Saturday, January 24, 2015

7 Perkara Yang Perlu Dibuat Apabila Menerima Tawaran Menulis

Sebagai penulis, menerima tawaran menulis dengan mana-mana penerbit adalah sesuatu yang sangat mengujakan. Namun, adalah sangat penting untuk berhati-hati. Kita tidak mahu penulis akhirnya hilang percaya terhadap minat dan bakat sendiri kerana apa yang diusahakan tidak memberi pulangan yang diharapkan.

Baru-baru ini, saya ada menerima tawaran menulis karya fiksyen (novel) daripada sebuah penerbit. Walaupun diketahui penerbit ini mempunyai nama yang kuat dalam industri dalam negara, para guru saya selalu menasihatkan supaya tidak terburu-buru menyatakan persetujuan.

Jadi, saya berbincang dengan guru dan rakan-rakan penulis mengenai tindakan yang perlu. Sebanyak 7 tindakan digariskan.

Jadi, apa yang penulis perlu buat apabila menerima tawaran menulis?

1. Fahamkan tawaran betul-betul.
Penulis bertanggungjawab atas setiap perkataan yang ditulis. Sebab itu, penulis perlu tahu perkara yang mahu ditulis. Dapatkan sebanyak mungkin maklumat tawaran seperti genre karya, golongan sasaran, jumlah halaman dan tujuan.

2. Dapatkan info mengenai penerbit
Google nama penerbit dan cari tahu siapa penerbit dengan lebih lanjut. Kebanyakan penerbit ada laman web. Dapatkan maklumat ringkas seperti mazhab penulisan, in-house stail, rekod jualan dan kaedah promosi yang dilakukan.

3. Rujuk dengan rakan penulis.
Tanya kawan-kawan mengenai pengurusan penerbit khususnya yang pernah bekerjasama dengan penerbit berkenaan. Adakah mereka menjaga kebajikan penulis atau ada cerita tidak enak pernah berlaku sebelumnya. Beringat, kita hanya mahu mengambil pengajaran, bukan menjaja keburukan.

4. Semak perjanjian.
Jika ada kawan yang boleh kongsikan perjanjian penerbitan, dapatkan dan buat sedikit kajian. Teliti bahagian royalti, hakcipta, pelupusan stok, dll isu berkaitan. Maklumat ini juga boleh ditanyakan kepada wakil penerbit.

5. Semak sama ada tawaran ini selari dengan matlamat penulisan yang dibawa oleh penulis.
Setiap penulis ada kekuatan sendiri. Sekiranya tawaran tidak sama dengan genre yang dibawa oleh penulis, kaji sama ada ia masih dalam skop atau tidak.

6. Adakah tawaran ini boleh membantu penjenamaan penulis?
Jenama penulis, berkait rapat dengan golongan sasaran. Karya penulis genre dewasa ada masanya tidak sesuai dengan pembaca remaja dan sebaliknya. Menulis banyak genre hanya akan membuat pembaca keliru.

7. Buat keputusan dalam keadaan penulis tahu pintu keluar rumah penerbitan. Masuk tanpa tahu jalan keluar, nanti jadi kisah thriller.

Yang baik itu daripada Allah. Segala keburukan adalah daripada kekurangan dan kesilapan saya.

Jom selfie. Mari muhasabah diri.

Monday, January 19, 2015

3 Cara Melawan Syaitan yang Mengganggu Penulisan

Caliph Buskers, 50 ribu fan di Facebook dan Seminar FB Menjadi Buku.

Bermacam-macam isu timbul di kalangan peserta Seminar FB Menjadi Buku pada hari Sabtu, 17 Januari 2015 yang lalu.

Para sifu penulisan dan rakan keliling saling memberi ingat, ia mengenai konsistensi dan usaha yang fokus.

Lupakan isu 25 ribu followers itu. Utamakan hal yang LEBIH UTAMA, iaitu menaikkan tahap diri ke arah menjadi penulis profesional melalui konten karya yang berkualiti. Caliph Buskers melonjakkan diri mereka ke tahap sekarang dengan melakukan yang terbaik sebagai penyanyi.

Jadi, mari lakukan yang terbaik.

"Sekiranya kamu bukan anak raja dan bukan juga anak ulama besar, maka jadilah penulis." - Imam al-Ghazali

Menjadi penulis, ia tidak semudah yang diperkatakan. Ia perlu kepada usaha berterusan, matlamat yang jelas dan bahan yang baik.

Usaha Berterusan

Menulis dengan konsisten adalah sesuatu yang sukar. Seperti sukarnya mahu istiqamah dalam melakukan kebaikan sebab kita akan berperang dengan nafsu dan hasutan syaitan.

Jadi, bagaimana mahu melawan syaitan yang mengganggu penulisan?

Syaitan ini boleh ditewaskan dengan PEDANG USAHA.
Saya mahu datangkan 3 kaedah mencapai istiqamah, seperti yang dikongsikan oleh Ustaz Elyas Ismail dalam siaran Forum Perdana Ehwal Islam yang mengupas tajuk Jom Selfie pada 6 Januari lalu.

1. Bermula dengan perkara yang kecil-kecil.

Cipta sasaran kecil yang perlu diselesaikan setiap hari. Sebagai contoh, kita mahu menyiapkan sebuah manuskrip 200 halaman dalam masa sebulan.

Hapuskan sentimen, "Banyaknya nak kena tulis!" dengan meletakkan target kecil-kecil seperti SIAPkan 6 halaman sehari.

2. Bermula dengan diri sendiri.

Kita tidak boleh mengubah sikap orang lain. Sebabnya, kita tidak memegang hati orang lain.
Campak jauh-jauh perasaan ragu-ragu yang membawa kepada soalan, "Bagaimana aku boleh siapkan kerja ini? Adakah aku mampu?"

Caranya, duduk dan tulis. Ada ENAM halaman perlu siap sebelum jam 12 malam ini.

3. Mulakan sekarang.

Ya, the power of NOW. Urusan konsisten tidak dapat berlaku dengan bertangguh.
Mari, baca bismillah dan putuskan rantai yang menjerut leher dengan virus malas!

Tanya diri soalan ini SEKARANG.
"Sudah tulis berapa halaman hari ini? Sudah cukup enam?"

Matlamat yang jelas

Seperti kata Buya Hamka, "Penulis yang jelas dengan tujuan dia menulis akan menghasilkan karya yang baik."
Usah jadi seperti saya, yang bermula tanpa tujuan yang jelas.

Salah satu tanggungjawab penulis adalah menyampaikan, yang juga menjadi tanggungjawab setiap orang Mukmin. Bidang apapun yang kita kuasai, matlamat mahu menyebar ilmu dan berkongsi akan membantu kita menulis karya yang jelas.

Cerita yang tidak diketahui penghujungnya cenderung mempunyai plot bersimpang-siur.

Bahan yang baik

Bagaimana mahu dapatkan bahan yang baik untuk ditulis?
i. Nikmati hidup. Raikan kehidupan, perasaan dan fikiran. Hidup baik-baik dan kutip manfaat daripada setiap yang kita lakukan.
ii. Sediakan jurnal harian. Rekod momen kita menikmati hidup.
iii. Juga, banyakkan membaca bahan bacaan di luar bidang yang kita tahu. Sahabat saya selalu mengamalkan kaedah speed-reading; cari kata kunci dalam bahan yang dibaca.
Semua ini bahan baik yang boleh dituliskan.

Jadi, sudah berapa halaman yang ditambahkan ke dalam manuskrip kita hari ini?

Jom selfie. Mari muhasabah diri.

Saturday, January 17, 2015

5 Langkah Menjadi Penulis Professional

Hari ini saya direzekikan hadir ke Seminar Facebook Menjadi Buku di Wisma Sejarah. Alhamdulillah, banyak perkongsian bermanfaat disampaikan oleh para pemain industri yang pakar dalam bidang masing-masing.

Pada sesi akhir, Tuan Syarafuddin Sulaiman, seorang editor berkongsi sesuatu yang menarik mengenai langkah menjadi penulis.

Lima langkah tersebut adalah:
1. Bermula sekarang. Jangan bertangguh lagi.
Kita tidak menjadi penulis dengan hanya berkata, "Saya mahu menjadi penulis."



Saya ada kongsikan mengenai 4 kategori penulis di laman Facebook :
i. Professional, iaitu golongan yang jelas dengan tujuan dan matlamat sebagai penulis.
ii. Anorak, kumpulan penulis yang masih samar dengan tujuan dan genre yang mahu ditulis.
iii. Penggemar seni (The Dilettante) iaitu kumpulan yang menghargai seni lalu menjadikan aktiviti penulisan sebagai hobi.
iv. Pengkhayal iaitu kumpulan individu yang berhasrat menjadi penulis dan menyimpan impian di dalam fikiran.

Kita akan kekal di dalam kumpulan Pengkhayal selagi mana kita tidak bertindak.
Naikkan kedudukan kita ke kategori ke-3, SEKARANG.

2. Tulis secara konsisten, setiap hari.
Sudah bermula?
Kekalkan momentum itu dengan menulis setiap hari. BERHENTI MENUNGGU inspirasi. Ubah sikap ini dengan MENCARI inspirasi supaya kita boleh menulis setiap hari.

Bagaimana mahu memastikan perkara ini boleh dilakukan? Berhenti apabila sasaran sudah dicapai. Sambung kerja kita esok. Biarkan minda separa sedar kita bekerja dengan idea yang sudah dirancang untuk esok.

3. Tetapkan sasaran dan capai.
Stephen King memastikan dia menambah 5000 patah perkataan ke dalam manuskripnya setiap hari.

Ia sasaran yang perit untuk kita capai.
Tetapi, kita tidak sedar satu perkara. Kenyataan ini akan lebih perit apabila kita tahu ia amalan penulis berjaya, tetapi kita tidak mahu mengambil langkah serupa.

Sasaran, ia sesuatu yang payah tetapi tidak mustahil untuk dicapai. Jika 5000 terlalu banyak, mulakan dengan 500 patah perkataan.



4. Sukar menulis seorang? Cari rakan kongsi atau duduk dalam jemaah.
Ini rahsia kejayaan James Patterson menghasilkan buku dengan sangat kerap. Beliau mempunyai pasukan penulis.

Dalam situasi lebih mudah, ada individu yang kreatif menjana plot dan idea bagi sinopsis yang baik. Tetapi, ada individu yang lebih mahir menulis berbanding mengeluarkan idea sinopsis atau plot.

Lebih ramai, lebih meriah.

Boleh bayangkan idea yang akan terhasil apabila dua orang kreatif duduk bersama?
Di seminar tadi, Tuhan rezekikan saya mendapat DUA sinopsis menarik semasa berbual dan berkongsi rasa dengan rakan penulis (dalam masa tidak sampai 30 minit).

Alhamdulillah.

5. Fokus.
Selepas mempunyai hala tuju, seorang penulis perlu mempunyai disiplin yang tinggi. Apabila seorang penulis fokus dalam kerja penulisannya, proses kerjanya akan lebih teratur.

Selain itu, sikap ini akan membantu kita menguasai bidang sendiri dengan lebih baik. Seorang individu tidak menjadi pakar dalam satu hari. Ia memerlukan amalan dan latihan yang berterusan.

Seorang penulis professional bermula sebagai amatur. Yang membezakan dia dengan penulis amatur lain adalah, dia TIDAK BERHENTI.

Jalan terus!
Apabila sesat, cari semula tujuan dan sasaran kita. Fokus lagi.

Yang baik itu daripada Allah. Kekurangan dan keburukan itu adalah daripada kesilapan saya.

Jom selfie. Mari muhasabah diri.

Tuesday, January 13, 2015

Free Writing


Apa yang dimaksudkan dengan free writing?
Ia bermaksud menulis secara bebas, mengenai sebarang topik yang terlintas di fikiran. 
Apabila mencari topik yang mahu dituliskan, teknik ini boleh digunakan sebagai 'penapis'. 

Penulis Jeff Goins ada mencadangkan cara ini sebagai salah satu kaedah latihan yang baik, khususnya dalam mengelakkan masalah buntulis (writer's block).

Bagaimana free-writing boleh membantu penulis?
1. Penulisan akan lebih laju apabila penulis 'nampak' apa yang ditulis. 
2. Bagaimana mahu nampak cerita yang mahu ditulis? 
Penulis perlu biasa dengan situasi yang mahu diceritakan.
3. Apabila penulis membiasakan diri dengan free-writing, corak topik yang selalu dipilih akan dapat dikesan dengan lebih mudah.

Bagaimana mahu memulakan proses free writing?
1. Ambil pen dan buku nota kosong. Mulakan blog peribadi juga boleh.
2. Mulakan menulis, apa sahaja yang rasa mahu ditulis, sekurang-kurangnya 200 patah perkataan sehari tanpa sebarang editing.
3. Teruskan aktiviti ini selama sebulan.
4. Kaji corak topik yang ditulis.
5. Pilih topik yang paling banyak ditulis dan tanya diri sendiri, "Adakah saya akan menulis cerita ini? Bagaimana ia boleh membantu memanfaatkan orang yang membacanya?"


Yang baik itu daripada Allah. Mana-mana yang buruk itu daripada kelemahan saya sendiri.

Jom selfie. Mari muhasabah diri.

Saturday, January 10, 2015

Pelancaran Projek 100 Buku

Sudah ada aktiviti pada 1 Februari 2015 nanti?
Jika belum ada, mohon letakkan event ini dalam diari.
Insya-Allah, ia sesuai sebagai aktiviti keluarga.

Tarikh: 1 Februari 2015
Masa: 2-3 petang.
Lokasi: Di Pentas Utama, Karnival Kumpulan Karangkraf 2015, Perkarangan Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam.

Ada apa di sana? Insya-Allah, temui saya dan penulis yang lain di Majlis Pelancaran Buku sempena Karnival.



Sudah buat pre-order buku? Klik pautan ini. http://mall.karangkraf.com/categories/Projek-100-buku-(PRE-ORDER)/1570


Jika mahu order buku saya saja, mari klik pautan ini:
http://mall.karangkraf.com/products/HADIAH%20BUAT%20IBU/4051

#karyaRM #RMisRahmahMokhtar #hadiahibu”

Friday, January 9, 2015

4 Faktor Azam Tak Tercapai

Tahun baru, ramai yang bercakap pasal azam. Kita selalu dengar ungkapan, "Saya mahu teruskan azam tahun lepas, yang belum tercapai."


Apa yang menyebabkan hal ini berlaku? Ustaz Elyas Ismail ada kongsikan mengenai hal ini dalam kuliah 'Jom Selfie' di TV1 semalam. Saya olahkan, sesuai dengan impian menjadi penulis cerpen.
1. Asyik mengulang perkara sama tetapi berharap hasilnya berbeza. 
Tanpa mengubah sikap, kita tidak akan menempa kejayaan atau mencipta hasil yang lebih baik. Memasang azam yang sama, harus disertakan dengan sikap berbeza.

Mahu menjadi penulis cerpen? Impian itu tidak boleh tercapai apabila kita masih teruskan sikap hanya mahu tetapi tidak mula menulis. Tahun lalu, kita penuhkan hari-hari dengan membaca pelbagai karya bestseller, sambil memasang impian kita juga akan menjadi seperti itu. Tetapi, pada tahun 2015 pun kita masih mengulang sikap yang sama. Terus membaca tetapi tidak pernah berusaha menulis walaupun satu perkataan. Ubah sikap ini dan mula penulis.
"If you want to be a writer, you must do two things above all others : read a lot and write a lot." - Stephen King


2. Tidak belajar dari kesilapan.
Apabila perkara yang dirancang tidak menjadi, kita patah balik dan kaji semula langkah-langkah yang pernah diambil. Mana-mana yang terlihat mencacatkan perjalanan, kita tampal dan baiki bagi mendapat hasil yang lebih baik. 

Sebagai penulis, apabila kita menerima emel berbunyi, "Minta maaf, karya cikpuan tidak sesuai dengan rumah penerbitan kami."

Apa yang kita lakukan? Penulis yang baik akan bertanya kepada editor cara-cara membaiki karyanya supaya sesuai diterbitkan, lalu berusaha mengolah semula karya yang ditulis.
3. Tidak ikhlas / tidak bersungguh-sungguh.
Man jadda wa jada. Tanpa kesungguhan, kita akan mudah rasa putus asa. Perancangan yang baik selalu gagal apabila tidak diseimbangkan dengan usaha setimpal.

Bagi menghasilkan karya yang baik, kita perlukan masa dan alat (time and tool). Karya yang ditulis tergesa-gesa (tanpa perancangan konten) dan tanpa alat (ilmu) yang betul. Bagaimana mahu mencukupkan dua-dua perkara ini? Sediakan jadual menulis dan belajar teknik penulisan daripada jurulatih penulisan.
   
4. Tidak sabar.
Ada masanya, kita tidak sanggup mahu menunggu. Selepas berusaha, kita selalu mahu hasil yang cepat. Rezeki itu hak Tuhan. Ia didatangkan kepada kita sesuai dengan keperluan, dan bukan kehendak manusia.
Ramai penulis berputus asa dan menyimpulkan dia bukan penulis berbakat apabila tidak berjaya menembusi rumah penerbit atau majalah. Tidak kurang, ada penulis yang memaksa editor menyemak karya mereka sebaik sahaja diemelkan kerana tidak sabar melihat karya diterbitkan. Kawal rasa teruja ini dengan bersabar. Sebabnya, setiap hari para editor menerima puluhan bahkan mungkin ratusan emel penulis yang menghantar karya. Beri masa kepada editor, sekurang-kurangnya dua minggu. Selepas itu, kirimlah emel dan bertanya dengan sopan mengenai karya kita.

Yang baik itu daripada Allah. Mana-mana yang kurang, ia kesilapan saya.

Jom selfie. Jom muhasabah diri.

‪#‎muhasabahdiri‬ #tippenulisancerpen