Friday, January 9, 2015

4 Faktor Azam Tak Tercapai

Tahun baru, ramai yang bercakap pasal azam. Kita selalu dengar ungkapan, "Saya mahu teruskan azam tahun lepas, yang belum tercapai."


Apa yang menyebabkan hal ini berlaku? Ustaz Elyas Ismail ada kongsikan mengenai hal ini dalam kuliah 'Jom Selfie' di TV1 semalam. Saya olahkan, sesuai dengan impian menjadi penulis cerpen.
1. Asyik mengulang perkara sama tetapi berharap hasilnya berbeza. 
Tanpa mengubah sikap, kita tidak akan menempa kejayaan atau mencipta hasil yang lebih baik. Memasang azam yang sama, harus disertakan dengan sikap berbeza.

Mahu menjadi penulis cerpen? Impian itu tidak boleh tercapai apabila kita masih teruskan sikap hanya mahu tetapi tidak mula menulis. Tahun lalu, kita penuhkan hari-hari dengan membaca pelbagai karya bestseller, sambil memasang impian kita juga akan menjadi seperti itu. Tetapi, pada tahun 2015 pun kita masih mengulang sikap yang sama. Terus membaca tetapi tidak pernah berusaha menulis walaupun satu perkataan. Ubah sikap ini dan mula penulis.
"If you want to be a writer, you must do two things above all others : read a lot and write a lot." - Stephen King


2. Tidak belajar dari kesilapan.
Apabila perkara yang dirancang tidak menjadi, kita patah balik dan kaji semula langkah-langkah yang pernah diambil. Mana-mana yang terlihat mencacatkan perjalanan, kita tampal dan baiki bagi mendapat hasil yang lebih baik. 

Sebagai penulis, apabila kita menerima emel berbunyi, "Minta maaf, karya cikpuan tidak sesuai dengan rumah penerbitan kami."

Apa yang kita lakukan? Penulis yang baik akan bertanya kepada editor cara-cara membaiki karyanya supaya sesuai diterbitkan, lalu berusaha mengolah semula karya yang ditulis.
3. Tidak ikhlas / tidak bersungguh-sungguh.
Man jadda wa jada. Tanpa kesungguhan, kita akan mudah rasa putus asa. Perancangan yang baik selalu gagal apabila tidak diseimbangkan dengan usaha setimpal.

Bagi menghasilkan karya yang baik, kita perlukan masa dan alat (time and tool). Karya yang ditulis tergesa-gesa (tanpa perancangan konten) dan tanpa alat (ilmu) yang betul. Bagaimana mahu mencukupkan dua-dua perkara ini? Sediakan jadual menulis dan belajar teknik penulisan daripada jurulatih penulisan.
   
4. Tidak sabar.
Ada masanya, kita tidak sanggup mahu menunggu. Selepas berusaha, kita selalu mahu hasil yang cepat. Rezeki itu hak Tuhan. Ia didatangkan kepada kita sesuai dengan keperluan, dan bukan kehendak manusia.
Ramai penulis berputus asa dan menyimpulkan dia bukan penulis berbakat apabila tidak berjaya menembusi rumah penerbit atau majalah. Tidak kurang, ada penulis yang memaksa editor menyemak karya mereka sebaik sahaja diemelkan kerana tidak sabar melihat karya diterbitkan. Kawal rasa teruja ini dengan bersabar. Sebabnya, setiap hari para editor menerima puluhan bahkan mungkin ratusan emel penulis yang menghantar karya. Beri masa kepada editor, sekurang-kurangnya dua minggu. Selepas itu, kirimlah emel dan bertanya dengan sopan mengenai karya kita.

Yang baik itu daripada Allah. Mana-mana yang kurang, ia kesilapan saya.

Jom selfie. Jom muhasabah diri.

‪#‎muhasabahdiri‬ #tippenulisancerpen

No comments:

Post a Comment