Friday, July 10, 2015

#Tip 01 : Cambahkan idea supaya ia mencapai fasa matang dan boleh dicerpenkan

Untuk segmen ini, insya-Allah saya akan menjawab soalan dan masalah mengenai penulisan cerpen.

Soalan: Saya mempunyai idea dan kadang-kadang banyak tetapi sukar untuk mula mencerpen. Idea itu sukar untuk dikeluarkan. Juga sukar untuk hasilkan ayat yang cantik.

Baik, mari kita lihat masalah ini satu per satu.

Idea banyak :

- Keluarkan idea dari kepala dan tuliskan supaya lebih jelas. Boleh jadi, idea ini baru berada di peringkat bayi iaitu baru peringkat asas dalam fasa penjanaan idea.
- Cambahkan idea, supaya mencapai fasa matang. Dalam penulisan cerpen, idea sudah masuk fasa matang apabila ia sudah mempunyai lima perkara; tema + plot + watak + masa + lokasi.
- Apabila sudah ada lima perkara ini, bermakna kita sudah fokus kepada satu cerita sahaja. Dari sini, proses menulis akan lebih lancar kerana penulis sudah jelas dengan perkara yang mahu dituliskan.


Ayat yang cantik :

- Soal menulis ayat yang cantik, ia perlu kepada latihan. Semasa menulis, elakkan mahu fokus kepada ayat yang sedap dibaca sebab ia boleh diubah semasa proses edit.
- Semasa menulis, tulis sahaja walaupun ada typo. Apabila kita berhenti menekan papan kekunci untuk mengedit, kita akan menghalang aliran idea yang sebelumnya laju.

Nota: Tuan ada pertanyaan mengenai cerpen? Tuliskan di ruang komen atau emel ke tuliscerpen101[at]gmail[dot]com dengan Soalan Cerpen101 sebagai tajuk emel.
Baik, itu sahaja dulu.
Sampai jumpa lagi.
Selamat menulis!

No comments:

Post a Comment