Monday, November 30, 2015

Teknik Menulis Cerpen: Langkah Demi Langkah Menulis Cerpen dengan Cepat & Fokus Sehingga Diterbitkan

Bismillah.

Berazam MENYIAPKAN CERPEN tetapi asyik tersangkut setiap kali?

Dapatkan kaedah dan penyelesaiannya dengan ebook Teknik Menulis Cerpen: Langkah Demi Langkah Sehingga Diterbitkan.

----------

SIAPA yang sesuai dapatkan ebook ini?

1. Anda yang baru mahu berkecimpung dalam dunia penulisan cerpen khasnya.

2. Anda yang mahukan cabang baru dalam penulisan. Dahulu suka tulis novel dan sekarang mahu berjinak tulis cerpen pula.

3. Anda yang belum ada hala tuju mahu ambil cabang penulisan cerpen ke, novel ke, artikel ke…(baca buku ini dan anda pasti jatuh cinta untuk menghasilkan banyak cerpen!)

4. Anda yang belum ada asas dalam dunia penulisan cerpen.

5. Anda yang berbakat menulis tetapi tidak mahu buat sebarang projek penulisan, sebab renyah, tiada idea, penat dan tak dapat apa-apa imbuhan daripada tulisan anda.




ADA APA DALAM EBOOK INI?

--> 11 kemahiran sebagai penulis cerpen, merangkumi skil asas show don't tell

--> 4 Kategori penulis.

--> 5 Ciri-ciri cerpen (mesti ada!)

--> Cara memilih POV

--> 4 fasa membina idea

--> 5 langkah mengolah pengalaman menjadi cerpen

--> 5 Kaedah Menulis Intro Cerpen yang mencangkuk hati pembaca

--> Asas teknik Show Don’t Tell

--> 8 format piawai bagi menulis cerpen untuk majalah

--> Checklist - semak cerpen sendiri sebelum ia dihantar kepada editor


BELUM CUKUP?

Baik, dengan setiap belian akan ada BONUS berikut:

-->  13 kaedah mengekalkan momentum sebagai penulis

--> 8 kesilapan biasa penulis baru

--> Behind scene, proses berurusan dengan editor.


-----

Dan kesemua yang disenaraikan ini boleh dimiliki dengan pelaburan RM30.00 sahaja (sebelum dinaikkan ke RM50.00), selagi tawaran masih terbuka!

-----

Tempah segera di...

TulisCerpen101.com
TulisCerpen101.com
TulisCerpen101.com

... dan mulakan pencapaian anda sebagai penulis bergaya kerana sudah mengambil langkah sebagai penulis cerpen yang karyanya siap!

Thursday, November 19, 2015

Tip 9 : Kuantiti Yang Berkualiti

#TipCerpen101

Sebenarnya dalam menulis, mahu fokus kepada kuantiti atau kualiti?

Seringkali, kita tanya soalan ini kepada diri sendiri.
Mahu tulis karya berkualiti atau fokus kepada kuantiti dengan tulis banyak-banyak cerpen sampai siap?

Kita berbalik kepada kata-kata Puan Nisah Haron,

"Sebuah cerpen yang tidak bagus, tetapi siap adalah jauh lebih baik daripada sebuah cerpen yang konon-kononnya bagus, tetapi tidak siap-siap!"

Betul.
Apabila kita terlalu fokus kepada kualiti, kita akan terlalu sibuk mencari perkataan atau ayat yang bunyinya sedap sehingga terlupa tujuan utama menulis sebuah cerpen; menyampaikan sebuah cerita berkonflik yang mendokong sebuah tema.

Sebab apabila terlalu memikirkan bunyi ayat supaya sedap dibaca, kita hilang fokus daripada cerita yang hendak ditulis.

Jadi, kita utamakan kuantiti karya yang siap ditulis.
Selepas sampai noktah terakhir, baru kita baiki ayat dan olah supaya mencapai objektif seterusnya, iaitu menulis ayat yang sedap dibaca.

Sebab, kita boleh berbuat sesuatu dengan karya yang siap.

Dengan menulis karya yang banyak, skill kita juga akan bertambah baik dengan sendirinya selagi kita tidak berhenti membaca bahan bacaan yang bagus.

Karya yang tidak siap, ia hanya akan disimpan dalam fail dokumen kita, diperam sampai kita terlupa pernah menulisnya.

Baik, sampai sini sahaja dulu.
Selamat menulis!

Wednesday, November 18, 2015

Tip10 : 7 Masalah Draf Pertama & Cara Membaikinya

Baru-baru ini, saya menerima emel daripada agen literari. Editor meminta manuskrip kami dibaiki. Pedih, memang pedih tetapi peluang mendapat komen daripada editor adalah sesuatu yang amat baik. Ambil positif, dan lihat semula komen editor, ayat demi ayat.

Alhamdulillah, dua rakan penulis bersama saya juga adalah penulis berjiwa besar dan terbuka apabila ditegur.
Maka, kami berkumpul dan membincangkan cara menambahbaik manuskrip yang sudah siap ditulis supaya menepati kehendak penerbit dan disukai editor.

Menurut Anthony Ehlers (writerswrite.co.za), ada 7 masalah utama dalam draf pertama.



Apa masalah utama dalam draf pertama kita?
Bagaimana mahu membaikinya?

[1] Cerita bermula terlalu perlahan
Masalah ini berlaku apabila penulis sibuk mahu memberikan deskripsi panjang lebar mengenai suasana atau watak sehingga menenggelamkan bahagian cerita yang menyampaikan matlamat atau masalah watak utama yang mahu diselesaikan dalam cerita.

Baiki : Tulis di ruangan lain ciri-ciri watak utama kita. Tulis sebanyak mungkin, sehinggalah kita rasa kenal dengan watak itu tanpa perlu mengisahkan panjang lebar dalam naratif. Kemudian, cari satu poin yang mengubah sikap watak kita dan penting untuk dituliskan dalam cerpen.


[2] Hero / heroin terlalu baik
Ada masanya, kita mencipta watak yang terlalu sempurna sehingga tiada cacat walaupun sedikit. Itu tidak normal dan ia menimbulkan rasa bosan. Seperti diri kita sendiri, setiap manusia ada kekurangan. Begitu juga watak kita.

Baiki : Masukkan kekurangan watak yang disebabkan oleh sikap, seperti
(1) Selalu tidur semula selepas solat Subuh dan bangun lewat
(2) Selalu main game sehingga lewat
(3) Kerap solat akhir waktul
(4) Mudah mengamuk apabila lapar


[3] Plot cerita terhenti di tengah-tengah
Ini masalah yang biasa berlaku semasa menyiapkan draf pertama. Ia sering mengganggu sehingga akhirnya penulis memilih meletak pen atau berhenti menulis cerita. Masalah serupa kemudiannya berlaku dengan cerita lain yang ditulis selepas itu dan beterusan....

Baiki : Sediakan rangka karya, dengan jalan cerita yang jelas. Fokus pada konflik dan perkembangan watak di sepanjang cerita.


[4] Mengedit semasa menulis
Situasi ini, tidak dapat tidak, ia adalah masalah kebanyakan penulis. Tanpa disedari, sikap ini membuat kita terlupa fokus jalan cerita asal dan akhirnya draf cerita tergantung atau siap tetapi hilang fokus.

Baiki : Sediakan masa untuk mengedit. Bina disiplin sendiri dengan berjanji hanya akan membetulkan ejaan dan bahasa selepas menulis selama satu jam. Masa mengedit pun, kita terhadkan selama 10 atau 15 minit sahaja.


[5] Tiada dialog / Terlalu banyak dialog
Ada masanya, kita menulis terlalu banyak naratif sehingga terlupa memasukkan dialog. Ataupun, dialog yang ditulis tidak membantu perkembangan cerita.

Baiki : Berlatih memasukkan dialog dalam karya, sekurang-kurangnya dalam pecahan 70% naratif - 30% dialog. Dialog yang ditulis juga, kaitkan dengan sikap dan emosi watak.


[6] Cerita tidak hidup / tidak sampai
Jalan cerita sukar difahami atau membosankan pembaca apabila ia terlalu penuh dengan ayat memberitahu.

Baiki : Kaitkan cerita dengan lima deria manusia sebanyak mungkin (rasa, sentuh, bau, dengar dan lihat). Pembaca suka, apabila mereka boleh membayangkan cerita yang ditulis.


[7] Kita sudah bosan dengan cerita sendiri
Bagaimana hendak tahu sama ada kita bosan atau tidak dengan cerita sendiri? Ia berlaku apabila kita rasa, plot cerita hambar atau sudah boleh diagak. Kita tidak teruja dengan cerita sendiri.

Baiki : Cari permulaan bahagian cerita yang hambar dan tambah twist. Bahagian cerita yang kita suka, kembangkan lagi dengan konflik dan selesaikan.


Saya datangkan dua contoh di sini :
Contoh :
(1) Sejak usianya mencecah 11 tahun, Akmal sudah tidak kenal rasa takut. Ketika semua budak lelaki sebayanya sedang berlari-lari di padang sekolah atau bergurau di dalam kelas, dia sudah terpaksa berhadapan dengan realiti kehidupan yang kejam. Sewaktu anak-anak lain berlumba-lumba mendapatkan keputusan peperiksaan paling cemerlang sebagai hadiah kejayaan dan pencapaian hidup, dia sudah terpaksa berlari-lari di celah lorong sunyi di ibu kota. Ada masanya, kaki Akmal tersadung dan dia jatuh dengan luka yang tidak kecil. Ada waktunya, Akmal hanya bermalam di bawah langit, beralaskan kotak yang sudah koyak sana sini, menahan gigil sendiri. Ada masanya, dia memeluk kedua lutut, mengharapkan ada yang singgah mengirim makanan walaupun ia sudah hampir basi.

(2) Hari itu, langit gelap pekat. Seperti hati yang menyimpan marah sebagai titik-titik hitam yang akhirnya berkumpul dan menghitamkan, yang akan dilepaskan bila-bila masa sahaja. Guruh berdentum kuat dan sesekali, pancaran kilat melintas di langit. Tidak cukup dengan itu, angin bertiup kencang sehingga hampir-hampir menerbangkan atap genting di sebuah rumah setinggan di pinggir kota.
Namun, di sebalik semua itu seorang budak lelaki sedang berdiri tegak di tengah-tengah halaman sebuah rumah agam. Tanpa mempedulikan tiupan angin, dia memandang ke pintu rumah besar itu tanpa mengedipkan mata.

Apa yang kita rasa daripada kedua-dua contoh ini?

Nota :
Draf pertama, tidak dapat tidak adalah karya yang akan kita edit berkali-kali. Penulis Ain Maisarah mengedit manuskrip sebanyak lima kali sebelum menghantarnya kepada editor.

Thursday, November 5, 2015

4 Penipuan Yang Penulis Percaya

Malam tadi saya terima emel daripada thewritepractice.com.

Ia dikelolakan oleh Joe Bunting, seorang penulis yang gigih mengajak dan mengajar orang lain cara menjadi penulis yang lebih baik setiap hari.

Katanya, ada empat pembohongan yang selalu dipercayai oleh penulis.

1. "Saya akan menulis sebuah buku, tidak lama lagi."
Tidak sedikit yang berkata begini.
Setiap hari, penulis akan bangun dan memberitahu ayat ini kepada diri sendiri.

Tetapi, tidak ramai yang mengambil pen dan kertas atau membuka laptop dan mula menulis.

Ramai juga, yang apabila terkandas pada satu halaman, mereka kecewa dan terus berhenti.

Nota : Dalam kes tersangkut begini, KJ Method boleh membantu.


2. "Tak boleh buat duit dengan menulis."
Ramai penulis yang hidup dengan royalti dan mereka masih gigih mengepam modal untuk kelangsungan pendapatan sebagai penulis.

Apa modal penulis?
Idea dan karya.
Tanpa karya, tiada buku.
Tanpa buku, tiada pendapatan.

Menulis secara eceran juga, boleh menjadi sumber pendapatan selagimana penulis menghasilkan karya dengan konsisten.


3. "Menulis itu perkara yang susah."
Kita pernah kata, "Operasi darab itu susah."
Bahkan, kita juga pernah kata, "Huruf a itu susah ditulis."

Tetapi, waktu itu kita tak peduli dan terus berlatih. Daripada bentuk yang tidak ketahuan rupanya dan kita tafsirkan ia sebagai huruf a, sehinggalah ia ditulis cantik-cantik atas garisan dalam buku latihan.

Begitulah menulis, ia susah apabila hanya asyik difikirkan.
Terjun dan buat.
Abaikan cakap-cakap bernada tidak yakin yang datang.


4. "Saya boleh lakukan sendiri."
Ramai yang kata, "Saya boleh siapkan manuskrip ini dalam masa sebulan."
Hakikatnya, ia tidak bergerak-gerak dari halaman pertama sehinggalah hari ke-30 tiba.

Bagaimana mahu atasi hal ini?
Dapatkan kumpulan sokongan.
Jika ada rakan yang boleh menjadi 'editor palsu' dan mengejar manuskrip kita setiap hari, minta bantuan mereka.

Cabar diri dan jalan terus.

Nota : Ada manuskrip yang belum siap? Tambahkan halamannya, hari ini.