretan pasal watak yang tiba-tiba muncul dalam fikiran.
Tahu-tahu, dia kata ini bagus dan sesuai dinovelkan. Dia minta saya siapkan sinopsis. Oh, buat yang tak tahu saya bermula dengan novel.
Menggeletar dengan semangat, saya siapkan sinopsis - yang waktu itu saya pun tak pasti macam mana rupanya. (Ini kesilapan pertama saya. Tak cari tahu lebih dahulu.)

Rezeki, Tuan Bahar memang penyabar dan tenang orangnya. Selepas saya kirim sinopsis yang salah, dia ajarkan saya cara menulis sinopsis yang betul. Maka, saya buat sambil belajar melalui emel. (Saya belajar dengan beliau - balas emel dan mesej yang bertanyakan hal penulisan, semampu mungkin.)
Tak sampai dua minggu, editor (Tuan bahar panjangkan sinopsis saya kepada Ketua Editor di PTS Litera) balas emel saya dan minta saya siapkan dan hantar manuskrip dalam tempoh tiga bulan. Ternganga.

Garu kepala.
Sengih.
Cubit lengan.
Sengih lagi.
Semangat naik mencanak!
Laju saya sambung tulis. Setiap hari, saya menulis tanpa gagal. Di dalam tren, saya menulis dalam buku nota. Balik, saya taip semula di laptop. Waktu rehat tengah hari, saya menulis di makmal.
Sesudah hantar manuskrip dan menunggu dinilai, saya sibuk berangan. Ini kesilapan saya yang kedua, terlalu positif dan bersangka baik sampai jadi fantasi. Haha.

Akhirnya, editor panggil ke pejabat.
Tandatangan perjanjian penerbitan.
Dengan riang, saya pergi dengan seorang rakan. Asyik tersenyum sepanjang jalan dan terus hidup dengan fantasi.
Sampai di pejabat penerbitan, cerita indah saya berkecai.
Editor minta saya olah semula manuskrip. Bukan sikit, tapi sebahagian besar!

"Cerita awak, banyak bahagian yang mengelirukan. Saya tak tahu siapa pekata dialog, keemudian banyak sangat naratif."

Saya tengok satu halaman yang diconteng besar-besar, 'Olah semula.'
Nampak kesan menulis tanpa tahu ilmunya?
Mengolah semula secara total, ia bukan perkara kecil. Lebih-lebih lagi untuk manuskrip novel.

Dalam keadaan keliru itu, editor tunjukkan cadangan kaver buku saya.
'Dah siap!'

Semangat saya naik semula. Lebih naik apabila editor kata, "Kalau awak siapkan olahan on time, inilah kaver buku awak. Kalau tak, jadi kaver buku orang lain."
Saya diam. Balik, pasang niat kuat-kuat. Mesti siapkan pembetulan on time!
Alhamdulillah, saya berjaya.

Walaupun hasilnya bukanlah bagus mana, tetapi saya belajar sangat banyak perkara melalui Lelaki Berbaju Biru. Ajaib dan tertulis yang ia rezeki saya. Sampai sekarang, ia masih ada di kedai buku walaupun banyak buku seangkatan dengannya sudah dilupuskan.
Nota: Gambar ini, antara siri emel saya dengan Tuan Bahar. Ada banyak lagi di FB Messenger. Haha


Revolusi Design Cover


Sewaktu mula-mula merancang manuskrip panduan menulis cerpen, hal cover langsung tak termasuk dalam percaturan dan perancangan saya.
Walhal, kalau diikutkan ia hal penting.
Lebih-lebih lagi, situasi menilai isi melalui cover memang berlaku.

Dah siap tulis, maka menggagaulah saya memikirkan hal yang satu ini.
Conteng ikut suka, pilih ikut sedap mata.

Sehinggalah rakan dari Blink memberi cadangan, "Tanya Tuan Izwan Robotys."
Maka, sebagai orang yang suka belajar saya pun campakkan malu jauh dari capaian sendiri dan bertanya dengan penuh kesopanan.

Seperti guru yang lain, beliau tidak lokek ilmu.
Dengan selamba, beliau kongsikan ilmu mahalnya dan beri cadangan kepada saya.
Siap lukis sampel.
Hebat, kan?

Menurut beliau, cover buku non fiksyen ada beberapa elemen mengikut prioriti:
1) Headline
2) Details
3) Proof

Tetapi, akhir-akhir ini saya semakin bertuah apabila Tuan Mohd Ariffuddin yang selalu saya gelarkan sebagai bff (guru saya kata, beliau partner-in-crime saya. Tak lah crime mana, sebab beliau baik orangnya) memberi khidmat menyediakan cover awesome.

Malam tadi, Tuan Izwan sendiri kata, "Semakin bagus desainnya."

Alhamdulillah.

Indah.

Baca: Kuantiti Yang Berkualiti

Baca Juga: 5 Langkah Menjadi Penulis Professional

Monday, March 21, 2016

Bagaimana Mereka Melakukannya - Mazura Stapah

Bismillah.

Insya-Allah, minggu ini kita bersama Puan Mazura Stapah, penulis yang terkenal dengan jemana Cuti-Cuti Halal.

Assalamualaikum wbt Puan Mazura. Terima kasih kerana sudi ditemubual.

1. Pertama sekali, boleh ceritakan latar belakang diri puan?
Waalaikumsalam wbt. Nama saya Mazura binti Stapah@Salleh. Berusia 41 tahun. Dilahirkan di Negeri Sembilan. Dibesarkan di beberapa negeri iaitu Pahang, Johor dan Negeri Sembilan kerana mengikut bapa berpindah tempat bertugas. 
Mendapat pendidikan peringkat tinggi di Universiti Putra Malaysia di dalam bidang Sains Perhutanan dan Pengurusan Taman dan Rekreasi. Pada masa ini bertugas di Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti, Politeknik Merlimau. 

2. Soalan kedua, apa pendorong utama puan menulis dan mengapa memilih genre non fiksyen dalam bidang pelancongan?
Pendorong utama menulis adalah untuk berkongsi serba sedikit ilmu dan pengalaman yang ada. Sesuai dengan pertambahan usia, tiba masanya untuk menyumbang kembali ilmu pengetahuan dan perkongsian pengalaman bersama masyarakat.
Saya memilih non-fiksyen kerana saya sendiri merasa kekuatan dan bakat saya lebih menjurus kepada penulisan non-fiksyen. Dalam masa yang sama, saya kagum dengan rakan-rakan penulis yang menghasilkan genre fiksyen.
Selain dari itu, saya turut mengambil kesempatan menulis ilmu dan pengalaman yang selari dengan bidang tugasan saya, Pengurusan Pelancongan iaitu kategori non-fiksyen.

3. Bagaimana Puan Mazura bermula sebagai penulis? Apa langkah pertama yang puan ambil untuk bergelar penulis?
Alhamdulillah. Saya bermula dengan menyertai bengkel penulisan artikel rencana akhbar dan majalah anjuran kursuspenulisan.com

4. Apa cabaran paling besar yang puan hadapi semasa menghasilkan manuskrip pertama?
Cabaran paling besar semasa menghasilkan manuskrip pertama adalah mendapatkan mood menyiapkan penulisan. Cerpen muzikal. Perlu sesuaikan lirik dan jalan cerita. Saya memerlukan masa yang agak panjang walaupun hanya perlu menulis sebanyak 10 muka surat. Ya. Cabaran terbesar adalah untuk mengolah kata-kata yang mampu menjentik emosi pembaca.

5. Selain menulis manuskrip non fiksyen, adakah puan pernah menulis cerpen? Apa pendapat puan pasal genre ini?
Ya. Naskhah pertama saya tadi merupakan kompilasi cerpen. Pada pendapat saya, jika anda berhasrat serius di dalam bidang penulisan terutamanya fiksyen, genre cerpen merupakan platform terbaik untuk mengasah skil penulisan.
Paling penting, anda perlu mempersiapkan diri dengan ilmu berkaitan. Agak mencabar juga sebenarnya kerana bagi genre cerpen, anda perlu mengolah penceritaan di dalam limitasi mukasurat yang telah ditentukan oleh pihak penerbitan. Berdasarkan pemerhatian, cerpen punya peminatnya yang tersendiri. Sesuai juga buat mereka yang mahu sesi bacaan santai.

6. Diketahui, penulis sinonim dengan istilah writer's block. Apa yang puan lakukan sewaktu idea kering?
Biasanya saya akan tinggalkan kerja-kerja penulisan yang saya sedang buat, jika mengalami writer's block. Saya akan mengerjakan solat sunat. Bergantung kepada masa bilakah writer's block itu berlaku. Jika berlaku pada hari cuti dan waktu siang, saya akan lakukan aktiviti-aktiviti lain seperti beriadah dan bersiar-siar.

7. Kita pindah ke soalan yang lebih tenikal. Jika tak keberatan, boleh puan kongsi sedikit mengenai proses dan rangka kerja penulisan puan untuk manuskrip Cuti-Cuti Halal?
Proses penulisan Cuti Cuti Halal bermula sebaik sahaja Tuan Zamri Mohamad menawarkan diri menjadi literary agent. Saya kemudiannya diminta menyediakan proposal Cuti Cuti Halal. Beliau juga yang menyarankan agar saya bergandingan bersama Tuan Mohd Sharumnisham seorang rakan penulis dari Kedah Darul Aman. 
Setelah berpuashati dengan proposal yang dihantar, saya dan beberapa rakan penulis lain dipertemukan dengan pihak penerbit iaitu Legacy Publishing. Setelah persetujuan dicapai, saya dan Tuan Mohd Sharumnisham menggembleng tenaga menyiapkan proses penulisan manuskrip bahagian masing-masing. Saya menggunakan KJ Method untuk memudahkan kerja-kerja penulisan. Kaedah ini juga saya gunakan mengatasi situasi Writer's Block.
Beberapa kali, proses pembetulan manuskrip berlaku di antara saya dan penerbit. Gambar-gambar bersesuaian juga turut dihantar memandangkan naskhah Cuti Cuti Halal merupakan bahan bacaan ilmiah sebenarnya tetapi bercorak santai. Saya turut mendapat sokongan sumbangan gambar-gambar daripada rakan-rakan di alam maya.

8. Tadi, Puan Mazura ada menyentuh pasal literary agent. Menurut puan, adakah agen sangat membantu dalam kerja-kerja penulisan dan penerbitan karya?
Ya. Literary agent sangat penting dan sangat membantu. Terutamanya di dalam mencorakkan karier saya sebagai penulis. Juga memberi khidmat nasihat dari sudut perundangan kerana literary agent merupakan orang lama di dalam penulisan.

9. Sepanjang pengalaman puan sebagai penulis, apa perkara yang paling kritikal pernah puan hadapi?
Situasi paling kritikal yang saya alami sepanjang menyiapkan naskhah Cuti Cuti Halal adalah 'communication breakdown' di antara saya dan penerbit. Berlaku situasi di mana beberapa fail manuskrip yang saya hantar melalui emel tertinggal. Namun, alhamdulillah disedari selepas beberapa bulan. Itu antara perkara yang perlu diberi perhatian pada masa hadapan.
Bagi saya juga, antara perkara yang perlu diberi perhatian adalah berkongsi tips dan garis panduan percutian yang diperlukan oleh mereka yang merancang percutian.

10. Apa projek puan yang akan datang? Mohon kongsikan sedikit, untuk makluman para pembaca.
Projek pada masa hadapan pula adalah naskhah kupasan tip-tip yang terdapat di dalam naskhah Cuti Cuti Halal. Walaubagaimanapun, hal ini memerlukan perbincangan lebih lanjut di antara saya, literary agent dan penerbit.

11. Supaya boleh dijadikan rujukan para penulis lain, apa judul buku yang paling dekat di hati puan (selain buku sendiri), sehingga dibaca berkali-kali sebab suka?
Antara buku yang dekat di hati saya adalah Shamsiah Fakeh nukilan Azzah A.R., Hartini  oleh Aziz Afkar, Kisah Orang Kaunter hasil tulisan Tuan Rafi Harumin dan 99 Stress Free Mummy oleh Zatika Izati Puade. Buku-buku ini tidaklah pula saya baca berkali-kali tetapi antara naskhah yang saya baca dan terus habiskan. Juga bercorak santai dan melekat di fikiran.

 
Koleksi yang saya nyatakan tadi antara naskhah kesayangan. Mungkin juga saya akan baca lagi pada masa hadapan.

12. Senarai karya Mazura Stapah:



Antologi Cerpen Muzikal Melodi Di Atas Kertas
Terbitan Nuun Creative Books
Tulisan bersama alumni Akademi Hero






Mama Kerja Apa?
Projek 100 Buku Bergambar Kanak-Kanak
Terbitan Buku Prima, Karangkraf


Cuti Cuti Halal
Terbitan Legacy Publishing






12. Jika para pembaca mahu mengikuti perkembangan puan, di mana mereka boleh dapatkan cerita terkini pasal puan?
Para pembaca dirahmati Allah boleh mengikuti perkembangan saya di:
Laman Facebook: Mazura Stapah
FB group: Cuti Cuti Halal.
FB page: Mazura Stapah dan Cuti-cuti Halal. 

Terima kasih cik puan kerana sudi memberi peluang yang sangat berharga ini kepada saya. Insya-Allah, semoga kita berkonvoi ke syurga. Aminnn...

Tuesday, March 15, 2016

7 Taktik Menjadi Orang Baru Setiap Hari

Alhamdulillah.

Artikel baru.

Resolusi.

7 Taktik Menjadi Orang Baru Setiap Hari.

Moga bermanfaat.

Baca di sini:
http://tazkirah.net/resolusi-jadi-orang-baru-setiap-hari/

Monday, March 14, 2016

Bagaimana Mereka Melakukannya - Salleh Kausari



Bismillah.

Assalamualaikum wbt Tuan Salleh. Terima kasih kerana sudi ditemubual.

1. Pertama sekali, boleh ceritakan latar belakang diri dan karya tuan?

Saya fokus pada bidang penulisan saja ya. Saya tidak pernah mengikuti sebarang kursus penulisan secara formal, kecuali sebuah kelas online yang dianjurkan oleh Puan Maria Kajiwa suatu masa dulu. Beliau terkenal dengan novel seperti Lengloi, Puja dan Janji Julia.

Kelas asas itu saya sertakan bersama pembacaan banyak ebook dalam bahasa Melayu dan Inggeris untuk mendalami tentang teknik penulisan kreatif. Pengembaraan saya dalam bidang penulisan bermula dengan menulis artikel di laman blog Kausar Kreatif setelah mempelajari tentang teknik pemasaran online. Kemudian laman blog Pena VR (skausari.blogspot.com) jadi medan saya bereksperimen dengan pelbagai genre penulisan – puisi, cerpen dan novel. Juga pelbagai genre penulisan kreatif – cinta, thriller, seram, satira, komedi, masyarakat dan lain-lain.

Setelah itu saya mula menyertai pelbagai grup penulisan yang menyatukan penulis dan pembaca. Antaranya adalah Geng Urban, di mana saya dan Cik Rahmah Mokhtar pernah jadi admin di sana suatu masa dulu. Yang lain-lain termasuk Kami Cinta Novel dan Komuniti Enovel.

2. Soalan kedua, apa pendorong utama tuan menulis dan mengapa memilih genre fiksyen thriller?

Saya mencuba pelbagai genre penulisan kerana setiap satu ada kekuatan sendiri. 
Puisi menguji kita dalam penggunaan kata minimal dengan maksud tersirat yang mampu menyentuh jiwa, walaupun dari perspektif berlainan setiap pembaca.
Cerpen menguji kemampuan kita mengupas sesuatu isu dalam kisah ringkas dengan hanya beberapa mukasurat.

Novel memberi kita ruang yang lebih untuk bermain dengan watak, perwatakan, latar, plot dan pelbagai elemen lagi dalam mengetengahkan sesuatu mesej tentang kehidupan dan konfliknya.
Penerimaan pembaca dan penerbit memainkan peranan dalam genre yang ingin saya fokuskan. 
Karya cinta saya ada khalayak pembaca sendiri, walaupun tidak melepasi penerbitan mainstream. Begitu juga dengan karya berunsur sastera saya, sama ada dalam bentuk puisi, cerpen atau novel. Saya pernah menyertai Sayembara ITBM-Pena-BH 2014. 

Akhirnya saya buat keputusan untuk menerbitkan sendiri antologi solo puisi dan cerpen cinta saya berjudul Kembara Mencari Pelangi dan Kembara Mencari Cinta di bawah label Kausar Kreatif.
Karya seram dan thriller saya lebih diterima oleh penerbit seperti yang diterbitkan oleh Ilham Karangkraf iaitu Antologi Gaun Berdarah. Begitu juga cerpen seram C.H.A.T yang pernah menjadi pilihan editor di Ilham Karangkraf. Manuskrip Sumpahan Ling Chi menjadi karya novel sulung saya yang diterbitkan oleh Buku Prima.

Saya mempertaruhkan Misteri Mimpi Yana, sebuah novel misteri thriller dengan elemen interaktif semasa pertandingan Writers Unleashed anjuran MyCreative. Alhamdulillah, karya itu memenangi salah satu hadiah utama bersama beberapa penulis lain termasuk Dhiaz Diandra. Novel ini dalam proses penerbitan di bawah label Terfaktab Media.
Saya sedang mengusahakan beberapa projek solo dan antologi seram dan thriller yang dijangka akan terbit dalam tahun ini jika tiada aral.

3. Bagaimana tuan bermula sebagai penulis? Apa langkah pertama yang tuan ambil untuk bergelar penulis?

Seperti yang saya ceritakan dalam soalan sebelum ini, saya bermula dengan penulisan artikel. Setelah menimba ilmu dalam bidang penulisan kreatif, saya menulis novel pertama yang masih saya peram hingga kini. Selepas itu saya terus mengasah kemahiran penulisan puisi, cerpen dan novel dengan pelbagai teknik dan bereksperimen. Maklum balas pembaca saya jadikan sebagai panduan.

4. Apa cabaran paling besar yang tuan hadapi semasa menghasilkan manuskrip pertama?

Jika dikira dari segi manuskrip pertama yang siap ditulis, cabarannya adalah mencari jalan cerita yang menarik di samping menghidupkan watak dengan pelbagai konflik dan mesej.
Jika dari segi manuskrip yang berjaya diterbitkan, cabaran paling besar adalah mencari sesuatu yang boleh diterima oleh penerbit. Beberapa manuskrip saya pernah ditolak. Saya bernasib baik kerana manuskrip Sumpahan Ling Chi atau pada asalnya berjudul Misteri Banglo Ophelia, berjaya menambat hati editor tanpa perlu sebarang rombakan plot. Hanya beberapa pembaikan dari segi teknikal dan penulisan.

5. Sebelum menulis novel, adakah tuan pernah menulis cerpen?

Cerpen adalah alat utama untuk saya bermain dengan pelbagai elemen penulisan kreatif termasuk watak, latar, perwatakan, teknik, mesej dan lain-lain. Saya bertuah kerana ada pembaca sporting di grup Facebook saya, Laman Inspirasi Pena VR, yang sudi menyumbang idea dan pendapat. Berdasarkan maklum balas mereka, saya garap cerita bertema dengan elemen-elemen yang telah dicadangkan. Itu penting untuk melatih otot-otot minda penulisan dalam menyahut penulisan bertema untuk diterbitkan.

6. Diketahui, penulis sinonim dengan istilah writer's block. Apa yang tuan lakukan sewaktu idea kering?

Saya juga ada mengalaminya. Biasanya setelah terlalu lama menulis. Ia seperti isyarat otak yang memerlukan rehat. 
Saya sentiasa sibukkan diri dengan aktiviti penulisan, kecuali ketika bercuti. Itupun hanya untuk dua tiga hari. Bagi saya, membiarkan otak tidak aktif dalam hal penulisan untuk jangkamasa terlalu lama akan menyebabkan kita mudah ‘dijangkiti’ writer’s block.

Aktiviti penulisan tidak terhad kepada menulis saja. Antara aktiviti yang boleh dipelbagaikan ketika otak beku dan tidak dapat menulis adalah:

a) Memikirkan cerita baru. Fikirkan rangka kasarnya. Sebagai contoh, pengembara angkasa yang berjaya menemui jawapan untuk mengubah kehidupannya setelah berhari-hari terperangkap di angkasa lepas tanpa tahu ajalnya bakal tiba atau tidak
b) Merangka cerita dengan lebih terperinci – watak (nama, perwatakan, masalah, matlamat), latar (zaman, rupa), konflik (masalah yang dihadapi oleh watak dan cabarannya), mesej (kemanusiaan dll) dan banyak lagi.
c) Sinopsis. Perjalanan ringkas cerita dari awal hingga penghujung.
d) Menggambarkan apa yang bakal ditulis sambil mencari apa yang masih belum cukup dan lengkap. 
e) Kajian untuk menjadikan jalan cerita lebih realistik dan diperkayakan.
f) Jika cerpen, saya akan mula menulis selepas itu. Jika novel, saya kembangkan dengan merancang apa yang ingin diketengahkan dalam setiap bab. Kemudian baru saya mula menulis.
g) Mencari ilham untuk menulis puisi, kemudian mula menulis.

Adakala semua ini tidak mampu dilakukan. Ketika itu cari sesuatu yang bukan berkaitan dengan penulisan seperti keluar berjalan-jalan, karaoke (berkesan untuk saya), bermain game dan apa saja aktiviti atau hobi pilihan individu itu sendiri. Mungkin juga berkunjung ke laman blog, Facebook dan media sosial milik penulis lain atau sesiapa saja.

7. Kita pindah ke soalan yang lebih teknikal. Jika tak keberatan, boleh tuan kongsi sedikit mengenai proses dan rangka kerja penulisan tuan untuk salah sebuah manuskrip? Bagaimana tuan cipta watak, jalan cerita dan sebagainya, secara ringkas dan padat.

Secara ringkas kerja merangka cerpen dan novel saya hampir sama. Cuma untuk novel, perlu dipecahkan menjadi lebih terperinci dalam setiap bab dan mencapai bilangan mukasurat yang dikehendaki.

Berikut adalah langkah-langkah yang saya gunakan:
1) Siapkan rangka kasar cerita. Boleh juga dipanggil sinopsis 2-3 ayat.
2) Untuk novel, lukis carta minda dengan gambaran kasar cerita (watak-watak, lokasi, pecahan bab)
3) Cipta watak-watak yang akan menjadikan cerita menarik. Fokus kepada jalan cerita. Ada yang memerlukan watak bulat (banyak sisi), pipih (satu sisi) dan lain-lain. Ada watak utama dan ada watak yang membantu menjelaskan tentang watak utama atau cerita.
4) Pecahkan babak untuk cerpen dan bab untuk novel. Dalam satu bab novel mungkin juga ada satu atau beberapa babak.
5) Peram idea sambil kaji kesesuaian yang saya gelar sebagai fasa ‘test run dalam kepala’. Buang idea yang tak sesuai. Kembangkan elemen jika perlu. Utamakan apa yang akan membantu dalam mencapai matlamat penceritaan.
6) Mula menulis tanpa mengedit. Tulis sehingga matlamat mukasurat tercapai.
7) Peram hingga lupa jalan cerita sepenuhnya.
8) Mula baca semula dan cari kelemahan. Kalau kurang mukasurat, tambah. Kalau ada plot longgar, perkemaskan. Kalau cerpen, biasanya saya lakukan dengan beberapa kali bacaan. Kali pertama untuk perbaiki tatabahasa dan ayat. Kedua untuk jalan cerita. Kali ketika untuk memastikan matlamat asal tercapai. Kalau novel atau novelet biasanya saya buat sekali gus kerana faktor masa.

8. Sepanjang pengalaman tuan sebagai penulis, apa perkara yang paling kritikal dan paling tuan pentingkan dalam berkarya dan mengapa?

Masa. Saya cuba mengelakkan projek yang memerlukan jangka masa terlalu pendek kerana ia akan menjejaskan kualiti kerja. Ia akan menyebabkan kurang masa untuk memikirkan rangka, menulis, memeram dan mengedit.

Namun begitu, saya cuba mengatasi masalah ini. Semenjak saya menyertai projek Buku Prima, ini adalah perkara yang paling mencabar. Saya cuba atasi masalah ini dan semakin lama masalah itu boleh ditangani. Bulan ini saya perlu hantar sebuah projek novel yang asalnya juga sebuah novelet, sama seperti Sumpahan Ling Chi. Doakan saya berjaya siapkan seperti yang diminta.

9. Apa projek tuan yang akan datang? Mohon kongsikan sedikit, untuk makluman para pembaca.

Cita-cita saya adalah untuk menamatkan (menerbitkan) semua projek puisi, cerpen, novel dan bukan fiksyen yang telah saya mulakan, sama ada yang belum siap, telah ditolak atau yang belum dihantar ke mana-mana lagi. Selepas itu saya akan tumpukan pada sebuah projek baru yang tiada kaitan dengan penulisan tetapi masih berunsur kreatif. Apa projek itu? Buat masa ini masih rahsia, walaupun saya pernah berkongsi dengan ahli grup saya.

10. Supaya boleh dijadikan rujukan para penulis lain, apa judul buku yang paling dekat di hati tuan (selain buku sendiri), sehingga dibaca berkali-kali sebab suka?

Sebuah novel yang begitu tebal berjudul IT oleh Stephen King. Saya jatuh cinta dengan cara garapan beliau terutamanya cara bermain dengan flashback dan watak-watak dengan kisah silam yang begitu mengujakan. Garapan dalam novel itu banyak mempengaruhi saya untuk menggunakan teknik yang sama.

12. Senarai karya Salleh Kausari





Kembara Mencari Pelangi
Himpunan Puisi Salleh Kausari
(Self-publish)









Sumpahan Ling Chi
Alaf 21
Karya ini disenaraikan dalam carta jualan paling laris di kedai buku Popular dua minggu lalu.









Kembara Mencari Cinta
Himpunan Cerpen Salleh Kausari
(Self-Publish)








Misteri Mimpi Yana (Sebuah Novel Interaktif)
Dengan manuskrip ini , Salleh Kausari dinobatkan sebagai salah seorang Grand Prize Winner bagi MCV Writers Unleashed

Naskhah ini sedang dicetak dengan penerbit Terfaktab Media.


Perkembangan Salleh Kausari boleh diikuti di:

Blog: Pena VR (skausari.blogspot.com)
Facebook: Salleh Kausari (facebook.com/salleh.kausari.9)
Grup penulisan Facebook: Laman Inspirasi Pena VR (facebook.com/groups/penavr)

Laman-laman Facebook yang lain: 
Tips Motivasi dan Penulisan Pena VR, 
Koleksi Puisi Pena VR, 
Abam Oyen and The Gang, 
Kembara Mencari Cinta, 
Kembara Mencari Entiti, 
Kembara Mencari Pelangi, 
Sumpahan Ling Chi 
Misteri Mimpi Yana