Wednesday, September 23, 2015

Enam Langkah Memelihara Nyalarasa Sebagai Penulis

Ada ketika, kita sangat bersemangat dan seronok kerana memilih mahu menjadi penulis. Tetapi, ada masanya kita hilang semangat dan berasa langsung tidak bermotivasi. Jadi, bagaimana hendak memastikan nyalarasa sebagai penulis ini tidak mati?
Ada enam kaedah mendapatkannya, seperti yang dikongsikan oleh Barrie Davenport, seorang jurulatih kerjaya.

1. Kenal diri sendiri. Sebelum ‘suara’ kita didengar oleh orang lain, kita dengar ‘suara’ sendiri dahulu. Seorang penulis mesti tahu apa yang membuatkan dirinya terusik, gembira, sedih, termotivasi, rasa bertenaga dan paling utama, dia tahu pegangan yang dia pilih dalam hidup.

2. Kenalpasti kualiti diri. Apa kekuatan penulis?
Apa skil yang dikuasai penulis, yang membuatkan hasil tulisannya lebih mudah ditulis dan ‘sampai’ kepada pembaca?

Ada penulis yang mudah terganggu apabila perlu menulis cerita pengalaman dengan sudut pandang pertama, tetapi ada penulis lain boleh menulis dengan laju apabila menggunakan teknik yang sama.
Kenalpasti kekuatan ini.

3. Cipta matlamat. Sesudah kenal diri dan mengenalpasti kekuatan diri, sediakan matlamat
realistik yang boleh dicapai.
Matlamat yang biasa diletakkan adalah duit dan perjuangan. Ia tidak salah. Sebab dengan tujuan, kita akan lebih nampak laluan yang mahu dipilih.

Sebagai Mukmin, kita tambahkan satu perkara lagi dalam matlamat ini dengan manfaatkan pesanan Tuhan dalam surah adz-Dzariyat ayat 56, “Tidaklah Aku mencipta jin dan manusia kecuali untuk beribadah kepada-Ku.”

Ya, jadikan penulisan itu ibadah dengan menulis dan berkongsi hal-hal baik yang menjuruskan kita ke jalan menuju Tuhan.

4. Alihkan halangan. Isu dalaman seperti rasa tidak percaya diri, ragu-ragu dan lain-lain yang berkaitan akan timbul dan mengganggu rentak. Kenalpasti semua halangan kecil ini dan atasi satu per satu. Seperti yang disebutkan sebelum ini, menulis cerpen adalah fasa mencari genre dan keselesaan penulis, yang juga menjadi platform membina keyakinan diri.

5. Reset minda. Beri kebebasan kepada diri kita. Berhenti berkata kepada diri, “Saya mesti buat ini.” Sebab ada waktunya, perkataan mesti dan wajib buat itu memberi banyak tekanan luar sedar kepada diri.

Kita mencari motivasi dan semangat. Bagi meringankan tekanan tadi, kita ubah perkatan mesti itu kepada “Saya pilih mahu melakukan ini.”

Mengapa? Supaya kita tidak rasa terbeban dengan apa jua yang kita lakukan. Hidup ini pilihan. Setiap apa yang kita buat, tertakluk kepada pilihan sendiri.

6. Sediakan perancangan. Sudah buat pilihan yang perlu? Akhir sekali, siapkan rancangan yang mendekatkan kita dengan kejayaan.

Sebagai contoh, letak sasaran satu cerpen SIAP dalam masa dua minggu dan capai.
Saya berpegang kepada sasaran yang diletakkan oleh guru saya, “Tulis 30 cerpen yang diterbitkan sebelum kamu mula menulis novel.”

Pada ketika status ini ditulis, saya sudah mencapai sasaran 16 cerpen. Sembilan cerpen lagi dalam proses diterbitkan dan tujuh cerpen seterusnya dalam proses ditulis. Insya-Allah, sasaran 30 cerpen ini akan tercapai menjelang awal 2016.


Alhamdulillah, saya menjumpai niche penulisan saya iaitu menulis untuk Projek Cerpen dengan berpegang kepada sasaran ini. 

No comments:

Post a Comment