Wednesday, February 4, 2015

Cerpen : Dia

Karya Dia ini pernah terbit di Majalah Usrati Isu 6.



DIA – RAHMAH MOKHTAR
Riak wajahnya lesu, seperti sudah lelah menanggung masalah. Lipatan tudungnya senget-senget dan pakaian tidak bergosok yang disarungkan ke tubuh membuatkan aku mudah kasihan.
‘Ah, gadis itu lagi!’

Sekejap-sekejap, dia melangkah ke depan. Tetapi, selepas beberapa saat dia berundur setapak. Tingkahnya membuat aku semakin tidak keruan. Hendak menegur dan membantu, aku khuatir dia tidak berhasrat kepada bantuan. Mahu memanggil, mendadak datang rasa sangsi.
‘Allah.... Kenapa aku perlu rasa begini setiap kali mahu membantu orang lain?’
Tiba-tiba, dia mendekat dan menegur.
“Kak, boleh bantu saya?”
Aku menoleh pantas. Tanpa dipaksa, rasa baik hati yang masih bersisa mengambil alih pilihan hati. Melihat dia yang masih teragak-agak, aku maniskan roman dengan seulas senyum.
Segera, aku mengangguk dan berkata, “Marilah. Insya-Allah, saya bantu yang mana termampu.”
Laju, dia mengambil tempat di sebelah.
Lima saat pertama, kami sama-sama senyap. Masing-masing tidak tahu bagaimana mahu memulakan. Menyibukkan diri, aku memandang corak lantai masjid yang selama ini tidak pernah menjadi perhatian. Sementara dia asyik berdehem, mencari nafas yang sesuai dengan rentak perasaan kami pada waktu itu.
Akhirnya, kami sama-sama membuka mulut.
“Apa...?”
“Sebenarnya....”
Demi pertindihan suara yang tidak dirancangkan itu, ketegangan antara kami mengendur. Kami sama-sama tersenyum.
Sebelum suasana bertukar janggal, aku cepat-cepat bersuara, “Ceritalah, saya dengar.”
Dia berdeham lagi sejurus memulakan, “Sebenarnya, saya selalu mengikuti kuliah masjid secara diam-diam. Saya duduk di sana, dan dengar diam-diam melalui pembesar suara masjid.”
Aku mengangguk sambil menghalakan mata ke arah tembok batu di luar pintu masjid.
Kemudian, dia menyambung lagi, “Saya selalu nampak kakak senyum. Muka kakak bersih, tenang. Sebab tu, saya nak minta bantuan kakak.”
Aku terus mendengar. Hasrat mahu bertanya yang menjejali hati aku tahankan supaya tidak terlafaz, supaya cerita dia tidak terganggu.
“Hidup saya terumbang-ambing, tidak tenang. Walaupun saya selalu ketawa, tapi hati saya selalu gelisah. Saya tak tahu mahu mengadu kepada siapa. Emak dah mati. Ayah pula, sedang sibuk bina kehidupan dengan orang baru. Hal sekolah saya, langsung tiada siapa mahu peduli. Selepas emak pergi, ayah hantar saya ke sekolah asrama. Sampai sekarang, ayah langsung tak datang jenguk.”
Aku terpempan. Tersentak mendengar masalah gadis itu. Lingkar hitam di sekeliling matanya aku pandang berlama-lama.
Dia kemudiannya diam dan menekur lantai masjid. Aku yang sejak tadi tidak berkata apa-apa semakin kehilangan kata.
‘Bagaimana harus aku memulakan?’
Melihatkan aku senyap, dia mengangkat muka dan bertanya, “Apa patut saya buat kak?”
Aku menelan liur, terbeban dengan pertanyaan yang penuh harapan itu. Matanya yang mula berkaca kian menambah beban di pundak.
Spontan, tangan kanan aku bertindak lebih pantas. Aku pegang tangannya dan kami berpandangan buat seketika. Selepas memastikan aliran nafas kami sudah seiring, aku melontarkan pertanyaan, “Sudah berapa lama kamu duduk di asrama?”
Jawabnya perlahan, “Tujuh bulan.”
“Selama itu, ayah langsung tak datang?”
Dia mengangguk sekali lalu menundukkan pandangan. Kembali berteleku memandang lantai masjid.

“Duit belanja?”
“Ayah kirim melalui bank.”

Aku mengangguk-angguk.
“Bermakna, dia masih peduli. Dia masih melaksanakan tanggungjawab. Betul dia tak pernah datang?”
Habis saja aku tanyakan soalan itu, air matanya tumpah. Mengalir laju, bersama empangan rasa yang dikekang berbulan-bulan. Aku membiarkan dia larut dalam emosi sementara fikiran terus mencanai rasa, mencari cara menguraikan kemelut perasaan dia.
Apabila tangisnya mereda, dia berkata dalam suara yang berselang esakan, “Ayah datang, tapi dia bawa mak cik....”
Aku mengangguk, semakin mengerti.
Luahku kemudian, apabila dia semakin tenang, “Hasbunallahi wa ni’mal wakil. Selalu bacakan doa ini, minta pada Allah supaya dia tenangkan hati kita.”
Mulutnya terkumat-kamit, mungkin mengulang baca potongan doa itu. Soalnya kemudian, “Apa maksud doa itu, kak?”
“Cukuplah Allah sebagai sebaik-sebaik pelindung bagiku.”
Dia mengangguk. Lambat-lambat, dia tersenyum nipis. Walaupun tidak dinyatakan, aku tahu dia sedang menghargai. Kemudian, kami sama-sama senyap. Menikmati ketenangan yang baru menjengah.
* * *
“Kamu tahu? Sebenarnya kamu sudahpun menerima hakikat yang ayah kamu sudah berbahagia dengan orang baru, tetapi selaku anak yang mahukan banyak perhatian, kamu memilih mengutamakan rajuk berbanding pengertian.”
“Apa maksud kakak?”
“Sebab kamu berani menyatakan cerita kehidupan kamu kepada saya. Itu tandanya kamu memilih mencari penyelesaian dan mahu hidup lebih baik. Kamu anak yang baik. Teruskan menyayangi ayahmu, sebab dia memang layak dikasihi. Walau bagaimanapun dia berkelakuan, dia tetap ayahmu dan seorang ayah patut disayangi dengan hati yang penuh kebaikan.”
Dia mengangguk-angguk, dengan senyuman yang kian lebar.
* * * * *