Saturday, January 24, 2015

7 Perkara Yang Perlu Dibuat Apabila Menerima Tawaran Menulis

Sebagai penulis, menerima tawaran menulis dengan mana-mana penerbit adalah sesuatu yang sangat mengujakan. Namun, adalah sangat penting untuk berhati-hati. Kita tidak mahu penulis akhirnya hilang percaya terhadap minat dan bakat sendiri kerana apa yang diusahakan tidak memberi pulangan yang diharapkan.

Baru-baru ini, saya ada menerima tawaran menulis karya fiksyen (novel) daripada sebuah penerbit. Walaupun diketahui penerbit ini mempunyai nama yang kuat dalam industri dalam negara, para guru saya selalu menasihatkan supaya tidak terburu-buru menyatakan persetujuan.

Jadi, saya berbincang dengan guru dan rakan-rakan penulis mengenai tindakan yang perlu. Sebanyak 7 tindakan digariskan.

Jadi, apa yang penulis perlu buat apabila menerima tawaran menulis?

1. Fahamkan tawaran betul-betul.
Penulis bertanggungjawab atas setiap perkataan yang ditulis. Sebab itu, penulis perlu tahu perkara yang mahu ditulis. Dapatkan sebanyak mungkin maklumat tawaran seperti genre karya, golongan sasaran, jumlah halaman dan tujuan.

2. Dapatkan info mengenai penerbit
Google nama penerbit dan cari tahu siapa penerbit dengan lebih lanjut. Kebanyakan penerbit ada laman web. Dapatkan maklumat ringkas seperti mazhab penulisan, in-house stail, rekod jualan dan kaedah promosi yang dilakukan.

3. Rujuk dengan rakan penulis.
Tanya kawan-kawan mengenai pengurusan penerbit khususnya yang pernah bekerjasama dengan penerbit berkenaan. Adakah mereka menjaga kebajikan penulis atau ada cerita tidak enak pernah berlaku sebelumnya. Beringat, kita hanya mahu mengambil pengajaran, bukan menjaja keburukan.

4. Semak perjanjian.
Jika ada kawan yang boleh kongsikan perjanjian penerbitan, dapatkan dan buat sedikit kajian. Teliti bahagian royalti, hakcipta, pelupusan stok, dll isu berkaitan. Maklumat ini juga boleh ditanyakan kepada wakil penerbit.

5. Semak sama ada tawaran ini selari dengan matlamat penulisan yang dibawa oleh penulis.
Setiap penulis ada kekuatan sendiri. Sekiranya tawaran tidak sama dengan genre yang dibawa oleh penulis, kaji sama ada ia masih dalam skop atau tidak.

6. Adakah tawaran ini boleh membantu penjenamaan penulis?
Jenama penulis, berkait rapat dengan golongan sasaran. Karya penulis genre dewasa ada masanya tidak sesuai dengan pembaca remaja dan sebaliknya. Menulis banyak genre hanya akan membuat pembaca keliru.

7. Buat keputusan dalam keadaan penulis tahu pintu keluar rumah penerbitan. Masuk tanpa tahu jalan keluar, nanti jadi kisah thriller.

Yang baik itu daripada Allah. Segala keburukan adalah daripada kekurangan dan kesilapan saya.

Jom selfie. Mari muhasabah diri.

No comments:

Post a Comment