Thursday, March 12, 2015

5 Ciri-ciri Cerpen

Gambar: deviantart.com (seijin-stock)

Sejauh mana kita tahu pasal genre penulisan yang dipanggil cerpen? Tak kenal maka tak cinta. Jadi, mari kita berkenalan dengan cerpen.

Panjang cerpen atau short stories biasanya di sekitar 500 hingga 20 000 patah perkataan.


5 Ciri-ciri Cerpen

Tema + Plot + Watak + Masa + Lokasi = Cerpen

Mengapa saya gunakan elemen ‘tambah’ dalam formula ini?

Sebab, daripada lima ciri ini ada elemen yang boleh tiada dalam cerpen.

Mari kita lihat elemen ini satu per satu.

Tema

Tema adalah perkara asas yang dipegang oleh watak utama dalam cerpen. Menurut Kamus Dewan, tema adalah perkara yang mendasari sebuah cerita. Dalam penulisan cerpen, perlu ada SATU tema sahaja.

Sebagai contoh, kita menulis cerpen dengan tema ‘tanggungjawab seorang anak soleh’. FOKUS kepada tema ini. Tidak perlu campurkan dengan tema masalah pendidikan di rumah atau kesilapan cara ayah mendidik anak.

Plot

Ramai yang menganggap plot itu sebagai susunan cerita. Ia tanggapan yang tidak tepat.

Plot adalah sebab dan akibat.

Dalam penulisan cerpen, ia adalah perkara yang menyebabkan sesuatu konflik terjadi kepada watak utama. Seperti contoh tadi, menjadi anak soleh adalah akibat dan sebabnya adalah kesedaran daripada nasihat.

Tiada subplot dalam cerpen. Seperti contoh sebelum ini, kita tidak boleh menambah masalah anak dengan guru disiplin atau konflik anak yang mahu jadi anak soleh tadi dengan kumpulan pelajar samseng di sekolah. Nanti, cerpen kita akan menjadi novel.

Watak

Disebabkan had kepanjangan, tema dan plot, tidak perlu banyak watak dalam cerpen. Maksimum TIGA watak sahaja.

Contohnya, ada tiga watak dalam cerita anak soleh tadi iaitu anak, ayah dan seorang perempuan yang bertindak sebagai pelerai. Guru saya ajarkan, watak pelerai masalah ini berperanan sebagai pari-pari dalam cerita.

Seperti dalam cerita dongeng, watak pari-pari dimunculkan bagi meleraikan kekusutan Cinderella. Dalam cerita ini, perempuan yang menjadi pelerai tadi berfungsi menyedarkan anak mengenai tanggungjawabnya kepada ayah.

Latar Masa

Cerpen tidak perlu latar masa yang terlalu panjang atau ia akan menjadi janggal. Apabila latar masa panjang, pasti banyak perkara yang mahu dimasukkan. Ia akan mengganggu fokus tema dan watak terutama kepada penulis baru.

Mengapa saya kata begini?

Sebab penulis baru mempunyai masalah dalam mengawal perkara yang mahu ditulis. Saya juga, masih mengalami masalah yang sama. Jadi, sebagai langkah awal selesaikan masalah ini dengan menyusun LATAR MASA YANG PENDEK seperti 3 bulan, 3 hari atau 3 jam.

Saya beri contoh.

Cerita anak soleh itu hanya berlaku dalam satu hari, melibatkan perbualan singkat anak soleh dengan perempuan pari-pari yang menyedarkan anak mengenai tanggungjawabnya kepada ayah.

Latar Tempat

Seperti masa, latar tempat bagi cerpen juga terhad. Cukup dengan satu latar sahaja, supaya alur cerita mudah dikawal. Menambah lokasi dalam cerita akan membawa kepada penambahan babak yang kemudian menjurus kepada penambahan subplot.

Dalam cerita anak soleh, keseluruhan cerita berlaku di pintu masuk sebuah masjid. Di situ, watak anak soleh bertemu kakak (watak pari-pari) dan mereka berbual sehinggalah si anak tahu apa yang perlu dilakukan sebagai anak.

Bagi yang mahu membaca cerpen anak soleh yang saya jadikan contoh dalam perbincangan ini, boleh klik pautan ini: http://bit.ly/diaRM

Jadi, sudah tahu pasal perkara yang mencirikan cerpen?

Masih ingat saya kata ada elemen yang boleh tiada daripada cerpen?

Ia adalah plot. Ada cerpen yang ditulis tanpa plot. Ia berlaku tiba-tiba seperti tiba-tiba ada dua watak yang duduk di kedai kopi membincangkan sesuatu.


Itu sahaja perkongsian saya untuk kali ini. Semoga memanfaatkan. Yang baik itu daripada Allah. Mana-mana yang buruk dan tidak baik itu daripada kesilapan saya.

Jom selfie. Mari muhasabah diri.

No comments:

Post a Comment