Thursday, July 30, 2015

Tip 03 : Bertanya soalan yang betul

#TipCerpen101

Soalan:
1. Saya mahu menulis cerpen tetapi bagaimana caranya?
2. Apabila menulis, tiba-tiba topiknya bercampur-aduk.Adakah ia normal? Ia juga tak menarik.
3. Apa yang perlu saya lakukan?

Jawapan:
1. Bagi soalan begini, saya akan bertanya semula satu soalan. Adakah tuan biasa dengan cerpen (baca)? Ia penting, supaya kita biasa dengan format dan stail penulisan cerpen.

2. Faktor topik bercampur-campur itu adalah normal bagi mana-mana penulis yang baru menulis. Kita ada terlalu banyak perkara yang mahu dikongsi dan ia perlu kepada kawalan.

3. Cambahkan idea dan fokuskan ia kepada satu tema. Maksudnya, kembangkan idea yang ada dengan bertanya soalan-soalan yang betul.

Contohnya:
a. Apa tema cerita saya?
b. Siapa watak utama saya?
c. Bagaimana sikap watak utama saya?
d. Apa masalah watak utama saya?
e. Masalah watak ini berlaku di mana?
f. Apa yang berlaku kepada watak utama saya sehingga dia mahu berbuat sesuatu dengan masalahnya?
h. Apa yang saya akan lakukan jika masalah yang sama menimpa saya?

Selesai tuan sediakan jawapan kepada semua soalan ini, tuan sudah ada maklumat yang cukup untuk menulis sebuah cerpen. Lain-lain, teruskan praktis cara mengolah.

Abaikan dahulu hal tulisan tidak sedap dibaca itu. Capaikan fokus yang kita mahu iaitu menulis sampai siap.

Ada pertanyaan lain?
Ajukan di ruang komen atau emel ke tuliscerpen101[at]gmail[dot]com.

Monday, July 27, 2015

#Tip 2 : Perkenalkan watak dan konflik seawal perenggan pertama / pendahuluan

Soalan:
Bagaimana mahu menulis permulaan cerita dan juga mengawal watak supaya tidak terlalu banyak.
* * *
Saya juga mengalami masalah yang sama dan saya bereksperimen dengan pelbagai cara.
Jadi, bagaimana mahu memulakan cerita?

Kita suka dan senang dengan stail yang bagaimana?

Soalan ini, jawapannya berbalik kepada penulis sendiri. Jika menonton telemovie atau filem, intro bagaimana yang kita suka?

Contohnya, kita suka menonton drama Paie (yang mengangkat nama Shaheizy Sam) yang bermula dengan babak seorang remaja mendayung sampan untuk ke sekolah sebelum babak beralih ke bilik darjah yang menunjukkan seorang guru prihatin. Jika kita suka cara ini, mulakan cerpen dengan cara yang sama.

Ini stail deskripsi suasana; banyak yang kita boleh bayangkan apabila melihat seorang remaja yang mendayung sampan untuk ke sekolah.
- Dia orang susah
- Pakaiannya bersih, dia pandai menjaga diri
- Dia tidak putus asa dengan kesusahannya, tetap mahu ke sekolah dan belajar.
- dll

Memperkenalkan konflik

Ada beberapa cara boleh digunakan untuk memulakan konflik, seperti yang diajarkan guru saya, Tuan Bahruddin Bekri:
1. Falsafah
2. Pepatah
3. Dialog
4. Deskripsi suasana / watak
5. Quote

Terus bereksperimen. Apa yang penting, perkenalkan konflik watak seawal perenggan pertama. Paling lewat, konflik sudah disampaikan pada halaman pertama. Sebab cerpen ada had halaman, maka kita jimatkan jumlah perkataan dan halaman dengan memberitahu konflik di awal cerita.


Ini contoh cerpen yang saya tulis menggunakan pepatah sebagai intro untuk sebuah projek dengan Galeri Ilmu (insya-Allah, doakan lancar sehingga diterbitkan). 
Nota: Ada pengulangan kata 'kehidupan' dalam perenggan pertama. Elakkan, ya? Ia tidak sedap dibaca.

Apabila kita sudah jumpa teknik yang sesuai (apabila digunakan, kita boleh menulis dengan laju), teruskan guna teknik yang sama sehingga mahir. Tidak mustahil, ia akan jadi trademark penulis.

Mengawal watak

- Salah satu ciri cerpen ialah mempunyai bilangan watak terhad. Dalam menulis cerpen, disarankan paling ramai, tiga watak sahaja.
- Sebab watak boleh menggerakkan cerita. Apabila watak bertambah, cerita akan berkembang dan ia memberi kesan kepada had halaman. Lagi, ia juga mengganggu fokus jalan cerita.
- Jika mahu tambah watak, beritahu diri bahawa ia bukan watak utama. Tanya diri, sama ada watak ini membantu jalan cerita sedia ada atau mencapahkan fokusnya. Jika fokus cerita akan tercapah, simpan watak ini untuk cerpen lain.

Baik, itu sahaja dulu.
Sampai jumpa lagi.
Selamat menulis!

Friday, July 10, 2015

#Tip 01 : Cambahkan idea supaya ia mencapai fasa matang dan boleh dicerpenkan

Untuk segmen ini, insya-Allah saya akan menjawab soalan dan masalah mengenai penulisan cerpen.

Soalan: Saya mempunyai idea dan kadang-kadang banyak tetapi sukar untuk mula mencerpen. Idea itu sukar untuk dikeluarkan. Juga sukar untuk hasilkan ayat yang cantik.

Baik, mari kita lihat masalah ini satu per satu.

Idea banyak :

- Keluarkan idea dari kepala dan tuliskan supaya lebih jelas. Boleh jadi, idea ini baru berada di peringkat bayi iaitu baru peringkat asas dalam fasa penjanaan idea.
- Cambahkan idea, supaya mencapai fasa matang. Dalam penulisan cerpen, idea sudah masuk fasa matang apabila ia sudah mempunyai lima perkara; tema + plot + watak + masa + lokasi.
- Apabila sudah ada lima perkara ini, bermakna kita sudah fokus kepada satu cerita sahaja. Dari sini, proses menulis akan lebih lancar kerana penulis sudah jelas dengan perkara yang mahu dituliskan.


Ayat yang cantik :

- Soal menulis ayat yang cantik, ia perlu kepada latihan. Semasa menulis, elakkan mahu fokus kepada ayat yang sedap dibaca sebab ia boleh diubah semasa proses edit.
- Semasa menulis, tulis sahaja walaupun ada typo. Apabila kita berhenti menekan papan kekunci untuk mengedit, kita akan menghalang aliran idea yang sebelumnya laju.

Nota: Tuan ada pertanyaan mengenai cerpen? Tuliskan di ruang komen atau emel ke tuliscerpen101[at]gmail[dot]com dengan Soalan Cerpen101 sebagai tajuk emel.
Baik, itu sahaja dulu.
Sampai jumpa lagi.
Selamat menulis!