Thursday, November 5, 2015

4 Penipuan Yang Penulis Percaya

Malam tadi saya terima emel daripada thewritepractice.com.

Ia dikelolakan oleh Joe Bunting, seorang penulis yang gigih mengajak dan mengajar orang lain cara menjadi penulis yang lebih baik setiap hari.

Katanya, ada empat pembohongan yang selalu dipercayai oleh penulis.

1. "Saya akan menulis sebuah buku, tidak lama lagi."
Tidak sedikit yang berkata begini.
Setiap hari, penulis akan bangun dan memberitahu ayat ini kepada diri sendiri.

Tetapi, tidak ramai yang mengambil pen dan kertas atau membuka laptop dan mula menulis.

Ramai juga, yang apabila terkandas pada satu halaman, mereka kecewa dan terus berhenti.

Nota : Dalam kes tersangkut begini, KJ Method boleh membantu.


2. "Tak boleh buat duit dengan menulis."
Ramai penulis yang hidup dengan royalti dan mereka masih gigih mengepam modal untuk kelangsungan pendapatan sebagai penulis.

Apa modal penulis?
Idea dan karya.
Tanpa karya, tiada buku.
Tanpa buku, tiada pendapatan.

Menulis secara eceran juga, boleh menjadi sumber pendapatan selagimana penulis menghasilkan karya dengan konsisten.


3. "Menulis itu perkara yang susah."
Kita pernah kata, "Operasi darab itu susah."
Bahkan, kita juga pernah kata, "Huruf a itu susah ditulis."

Tetapi, waktu itu kita tak peduli dan terus berlatih. Daripada bentuk yang tidak ketahuan rupanya dan kita tafsirkan ia sebagai huruf a, sehinggalah ia ditulis cantik-cantik atas garisan dalam buku latihan.

Begitulah menulis, ia susah apabila hanya asyik difikirkan.
Terjun dan buat.
Abaikan cakap-cakap bernada tidak yakin yang datang.


4. "Saya boleh lakukan sendiri."
Ramai yang kata, "Saya boleh siapkan manuskrip ini dalam masa sebulan."
Hakikatnya, ia tidak bergerak-gerak dari halaman pertama sehinggalah hari ke-30 tiba.

Bagaimana mahu atasi hal ini?
Dapatkan kumpulan sokongan.
Jika ada rakan yang boleh menjadi 'editor palsu' dan mengejar manuskrip kita setiap hari, minta bantuan mereka.

Cabar diri dan jalan terus.

Nota : Ada manuskrip yang belum siap? Tambahkan halamannya, hari ini.

No comments:

Post a Comment