Monday, December 28, 2015

Ada Apa dengan 2015?

Salam akhir....
Ada apa dengan 2015?
1. Aku Terima Cintanya (PTS)
2. Hadiah Buat Ibu (buku bergambar kanak-kanak) (Buku Prima)
3. Antologi Biru Langit Itu (Yadim)
4. Empat artikel di laman tazkirah.net
5. Memulakan perkongsian di grup Cerpen101
6. Pakej Ebook Teknik Menulis Cerpen: Langkah Demi Langkah Menulis Cerpen Sehingga Diterbitkan (tuliscerpen101.com)
7. Cerpen Pangkat (Mingguan Wanita, Bil 1674)
8. Empat artikel mengenai penulisan cerpen di sekolahpenulisan.com
9. Ebook Romancinta (http://bit.ly/1mduApz)
10. Cerpen Kain (Usrati)
11. Cerpen Duit Lebih (Usrati)
12. Cerpen Bubur Kasih Sayang (Usrati)
13. Bengkel Penulisan Cerpen anjuran QFM School
14. Bengkel Asas Penulisan Cerpen bersama pelajar Sekolah Tahfiz al-Kitab
15. Bengkel penulisan cerpen di SMK Ungku Aziz, Sabak Bernam.
16. Belajar skil baru di Bengkel Asas Indesign anjuran Skuad Misi.

Alhamdulillah. Walaupun asyik terjatuh dalam banyak lubang, saya beruntung sebab boleh bangun lagi setiap kali.

2016, insya-Allah mahu lebih cemerlang.
1. Dua cerpen untuk antologi kelolaan Bonda Nor.
2. Projek Cerpen Jodoh Berdua
3. Antologi Cerpen Wanita & Rezeki
4. Ebook Set Penggalak Mujarab untuk Penulis
dan seterusnya....

Mahu melangkah lebih laju dan jauh. Asah skil menulis rencana lagi.
Salam terima kasih buat semua pihak yang terlibat dalam menerbitkan karya saya. Kepada ahli keluarga dan rakan-rakan yang gigih menjual dan mempromosi karya saya, moga Allah bersama dalam setiap langkah kalian.
Kepada semua pembaca yang tidak berhenti menyokong, terima kasih banyak-banyak. Buat para pengkritik yang mengikut setiap langkah saya, terima kasih sebab mengkritik dengan membina.
Paling istimewa, kepada semua guru yang selalu menjawab pertanyaan-pertanyaan bodoh saya tanpa rasa jemu, moga Allah mudahkan urusan kalian.
Minta maaf untuk segala kekurangan, kekasaran, dan sikap-sikap remah saya yang menyusahkan urusan kalian.

Amin, amin, amin.

Nota: Minta maaf kalau buat ucapan ala-ala pemenang anugerah. Juga buat ucapan terlebih awal. Mahu masuk gua sehingga awal 2016.


Monday, November 30, 2015

Teknik Menulis Cerpen: Langkah Demi Langkah Menulis Cerpen dengan Cepat & Fokus Sehingga Diterbitkan

Bismillah.

Berazam MENYIAPKAN CERPEN tetapi asyik tersangkut setiap kali?

Dapatkan kaedah dan penyelesaiannya dengan ebook Teknik Menulis Cerpen: Langkah Demi Langkah Sehingga Diterbitkan.

----------

SIAPA yang sesuai dapatkan ebook ini?

1. Anda yang baru mahu berkecimpung dalam dunia penulisan cerpen khasnya.

2. Anda yang mahukan cabang baru dalam penulisan. Dahulu suka tulis novel dan sekarang mahu berjinak tulis cerpen pula.

3. Anda yang belum ada hala tuju mahu ambil cabang penulisan cerpen ke, novel ke, artikel ke…(baca buku ini dan anda pasti jatuh cinta untuk menghasilkan banyak cerpen!)

4. Anda yang belum ada asas dalam dunia penulisan cerpen.

5. Anda yang berbakat menulis tetapi tidak mahu buat sebarang projek penulisan, sebab renyah, tiada idea, penat dan tak dapat apa-apa imbuhan daripada tulisan anda.




ADA APA DALAM EBOOK INI?

--> 11 kemahiran sebagai penulis cerpen, merangkumi skil asas show don't tell

--> 4 Kategori penulis.

--> 5 Ciri-ciri cerpen (mesti ada!)

--> Cara memilih POV

--> 4 fasa membina idea

--> 5 langkah mengolah pengalaman menjadi cerpen

--> 5 Kaedah Menulis Intro Cerpen yang mencangkuk hati pembaca

--> Asas teknik Show Don’t Tell

--> 8 format piawai bagi menulis cerpen untuk majalah

--> Checklist - semak cerpen sendiri sebelum ia dihantar kepada editor


BELUM CUKUP?

Baik, dengan setiap belian akan ada BONUS berikut:

-->  13 kaedah mengekalkan momentum sebagai penulis

--> 8 kesilapan biasa penulis baru

--> Behind scene, proses berurusan dengan editor.


-----

Dan kesemua yang disenaraikan ini boleh dimiliki dengan pelaburan RM30.00 sahaja (sebelum dinaikkan ke RM50.00), selagi tawaran masih terbuka!

-----

Tempah segera di...

TulisCerpen101.com
TulisCerpen101.com
TulisCerpen101.com

... dan mulakan pencapaian anda sebagai penulis bergaya kerana sudah mengambil langkah sebagai penulis cerpen yang karyanya siap!

Thursday, November 19, 2015

Tip 9 : Kuantiti Yang Berkualiti

#TipCerpen101

Sebenarnya dalam menulis, mahu fokus kepada kuantiti atau kualiti?

Seringkali, kita tanya soalan ini kepada diri sendiri.
Mahu tulis karya berkualiti atau fokus kepada kuantiti dengan tulis banyak-banyak cerpen sampai siap?

Kita berbalik kepada kata-kata Puan Nisah Haron,

"Sebuah cerpen yang tidak bagus, tetapi siap adalah jauh lebih baik daripada sebuah cerpen yang konon-kononnya bagus, tetapi tidak siap-siap!"

Betul.
Apabila kita terlalu fokus kepada kualiti, kita akan terlalu sibuk mencari perkataan atau ayat yang bunyinya sedap sehingga terlupa tujuan utama menulis sebuah cerpen; menyampaikan sebuah cerita berkonflik yang mendokong sebuah tema.

Sebab apabila terlalu memikirkan bunyi ayat supaya sedap dibaca, kita hilang fokus daripada cerita yang hendak ditulis.

Jadi, kita utamakan kuantiti karya yang siap ditulis.
Selepas sampai noktah terakhir, baru kita baiki ayat dan olah supaya mencapai objektif seterusnya, iaitu menulis ayat yang sedap dibaca.

Sebab, kita boleh berbuat sesuatu dengan karya yang siap.

Dengan menulis karya yang banyak, skill kita juga akan bertambah baik dengan sendirinya selagi kita tidak berhenti membaca bahan bacaan yang bagus.

Karya yang tidak siap, ia hanya akan disimpan dalam fail dokumen kita, diperam sampai kita terlupa pernah menulisnya.

Baik, sampai sini sahaja dulu.
Selamat menulis!

Wednesday, November 18, 2015

Tip10 : 7 Masalah Draf Pertama & Cara Membaikinya

Baru-baru ini, saya menerima emel daripada agen literari. Editor meminta manuskrip kami dibaiki. Pedih, memang pedih tetapi peluang mendapat komen daripada editor adalah sesuatu yang amat baik. Ambil positif, dan lihat semula komen editor, ayat demi ayat.

Alhamdulillah, dua rakan penulis bersama saya juga adalah penulis berjiwa besar dan terbuka apabila ditegur.
Maka, kami berkumpul dan membincangkan cara menambahbaik manuskrip yang sudah siap ditulis supaya menepati kehendak penerbit dan disukai editor.

Menurut Anthony Ehlers (writerswrite.co.za), ada 7 masalah utama dalam draf pertama.



Apa masalah utama dalam draf pertama kita?
Bagaimana mahu membaikinya?

[1] Cerita bermula terlalu perlahan
Masalah ini berlaku apabila penulis sibuk mahu memberikan deskripsi panjang lebar mengenai suasana atau watak sehingga menenggelamkan bahagian cerita yang menyampaikan matlamat atau masalah watak utama yang mahu diselesaikan dalam cerita.

Baiki : Tulis di ruangan lain ciri-ciri watak utama kita. Tulis sebanyak mungkin, sehinggalah kita rasa kenal dengan watak itu tanpa perlu mengisahkan panjang lebar dalam naratif. Kemudian, cari satu poin yang mengubah sikap watak kita dan penting untuk dituliskan dalam cerpen.


[2] Hero / heroin terlalu baik
Ada masanya, kita mencipta watak yang terlalu sempurna sehingga tiada cacat walaupun sedikit. Itu tidak normal dan ia menimbulkan rasa bosan. Seperti diri kita sendiri, setiap manusia ada kekurangan. Begitu juga watak kita.

Baiki : Masukkan kekurangan watak yang disebabkan oleh sikap, seperti
(1) Selalu tidur semula selepas solat Subuh dan bangun lewat
(2) Selalu main game sehingga lewat
(3) Kerap solat akhir waktul
(4) Mudah mengamuk apabila lapar


[3] Plot cerita terhenti di tengah-tengah
Ini masalah yang biasa berlaku semasa menyiapkan draf pertama. Ia sering mengganggu sehingga akhirnya penulis memilih meletak pen atau berhenti menulis cerita. Masalah serupa kemudiannya berlaku dengan cerita lain yang ditulis selepas itu dan beterusan....

Baiki : Sediakan rangka karya, dengan jalan cerita yang jelas. Fokus pada konflik dan perkembangan watak di sepanjang cerita.


[4] Mengedit semasa menulis
Situasi ini, tidak dapat tidak, ia adalah masalah kebanyakan penulis. Tanpa disedari, sikap ini membuat kita terlupa fokus jalan cerita asal dan akhirnya draf cerita tergantung atau siap tetapi hilang fokus.

Baiki : Sediakan masa untuk mengedit. Bina disiplin sendiri dengan berjanji hanya akan membetulkan ejaan dan bahasa selepas menulis selama satu jam. Masa mengedit pun, kita terhadkan selama 10 atau 15 minit sahaja.


[5] Tiada dialog / Terlalu banyak dialog
Ada masanya, kita menulis terlalu banyak naratif sehingga terlupa memasukkan dialog. Ataupun, dialog yang ditulis tidak membantu perkembangan cerita.

Baiki : Berlatih memasukkan dialog dalam karya, sekurang-kurangnya dalam pecahan 70% naratif - 30% dialog. Dialog yang ditulis juga, kaitkan dengan sikap dan emosi watak.


[6] Cerita tidak hidup / tidak sampai
Jalan cerita sukar difahami atau membosankan pembaca apabila ia terlalu penuh dengan ayat memberitahu.

Baiki : Kaitkan cerita dengan lima deria manusia sebanyak mungkin (rasa, sentuh, bau, dengar dan lihat). Pembaca suka, apabila mereka boleh membayangkan cerita yang ditulis.


[7] Kita sudah bosan dengan cerita sendiri
Bagaimana hendak tahu sama ada kita bosan atau tidak dengan cerita sendiri? Ia berlaku apabila kita rasa, plot cerita hambar atau sudah boleh diagak. Kita tidak teruja dengan cerita sendiri.

Baiki : Cari permulaan bahagian cerita yang hambar dan tambah twist. Bahagian cerita yang kita suka, kembangkan lagi dengan konflik dan selesaikan.


Saya datangkan dua contoh di sini :
Contoh :
(1) Sejak usianya mencecah 11 tahun, Akmal sudah tidak kenal rasa takut. Ketika semua budak lelaki sebayanya sedang berlari-lari di padang sekolah atau bergurau di dalam kelas, dia sudah terpaksa berhadapan dengan realiti kehidupan yang kejam. Sewaktu anak-anak lain berlumba-lumba mendapatkan keputusan peperiksaan paling cemerlang sebagai hadiah kejayaan dan pencapaian hidup, dia sudah terpaksa berlari-lari di celah lorong sunyi di ibu kota. Ada masanya, kaki Akmal tersadung dan dia jatuh dengan luka yang tidak kecil. Ada waktunya, Akmal hanya bermalam di bawah langit, beralaskan kotak yang sudah koyak sana sini, menahan gigil sendiri. Ada masanya, dia memeluk kedua lutut, mengharapkan ada yang singgah mengirim makanan walaupun ia sudah hampir basi.

(2) Hari itu, langit gelap pekat. Seperti hati yang menyimpan marah sebagai titik-titik hitam yang akhirnya berkumpul dan menghitamkan, yang akan dilepaskan bila-bila masa sahaja. Guruh berdentum kuat dan sesekali, pancaran kilat melintas di langit. Tidak cukup dengan itu, angin bertiup kencang sehingga hampir-hampir menerbangkan atap genting di sebuah rumah setinggan di pinggir kota.
Namun, di sebalik semua itu seorang budak lelaki sedang berdiri tegak di tengah-tengah halaman sebuah rumah agam. Tanpa mempedulikan tiupan angin, dia memandang ke pintu rumah besar itu tanpa mengedipkan mata.

Apa yang kita rasa daripada kedua-dua contoh ini?

Nota :
Draf pertama, tidak dapat tidak adalah karya yang akan kita edit berkali-kali. Penulis Ain Maisarah mengedit manuskrip sebanyak lima kali sebelum menghantarnya kepada editor.

Thursday, November 5, 2015

4 Penipuan Yang Penulis Percaya

Malam tadi saya terima emel daripada thewritepractice.com.

Ia dikelolakan oleh Joe Bunting, seorang penulis yang gigih mengajak dan mengajar orang lain cara menjadi penulis yang lebih baik setiap hari.

Katanya, ada empat pembohongan yang selalu dipercayai oleh penulis.

1. "Saya akan menulis sebuah buku, tidak lama lagi."
Tidak sedikit yang berkata begini.
Setiap hari, penulis akan bangun dan memberitahu ayat ini kepada diri sendiri.

Tetapi, tidak ramai yang mengambil pen dan kertas atau membuka laptop dan mula menulis.

Ramai juga, yang apabila terkandas pada satu halaman, mereka kecewa dan terus berhenti.

Nota : Dalam kes tersangkut begini, KJ Method boleh membantu.


2. "Tak boleh buat duit dengan menulis."
Ramai penulis yang hidup dengan royalti dan mereka masih gigih mengepam modal untuk kelangsungan pendapatan sebagai penulis.

Apa modal penulis?
Idea dan karya.
Tanpa karya, tiada buku.
Tanpa buku, tiada pendapatan.

Menulis secara eceran juga, boleh menjadi sumber pendapatan selagimana penulis menghasilkan karya dengan konsisten.


3. "Menulis itu perkara yang susah."
Kita pernah kata, "Operasi darab itu susah."
Bahkan, kita juga pernah kata, "Huruf a itu susah ditulis."

Tetapi, waktu itu kita tak peduli dan terus berlatih. Daripada bentuk yang tidak ketahuan rupanya dan kita tafsirkan ia sebagai huruf a, sehinggalah ia ditulis cantik-cantik atas garisan dalam buku latihan.

Begitulah menulis, ia susah apabila hanya asyik difikirkan.
Terjun dan buat.
Abaikan cakap-cakap bernada tidak yakin yang datang.


4. "Saya boleh lakukan sendiri."
Ramai yang kata, "Saya boleh siapkan manuskrip ini dalam masa sebulan."
Hakikatnya, ia tidak bergerak-gerak dari halaman pertama sehinggalah hari ke-30 tiba.

Bagaimana mahu atasi hal ini?
Dapatkan kumpulan sokongan.
Jika ada rakan yang boleh menjadi 'editor palsu' dan mengejar manuskrip kita setiap hari, minta bantuan mereka.

Cabar diri dan jalan terus.

Nota : Ada manuskrip yang belum siap? Tambahkan halamannya, hari ini.

Wednesday, September 23, 2015

Enam Langkah Memelihara Nyalarasa Sebagai Penulis

Ada ketika, kita sangat bersemangat dan seronok kerana memilih mahu menjadi penulis. Tetapi, ada masanya kita hilang semangat dan berasa langsung tidak bermotivasi. Jadi, bagaimana hendak memastikan nyalarasa sebagai penulis ini tidak mati?
Ada enam kaedah mendapatkannya, seperti yang dikongsikan oleh Barrie Davenport, seorang jurulatih kerjaya.

1. Kenal diri sendiri. Sebelum ‘suara’ kita didengar oleh orang lain, kita dengar ‘suara’ sendiri dahulu. Seorang penulis mesti tahu apa yang membuatkan dirinya terusik, gembira, sedih, termotivasi, rasa bertenaga dan paling utama, dia tahu pegangan yang dia pilih dalam hidup.

2. Kenalpasti kualiti diri. Apa kekuatan penulis?
Apa skil yang dikuasai penulis, yang membuatkan hasil tulisannya lebih mudah ditulis dan ‘sampai’ kepada pembaca?

Ada penulis yang mudah terganggu apabila perlu menulis cerita pengalaman dengan sudut pandang pertama, tetapi ada penulis lain boleh menulis dengan laju apabila menggunakan teknik yang sama.
Kenalpasti kekuatan ini.

3. Cipta matlamat. Sesudah kenal diri dan mengenalpasti kekuatan diri, sediakan matlamat
realistik yang boleh dicapai.
Matlamat yang biasa diletakkan adalah duit dan perjuangan. Ia tidak salah. Sebab dengan tujuan, kita akan lebih nampak laluan yang mahu dipilih.

Sebagai Mukmin, kita tambahkan satu perkara lagi dalam matlamat ini dengan manfaatkan pesanan Tuhan dalam surah adz-Dzariyat ayat 56, “Tidaklah Aku mencipta jin dan manusia kecuali untuk beribadah kepada-Ku.”

Ya, jadikan penulisan itu ibadah dengan menulis dan berkongsi hal-hal baik yang menjuruskan kita ke jalan menuju Tuhan.

4. Alihkan halangan. Isu dalaman seperti rasa tidak percaya diri, ragu-ragu dan lain-lain yang berkaitan akan timbul dan mengganggu rentak. Kenalpasti semua halangan kecil ini dan atasi satu per satu. Seperti yang disebutkan sebelum ini, menulis cerpen adalah fasa mencari genre dan keselesaan penulis, yang juga menjadi platform membina keyakinan diri.

5. Reset minda. Beri kebebasan kepada diri kita. Berhenti berkata kepada diri, “Saya mesti buat ini.” Sebab ada waktunya, perkataan mesti dan wajib buat itu memberi banyak tekanan luar sedar kepada diri.

Kita mencari motivasi dan semangat. Bagi meringankan tekanan tadi, kita ubah perkatan mesti itu kepada “Saya pilih mahu melakukan ini.”

Mengapa? Supaya kita tidak rasa terbeban dengan apa jua yang kita lakukan. Hidup ini pilihan. Setiap apa yang kita buat, tertakluk kepada pilihan sendiri.

6. Sediakan perancangan. Sudah buat pilihan yang perlu? Akhir sekali, siapkan rancangan yang mendekatkan kita dengan kejayaan.

Sebagai contoh, letak sasaran satu cerpen SIAP dalam masa dua minggu dan capai.
Saya berpegang kepada sasaran yang diletakkan oleh guru saya, “Tulis 30 cerpen yang diterbitkan sebelum kamu mula menulis novel.”

Pada ketika status ini ditulis, saya sudah mencapai sasaran 16 cerpen. Sembilan cerpen lagi dalam proses diterbitkan dan tujuh cerpen seterusnya dalam proses ditulis. Insya-Allah, sasaran 30 cerpen ini akan tercapai menjelang awal 2016.


Alhamdulillah, saya menjumpai niche penulisan saya iaitu menulis untuk Projek Cerpen dengan berpegang kepada sasaran ini. 

Tuesday, September 22, 2015

Tiada Idea, Datangkan Banyak Why

#NotaIdea

Saya tiada idea. Apa yang perlu saya buat?

Sebenarnya, tahukah kita apa yang dinamakan sebagai idea?

Kata James Webb Young, "Idea itu tidak lain dan tidak bukan hanyalah kombinasi beberapa elemen lama."

Jadi, mengapa saya tiada idea?
Sebab kita asyik fikir penyelesaian masalah yang dihadapi hanya ada satu sedangkan ada sangat banyak (ratus, malah ribuan) penyelesaian yang boleh dipilih, apabila kita menolak elemen serius dan logik ke tepi.

Sewaktu mencari idea, berfikirlah seperti kanak-kanak.
Datangkan banyak WHY dalam kepala.

Selepas itu, baru kita matangkan idea yang sudah datang, dengan kemahiran yang ada.

Dalam penulisan cerpen, penyelesaian ini adalah pilihan tindakan peleraian yang boleh diambil oleh watak utama bagi menyelesaikan masalah.

Nota : Ada kanak-kanak dalam diri setiap daripada kita. Jangan bunuh dia dengan pemikiran bosan orang dewasa.

Monday, September 14, 2015

Tip 08 : Seperti laptop, pen dan kertas adalah alat untuk menulis



#TipCerpen101

Hari ini, tip saya masih dengan isu masa.

Tip : Seperti laptop, pen dan kertas adalah alat untuk menulis.

Tidak semestinya perlu menulis di depan laptop. Cukup dengan install aplikasi Evernote atau menggunakan ruang memo di telefon, halaman manuskrip boleh bertambah. Kadang-kadang, ia bukan soal suasana persekitaran, tetapi mental. Sebabnya, persekitaran selesa boleh diwujudkan dalam fikiran. Cukup 15 minit sehari, hantar catatan ini ke emel sendiri.

Alhamdulillah, dengan izin Allah saya menyudahkan manuskrip Lelaki Berbaju Biru selama tiga bulan, dengan menulis setiap hari di dalam beberapa buah buku nota dalam Komuter, dalam perjalanan pergi dan balik ke UKM. Kemudian, sebelum tidur setiap hari atau sekurang-kurangnya berselang dua hari saya pindahkan catatan itu ke laptop.

Tuan / Puan boleh lakukan begini juga. Pada hujung minggu atau suatu waktu tertentu setiap minggu, masukkan semua catatan dari nota harian itu ke dalam laman manuskrip. Boleh juga tulis dahulu dalam buku nota atau kertas kajang. Tuan Rafi Harumin, penulis kumpulan cerpen Barisan Hadapan (terbitan ITBM) berbuat begini. Beliau menulis pada waktu senggang di tempat kerja, dan menaip tulisannya kembali pada hari cuti atau waktu rehat di rumah. (Saya kepilkan gambar contoh karyanya, dengan izin)



Sebagai orang Islam, kita ada kelebihan yang sangat berhasil apabila dimanfaatkan. Ya, kita ada Pemilik Masa dan Takdir yang tidak pernah berhenti mencintai dan memberi kepada kita. Jadi, kita minta Dia rezekikan ilham, kelapangan masa dan kesihatan untuk menulis. Salah satu cara yang boleh diaplikasi, utamakan Dia dalam urusan harian kita. Dalam senarai pekerjaan yang mahu dilakukan selepas anak tidur, letakkan solat, berzikir dan mengaji sebagai aktiviti utama, sebelum perkara lain. Insya-Allah, ada jalan akan terbuka.

Ambil sedikit masa daripada kerja harian untuk aktiviti penulisan kita. Tetapi, jika perkara ini tidak dapat dilakukan, tanya semula soalan ini kepada diri, “Mengapa aku mahu menulis?”

Baik, itu sahaja dulu.
Sampai jumpa lagi.

Selamat menulis!
posted from Bloggeroid

Wednesday, September 9, 2015

Tip 07 : Teks visual - Baca dan terus berlatih

#TipCerpen101

Baca dan baca lagi.

Pagi tadi saya dapat soalan, "Macam mana MakMah kumpul teks visual?"

Sebenarnya, tak sempat kumpul pun. Apatah lagi nak simpan senarai dalam komputer. Haha

Tip : Baca dan terus berlatih.

Antara perkara yang saya buat, membaca dan terus membaca sebagai input.
"We are what we read."

Apa yang dibaca, biasanya itulah yang akan dikeluarkan.

Pasal teks visual, ia berkait dengan latihan.
Selepas diajarkan guru, saya sentiasa alert dengan perkongsian-perkongsian di web seperti writers.co.za atau writersdigest khususnya yang berkaitan teks visual dan show dont tell. Yang ini, saya snapshot dan simpan dalam galeri gambar.

Apabila buntu mencari teks visual, ia antara rujukan yang membantu.

Dari situ, saya berlatih. Terjemahkan ia ke Bahasa Melayu.

Lagi, saya pastikan perkataan yang memberitahu emosi (risau, gembira, marah, dll) dalam manuskrip diolah terlebih dahulu dalam bentuk ayat visual sebelum dihantar kepada editor. Kalaupun ada dalam buku, itu kategori terlepas pandang. Haha

Baik, itu sahaja dahulu.
Jumpa lagi pada lain masa.

Selamat menulis!

Nota : Senarai bahan bacaan terbaru. Abaikan background lelaki kacak itu. Memang disengajakan.


posted from Bloggeroid

Monday, September 7, 2015

Tip06 : Ambil masa



#TipCerpen101

Soalan: Saya mahu menulis, tetapi selalu ada masalah kekangan masa. Bagaimana mahu atasi?

Cerita pasal masa, setiap kita diberi 24 jam untuk diisi pada setiap hari. Pastinya, setiap hari jadual kita sudah penuh dengan macam-macam agenda dan urusan yang menuntut komitmen paling tinggi.

Tip : Kadang-kadang, ia bukan soal menyediakan masa tetapi mengambil masa.

Ia kata-kata Martin J. Smith. Ya, ambil sedikit masa daripada urusan lain bagi diisi dengan aktiviti menulis. Setiap hari, Martin memulakan hari untuk menulis seawal empat pagi, sebelum mengejut dan menyediakan anak-anak untuk sekolah pada jam enam. Penulis Abdul Latip Talib juga mula mengadap laptop sebelum Subuh.

Bahkan, saya ada membaca perkongsian seorang isteri penulis dan motivator hebat, mengenai tabiat suaminya yang memulakan kerja seawal tiga atau empat pagi.

Sabda Rasulullah s.a.w., “Ya Allah, berkatilah umatku yang berpagi-pagi.”

Jika kita tidak mampu bangun awal pagi, cari masa lain. Sekurang-kurangnya 15 minit sehari; dalam kereta sewaktu jalan sesak, sewaktu menunggu bas, semasa menunggu anak keluar dari pagar sekolah, selepas menidurkan anak-anak, sela waktu antara kuliah, dll.

Baik, itu sahaja dulu.
Sampai jumpa lagi.

Selamat menulis!
posted from Bloggeroid

Tuesday, September 1, 2015

Tip05 : Dapatkan mata kedua dan ketiga

TipCerpen101

Perkongsian hari ini, masih mengenai topik menulis jalan cerita yang sampai.

Tip 5: Dapatkan ‘mata’ kedua dan ketiga.

- Ada masanya, kita sendiri yang rasa cerpen yang sudah siap tidak menarik. Boleh jadi, ia berlaku atas faktor rendah diri dan tidak yakin.

- Sebagai cara penyelesaian pantas, dapatkan rakan yang boleh memberi pandangan jujur dan bukan sekadar mengambil hati kita. Minta masa mereka untuk baca karya kita dan beri komen.

- Jika mereka faham, bermakna kita sudah menulis dengan baik.

- Pastikan mata kedua dan ketiga ini boleh dipercayai.

Baik, itu sahaja dulu.
Sampai jumpa lagi.

Selamat menulis!


posted from Bloggeroid

Sunday, August 30, 2015

Tip04 : Sediakan rangka cerita

#TipCerpen101

Soalan: Bagaimana mahu menyusun cerita yang mahu ditulis supaya ia dapat disampaikan dengan baik?

Tip : Sediakan rangka cerita dengan bertanya soalan yang betul.

1. Sediakan rangka cerita.
- Rangka cerita membantu penulis supaya tidak tersasar daripada plot / sinopsis asal.
- Tanya soalan-soalan ini semasa membina rangka cerita:
a. Siapa watak utama?
b. Bagaimana sifat dan perwatakan watak utama?
c. Siapa watak antagonis / hitam?
d. Apa yang berlaku kepada watak utama sehingga dia mahu berubah?
e. Bila watak utama berubah?
f. Mengapa watak utama berubah?

- Melalui rangka cerita, penulis akan lebih nampak flow cerita yang mahu ditulis. Menggunakan rangka yang sama, penulis boleh bermain-main dengan susunan idea (plot, karakter, konflik, klimaks, tema) sebelum mula menulis.

Baik, itu sahaja dulu.
Sampai jumpa lagi.
Selamat menulis!

Nota: Ada pertanyaan mengenai penulisan cerpen? Ajukan di ruang komen atau emel ke tuliscerpen[at]gmail[dot]com
posted from Bloggeroid

Thursday, July 30, 2015

Tip 03 : Bertanya soalan yang betul

#TipCerpen101

Soalan:
1. Saya mahu menulis cerpen tetapi bagaimana caranya?
2. Apabila menulis, tiba-tiba topiknya bercampur-aduk.Adakah ia normal? Ia juga tak menarik.
3. Apa yang perlu saya lakukan?

Jawapan:
1. Bagi soalan begini, saya akan bertanya semula satu soalan. Adakah tuan biasa dengan cerpen (baca)? Ia penting, supaya kita biasa dengan format dan stail penulisan cerpen.

2. Faktor topik bercampur-campur itu adalah normal bagi mana-mana penulis yang baru menulis. Kita ada terlalu banyak perkara yang mahu dikongsi dan ia perlu kepada kawalan.

3. Cambahkan idea dan fokuskan ia kepada satu tema. Maksudnya, kembangkan idea yang ada dengan bertanya soalan-soalan yang betul.

Contohnya:
a. Apa tema cerita saya?
b. Siapa watak utama saya?
c. Bagaimana sikap watak utama saya?
d. Apa masalah watak utama saya?
e. Masalah watak ini berlaku di mana?
f. Apa yang berlaku kepada watak utama saya sehingga dia mahu berbuat sesuatu dengan masalahnya?
h. Apa yang saya akan lakukan jika masalah yang sama menimpa saya?

Selesai tuan sediakan jawapan kepada semua soalan ini, tuan sudah ada maklumat yang cukup untuk menulis sebuah cerpen. Lain-lain, teruskan praktis cara mengolah.

Abaikan dahulu hal tulisan tidak sedap dibaca itu. Capaikan fokus yang kita mahu iaitu menulis sampai siap.

Ada pertanyaan lain?
Ajukan di ruang komen atau emel ke tuliscerpen101[at]gmail[dot]com.

Monday, July 27, 2015

#Tip 2 : Perkenalkan watak dan konflik seawal perenggan pertama / pendahuluan

Soalan:
Bagaimana mahu menulis permulaan cerita dan juga mengawal watak supaya tidak terlalu banyak.
* * *
Saya juga mengalami masalah yang sama dan saya bereksperimen dengan pelbagai cara.
Jadi, bagaimana mahu memulakan cerita?

Kita suka dan senang dengan stail yang bagaimana?

Soalan ini, jawapannya berbalik kepada penulis sendiri. Jika menonton telemovie atau filem, intro bagaimana yang kita suka?

Contohnya, kita suka menonton drama Paie (yang mengangkat nama Shaheizy Sam) yang bermula dengan babak seorang remaja mendayung sampan untuk ke sekolah sebelum babak beralih ke bilik darjah yang menunjukkan seorang guru prihatin. Jika kita suka cara ini, mulakan cerpen dengan cara yang sama.

Ini stail deskripsi suasana; banyak yang kita boleh bayangkan apabila melihat seorang remaja yang mendayung sampan untuk ke sekolah.
- Dia orang susah
- Pakaiannya bersih, dia pandai menjaga diri
- Dia tidak putus asa dengan kesusahannya, tetap mahu ke sekolah dan belajar.
- dll

Memperkenalkan konflik

Ada beberapa cara boleh digunakan untuk memulakan konflik, seperti yang diajarkan guru saya, Tuan Bahruddin Bekri:
1. Falsafah
2. Pepatah
3. Dialog
4. Deskripsi suasana / watak
5. Quote

Terus bereksperimen. Apa yang penting, perkenalkan konflik watak seawal perenggan pertama. Paling lewat, konflik sudah disampaikan pada halaman pertama. Sebab cerpen ada had halaman, maka kita jimatkan jumlah perkataan dan halaman dengan memberitahu konflik di awal cerita.


Ini contoh cerpen yang saya tulis menggunakan pepatah sebagai intro untuk sebuah projek dengan Galeri Ilmu (insya-Allah, doakan lancar sehingga diterbitkan). 
Nota: Ada pengulangan kata 'kehidupan' dalam perenggan pertama. Elakkan, ya? Ia tidak sedap dibaca.

Apabila kita sudah jumpa teknik yang sesuai (apabila digunakan, kita boleh menulis dengan laju), teruskan guna teknik yang sama sehingga mahir. Tidak mustahil, ia akan jadi trademark penulis.

Mengawal watak

- Salah satu ciri cerpen ialah mempunyai bilangan watak terhad. Dalam menulis cerpen, disarankan paling ramai, tiga watak sahaja.
- Sebab watak boleh menggerakkan cerita. Apabila watak bertambah, cerita akan berkembang dan ia memberi kesan kepada had halaman. Lagi, ia juga mengganggu fokus jalan cerita.
- Jika mahu tambah watak, beritahu diri bahawa ia bukan watak utama. Tanya diri, sama ada watak ini membantu jalan cerita sedia ada atau mencapahkan fokusnya. Jika fokus cerita akan tercapah, simpan watak ini untuk cerpen lain.

Baik, itu sahaja dulu.
Sampai jumpa lagi.
Selamat menulis!

Friday, July 10, 2015

#Tip 01 : Cambahkan idea supaya ia mencapai fasa matang dan boleh dicerpenkan

Untuk segmen ini, insya-Allah saya akan menjawab soalan dan masalah mengenai penulisan cerpen.

Soalan: Saya mempunyai idea dan kadang-kadang banyak tetapi sukar untuk mula mencerpen. Idea itu sukar untuk dikeluarkan. Juga sukar untuk hasilkan ayat yang cantik.

Baik, mari kita lihat masalah ini satu per satu.

Idea banyak :

- Keluarkan idea dari kepala dan tuliskan supaya lebih jelas. Boleh jadi, idea ini baru berada di peringkat bayi iaitu baru peringkat asas dalam fasa penjanaan idea.
- Cambahkan idea, supaya mencapai fasa matang. Dalam penulisan cerpen, idea sudah masuk fasa matang apabila ia sudah mempunyai lima perkara; tema + plot + watak + masa + lokasi.
- Apabila sudah ada lima perkara ini, bermakna kita sudah fokus kepada satu cerita sahaja. Dari sini, proses menulis akan lebih lancar kerana penulis sudah jelas dengan perkara yang mahu dituliskan.


Ayat yang cantik :

- Soal menulis ayat yang cantik, ia perlu kepada latihan. Semasa menulis, elakkan mahu fokus kepada ayat yang sedap dibaca sebab ia boleh diubah semasa proses edit.
- Semasa menulis, tulis sahaja walaupun ada typo. Apabila kita berhenti menekan papan kekunci untuk mengedit, kita akan menghalang aliran idea yang sebelumnya laju.

Nota: Tuan ada pertanyaan mengenai cerpen? Tuliskan di ruang komen atau emel ke tuliscerpen101[at]gmail[dot]com dengan Soalan Cerpen101 sebagai tajuk emel.
Baik, itu sahaja dulu.
Sampai jumpa lagi.
Selamat menulis!

Monday, June 15, 2015

Writer's Block? Ia gejala sementara



Apabila kerja banyak, ada rasa nak melarikan muncul dalam kepala. Mulalah macam-macam lintasan negatif datang. Hati mahu bercuti, mood laju sahaja berlari seperti sudah nampak laut depan mata.

Waktu ini, kita paling rindu satu perkara; ketenangan.

Tetapi, bagaimana mahu bertenang jika ada banyak tugasan belum selesai?
Solusinya, duduk sekejap dan senaraikan semua kerja. Susun ikut prioriti; utama, segera, dan atur baik-baik ikut tarikh akhir.

Masa inilah kalendar berwarna-warni yang berseri itu boleh dimanfaatkan. Gunakan planner percuma yang kita dapat masa pembekal alat pejabat dan radas makmal bagi hujung tahun lepas.

Dalam fasa penjanaan idea menurut teori James Webb Young, fasa 'hectic' atau idea sesak ini adalah waktu pemeraman. Ketika ini, kita cenderung mahu melupakan segalanya mengenai perkara yang sedang difikirkan, dibaca atau dikaji.

Mari lihat semula, 5 fasa penjanaan idea menurut James Webb Young:
1. Pengumpulan bahan mentah.
- Kita baca, lihat, kaji dan jalani perkara yang melibatkan idea. Singkatnya, kita jalani hidup macam selalu.
- Sampai satu masa kita putuskan, "Aku mahu tulis pasal ini," atau, "Aku mahu buat benda ini."

2. Proses penghadaman.
- Masa ini, kita akan struggle memahami sebanyak mungkin maklumat yang diperoleh.
-Kita baca dan kaji macam-macam pasal perkara yang mahu difokuskan.
- Tak cukup nota, video Youtube, buku rujukan semua kita baca.

3. Pemeraman.
- Macam eksperimen, ia akan capai satu tahap optimum.
- Masa ini, otak beri isyarat, 'it is enough' lalu bermulalah fasa kita melupakan semua hal berkaitan topik yang dikaji tadi.
- Kita anggap, situasi fed-up sedang berlaku dan kalau boleh, mahu muntah data.

4. Inspirasi.
- Tiba-tiba, idea yang dilupakan tadi muncul semula.
- Pada peringkat ini, kita gelar idea itu sebagai idea baru.
- Spark muncul dan hati kita berbunga-bunga bahagia. Kemudian, kita petik jari dan kata, "That's it!"

5. Pengesahan.
- Idea baru dikeluarkan dan dibawa ke alam realiti.
- Penyesuaian idea dimasukkan ke dalam masalah.

Masalah selesai? Jika belum, proses 1 hingga 5 akan berulang lagi. Masa untuk jalani hidup macam biasa bermula lagi.

Nota : Mr Lappy sedang mogok dan saya ada deadline untuk 3 kerja esok. Hahaha. Please, be nice to me bebeh.

Tuesday, May 26, 2015

Nota Idea : 26 Mei 2015

Bagaimana mahu mendapat idea?

Jawapannya, bermainlah.
Berseronok seperti kanak-kanak.

Sering, pesanan yang menghala ke arah yang sama diungkapkan penulis best-seller dan para senior penulisan.

Kata Randy Ingermanson (pakar fizik yang menemukan teknik menulis novel snowflakes), "Nikmati hidup. Ia adalah bahan paling menarik untuk dikisahkan dalam karya."



Jadi, bagaimana kita boleh berseronok tanpa mengeluarkan belanja besar?

Saya pernah melakukan perkara-perkara ini, sewaktu saya benar-benar buntu mengejar tarikh akhir menghantar karya.

1. Telefon ibu bapa.
2. Berpakaian cantik-cantik dan berjalan.
3. Pergi ke tempat ramai orang dan dengar perbualan mereka.
4. Bersedekah. Bantu sesiapa sahaja yang memerlukan dan berniat supaya Allah rezekikan ilham untuk berkarya.
5. Membaca komik atau buku bergambar. Letih lihat tulisan, kita reset minda dengan gambar atau ilustrasi.
6. Lihat pemandangan.
7. Berbual dengan rakan / keluarga.
8. Baca semula karya lama, yang paling berkualiti pernah dihasilkan.
9. Makan.
10. Dengar lagu.

Kata Roger von Oech, "Necessity may be the mother of invention, but play is certainly the father."

Nota Idea : 25 Mei 2015

Saya tiada idea. Apa yang perlu saya buat?

Sebenarnya, tahukah kita apa yang dinamakan sebagai idea?

Kata James Webb Young, "Idea itu tidak lain dan tidak bukan hanyalah kombinasi beberapa elemen lama."

Jadi, mengapa saya tiada idea?
Sebab kita asyik fikir penyelesaian masalah yang dihadapi hanya ada satu sedangkan ada sangat banyak (ratus, malah ribuan) penyelesaian yang boleh dipilih, apabila kita menolak elemen serius dan logik ke tepi.

Sewaktu mencari idea, berfikirlah seperti kanak-kanak.
Datangkan banyak WHY dalam kepala.

Selepas itu, baru kita matangkan idea yang sudah datang, dengan kemahiran yang ada.

Dalam penulisan cerpen, penyelesaian ini adalah pilihan tindakan peleraian yang boleh diambil oleh watak utama bagi menyelesaikan masalah.

Nota : Ada kanak-kanak dalam diri setiap daripada kita. Jangan bunuh dia dengan pemikiran bosan orang dewasa.

Sunday, May 24, 2015

Cerpen101 : Mengolah pengalaman menjadi cerpen

Ada yang bertanya, bagaimana mengolah pengalaman menjadi karya fiksyen (khususnya cerpen).

Baik, mengapa mahu olah pengalaman sebenar? Why do we picked real-life story?

Sebab, kita akan menulis dengan lebih baik apabila mahu berkongsi sesuatu. Setiap kita ada pengalaman yang boleh dikongsi, yang boleh memberi manfaat kepada orang lain.

Mengolah pengalaman hidup menjadi cerpen adalah salah satu cara berkongsi.

Kata John Updike, "Fiction is true story with a lie inside."

Siapa John Updike?
John Updike adalah penulis fiksyen Britain yang mempunyai lebih 15 buku cerita pendek, juga pemenang anugerah Pulitzer pada tahun 1982 dan 1990.
Karya tulisannya adalah berdasarkan pengalaman peribadi.

Jadi, bagaimana mahu mengolah pengalaman menjadi karya fiksyen?
1. Ambil satu kisah real life.
- Pilih satu sahaja.
- Elakkan beberapa cerita bercampur, sebab ia akan mengganggu fokus penulisan dan halatuju cerpen.

2. Masukkan unsur fiksyen (cerita) ke dalam cerita tadi.
- Lengkapkan rangka cerita kita dengan 5 elemen cerpen (tema, plot, watak, masa, tempat).

3. Tambah elemen sedih, seram, gembira, manis dan sebagainya supaya cerita menjadi lebih dramatik.
- Gunakan kreativiti sendiri, sesuaikan dengan jenis genre cerpen yang dipilih.

4. Cari titik/peristiwa yang boleh dijadikan klimaks cerita.
- Boleh digunakan peristiwa sebenar sebagai klimaks, supaya penceritaan lebih mudah sampai.
- Klimaks, ia titik yang menyebabkan kita memutuskan untuk bertindak.

5. Akhirkan dengan tindakan peleraian atau harapan watak utama.
- Harapan watak, boleh jadi ia harapan kita sendiri dalam menyelesaikan masalah yang sama.
- Tindakan, ia mungkin bukan penyelesaian masalah tetapi permulaan langkah menuju penyelesaian kepada masalah yang ditimbulkan dalam cerita.

Nota : Penulis boleh memilih mahu mengolahnya dalam bentuk POV1 atau POV3, mengikut keselesaan dan kemahiran masing-masing.

Ini sahaja perkongsian saya kali ini.
Yang baik itu daripada Allah.
Yang buruk itu asasnya kesilapan saya yang serba kurang.

Jom muhasabah diri. Jom selfie.

Top 5 Cara Membaiki Kualiti Penulisan Cerpen, Khusus buat Penulis Baru

1. Semak Karya
-Karya yang dihantar kepada editor mempunyai banyak kesilapan tanda baca dan ejaan.
- 'First impression' editor kepada penulis banyak bergantung kepada karya yang dihantar, juga bahasa di dalam emel.

2. Cantas perincian yang tidak perlu.
- Terlalu banyak maklumat tidak berkaitan dengan cerita akan membuatkan pembaca hilang minat.
- Penulis juga akan mudah keliru apabila banyak cerita di luar lingkup tema.

3. Beri perhatian kepada bahasa
- Tambahkan perkataan baru dalam tulisan kita sekurang-kurangnya satu, sebagai ilmu baru kepada pembaca.
- Kayakan penggunaan kata sifat dalam karya. (Contoh : Memukul, menghentak, menampar, menumbuk, melanyak)
- Maksimumkan penggunaan laman prpm.gov.my. Ia kamus online yang sangat perlu menjadi sahabat baik penulis.

4. Perbaiki skil menulis dialog.
- Kurangkan dialog yang fungsinya bercakap-cakap seperti :
"Awak apa khabar? Dah makan? Tadi buat apa?" KECUALI ia hanya bagi memulakan dialog berisi.
- Kalau ia perlu ditulis, elakkan ia meleret dan sekadar menambah halaman, tetapi tidak memberi apa-apa nilai tambah kepada pembaca.

5. Menggunakan POV yang konsisten.
- POV (point of view) penting dalam karya. Ia menentukan kata ganti diri yang akan digunakan dalam karya.
- Mencampurkan sudut pandang akan menyebabkan pembaca dan penulis keliru.

Thursday, March 12, 2015

5 Ciri-ciri Cerpen

Gambar: deviantart.com (seijin-stock)

Sejauh mana kita tahu pasal genre penulisan yang dipanggil cerpen? Tak kenal maka tak cinta. Jadi, mari kita berkenalan dengan cerpen.

Panjang cerpen atau short stories biasanya di sekitar 500 hingga 20 000 patah perkataan.


5 Ciri-ciri Cerpen

Tema + Plot + Watak + Masa + Lokasi = Cerpen

Mengapa saya gunakan elemen ‘tambah’ dalam formula ini?

Sebab, daripada lima ciri ini ada elemen yang boleh tiada dalam cerpen.

Mari kita lihat elemen ini satu per satu.

Tema

Tema adalah perkara asas yang dipegang oleh watak utama dalam cerpen. Menurut Kamus Dewan, tema adalah perkara yang mendasari sebuah cerita. Dalam penulisan cerpen, perlu ada SATU tema sahaja.

Sebagai contoh, kita menulis cerpen dengan tema ‘tanggungjawab seorang anak soleh’. FOKUS kepada tema ini. Tidak perlu campurkan dengan tema masalah pendidikan di rumah atau kesilapan cara ayah mendidik anak.

Plot

Ramai yang menganggap plot itu sebagai susunan cerita. Ia tanggapan yang tidak tepat.

Plot adalah sebab dan akibat.

Dalam penulisan cerpen, ia adalah perkara yang menyebabkan sesuatu konflik terjadi kepada watak utama. Seperti contoh tadi, menjadi anak soleh adalah akibat dan sebabnya adalah kesedaran daripada nasihat.

Tiada subplot dalam cerpen. Seperti contoh sebelum ini, kita tidak boleh menambah masalah anak dengan guru disiplin atau konflik anak yang mahu jadi anak soleh tadi dengan kumpulan pelajar samseng di sekolah. Nanti, cerpen kita akan menjadi novel.

Watak

Disebabkan had kepanjangan, tema dan plot, tidak perlu banyak watak dalam cerpen. Maksimum TIGA watak sahaja.

Contohnya, ada tiga watak dalam cerita anak soleh tadi iaitu anak, ayah dan seorang perempuan yang bertindak sebagai pelerai. Guru saya ajarkan, watak pelerai masalah ini berperanan sebagai pari-pari dalam cerita.

Seperti dalam cerita dongeng, watak pari-pari dimunculkan bagi meleraikan kekusutan Cinderella. Dalam cerita ini, perempuan yang menjadi pelerai tadi berfungsi menyedarkan anak mengenai tanggungjawabnya kepada ayah.

Latar Masa

Cerpen tidak perlu latar masa yang terlalu panjang atau ia akan menjadi janggal. Apabila latar masa panjang, pasti banyak perkara yang mahu dimasukkan. Ia akan mengganggu fokus tema dan watak terutama kepada penulis baru.

Mengapa saya kata begini?

Sebab penulis baru mempunyai masalah dalam mengawal perkara yang mahu ditulis. Saya juga, masih mengalami masalah yang sama. Jadi, sebagai langkah awal selesaikan masalah ini dengan menyusun LATAR MASA YANG PENDEK seperti 3 bulan, 3 hari atau 3 jam.

Saya beri contoh.

Cerita anak soleh itu hanya berlaku dalam satu hari, melibatkan perbualan singkat anak soleh dengan perempuan pari-pari yang menyedarkan anak mengenai tanggungjawabnya kepada ayah.

Latar Tempat

Seperti masa, latar tempat bagi cerpen juga terhad. Cukup dengan satu latar sahaja, supaya alur cerita mudah dikawal. Menambah lokasi dalam cerita akan membawa kepada penambahan babak yang kemudian menjurus kepada penambahan subplot.

Dalam cerita anak soleh, keseluruhan cerita berlaku di pintu masuk sebuah masjid. Di situ, watak anak soleh bertemu kakak (watak pari-pari) dan mereka berbual sehinggalah si anak tahu apa yang perlu dilakukan sebagai anak.

Bagi yang mahu membaca cerpen anak soleh yang saya jadikan contoh dalam perbincangan ini, boleh klik pautan ini: http://bit.ly/diaRM

Jadi, sudah tahu pasal perkara yang mencirikan cerpen?

Masih ingat saya kata ada elemen yang boleh tiada daripada cerpen?

Ia adalah plot. Ada cerpen yang ditulis tanpa plot. Ia berlaku tiba-tiba seperti tiba-tiba ada dua watak yang duduk di kedai kopi membincangkan sesuatu.


Itu sahaja perkongsian saya untuk kali ini. Semoga memanfaatkan. Yang baik itu daripada Allah. Mana-mana yang buruk dan tidak baik itu daripada kesilapan saya.

Jom selfie. Mari muhasabah diri.

7 Teknik Membangunkan Skil Penulisan

Kemahiran perlu diasah.

Bagaimana mahu membangunkan skil penulisan yang baik?

1. Pergi kelas penulisan.

Saya sendiri berguru dengan beberapa orang guru penulisan.

+ Selain menambah ilmu, kita akan bertemu ramai individu yang mempunyai minat serupa.
+ Ia membuka banyak peluang kerjasama selain ruang duduk dalam jemaah.
+ Saya menemukan penulis bersama buku Aku Terima Cintanya melalui kelas penulisan.

Aku Terima Cintanya. Order di sini.

2. Sertai seminar penulisan dan berkenalan dengan seramai mungkin orang bidang.

+ Di seminar, ruang bertemu mata dan berdiskusi lebih terbuka.
+ Banyak idea segar boleh didapatkan melalui perkongsian di seminar.
+ Cari projek dan rakan penulis di seminar.
+ Datang dengan minda dan hati terbuka, dengan niat mahu belajar.



3. Follow dan belajar dengan para senior serta rakan bidang di laman Facebook, Instagram, blog atau Twitter.

+ Kumpul tip yang dikongsikan para penulis lain di laman sosial mereka.
+ Pelajari teknik penulis senior berinteraksi dengan pembaca mereka.
+ Tegur penulis senior dan perkenalkan diri.
+ IG saya: @rahmahmokhtar

4. Dengar kuliah para penulis / jurulatih penulisan. 

+ Subscribe newsletter laman-laman yang aktif mengajar teknik penulisan seperti sekolahpenulisan.com dan kapasitor.net.
+ Google kata kunci berkaitan penulisan (bahasa melayu atau inggeris) dan gali ilmu dari mana-mana laman yang ditemukan.
+ Sesuaikan teknik penulisan yang diperoleh dengan budaya dan stail penulisan kita.
+ Ambil ilmu positif dan amalkan yang bersesuaian. Tidak semua kaedah sesuai untuk kita.


5. Terus belajar dan berlatih.

"Jika kamu mahu menjadi penulis, kamu perlu melakukan dua perkara dengan sangat banyak, melebihi hal-hal lain; membaca dan menulis."
- Stephen King 
+ Seperti mana-mana kemahiran, skil penulisan juga perlukan latihan yang banyak untuk mahir.

6. Sertai sayembara / pertandingan penulisan 

+ Pertandingan menulis adalah ruang yang baik bagi penulis menilai tahap penulisan sendiri.
+ Selain itu, ia turut membuka peluang bagi karya yang bagus untuk diterbitkan.
+ Nota: Pastikan tuan / cikpuan mengkaji syarat penyertaan.

7. Banyakkan membaca cerpen dan bahan bacaan berkaitan.

+ Tujuannya, supaya kita biasa dengan format dan gaya penulisan cerpen.
+ Mengkaji cerpen pemenang anugerah sastera atau sayembara adalah langkah yang baik.
+ Ulasan cerpen di majalah keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka seperti Tunas Cipta adalah ruang yang baik untuk belajar.
+ Munsyi Dewan, Puan Nisah Haron ada kongsikan entri 'Nikmat Membaca Buku-buku Tentang Buku' yang bermanfaat dan menarik untuk dijadikan amalan.

posted from Bloggeroid

Monday, March 9, 2015

9 Ciri Penting bagi Yang Mahu Menulis Cerpen untuk Majalah.

Ada yang bertanya, bagaimana mahu menulis cerpen untuk majalah?
Terdapat sembilan perkara pentig yang harus diteliti oleh penulis setiap kali mahu berkarya untuk majalah.



1. Format

Bagi mana-mana majalah, ada format piawai yang disenangi para editor.
- tulisan Times New Roman
- saiz 12
- langkau baris (spacing) 1.5 atau 2.0

2. Tema

Sesuaikan tema cerpen dengan majalah.
Kenalpasti tema majalah dengan membaca isu terkini majalah berkenaan.
Antara tema universal yang mudah diterima adalah :
i. Cinta
ii. Keluarga
iii. Masyarakat
iv. Persahabatan

3. Halaman

Had normal ialah 6 hingga 8 halaman.
Sekiranya tidak pasti, semak maklumat ini dengan editor ruangan atau bertanya kepada senior dalam bidang penulisan karya kreatif.
Insya-Allah, mereka tidak lokek berkongsi.

4. Surat Iringan / Profil Penulis

Surat iringan adalah surat rasmi yang memuatkan profil penulis.
Nyatakan :
- nama penuh,
- nama pena (jika ada)
- nombor IC
- alamat surat-menyurat lengkap
- nombor akaun bank

5. Etika Penulis

Sebelum karya dihantar, semak ejaan dan tanda baca.
Penulis yang baik akan menghantar karya dengan minimum kesalahan tatabahasa.
Periksa isu yang ditulis dalam cerpen, pastikan ia TIDAK menyentuh hal sensitif atau unsur lucah.

6. Hantar Karya

Terdapat dua cara menghantar karya kepada editor.
i. Emel
ii. Pos

Penghantaran melalui emel lebih disukai. Sekiranya mahu menghantar melalui pos, sertakan juga CD yang memuatkan karya kita.

Nota:

Tulis isi emel dengan sopan. Perkenalkan diri dan gunakan ejaan penuh di dalam badan emel.

Letakkan tajuk emel dengan jelas.
Contoh: Hantar Karya untuk Majalah Usrati (Judul: Kain)

7. Tempoh

Tempoh satu hingga enam bulan diambil bagi cerpen diterbitkan. Jika ia tidak terbit dalam tempoh ini, ia bermakna karya kita ditolak. Emel semula editor dan tanyakan status cerpen kita.
Bagi karya yang ditolak, perbaiki dan hantar ke majalah lain yang sesuai.

Nota:

Semak sendiri karya kita di majalah. Biasanya editor tidak memaklumkan penerimaan atau penerbitan karya.

8. Honorarium

Saguhati dibayar kepada penulis selepas karya tersiar.
Ia dimasukkan terus ke akaun penulis atau dikirim melalui cek.
Pastikan penulis menerima surat pengesahan penyiaran karya dan penerimaan honorarium.

9. Penting

Guru saya selalu berpesan, elakkan amalan PELURU TABUR.
Selidik keperluan karya majalah berkenaan (puisi, sajak, cerpen; terbuka atau tertutup).
Kawal keterujaan kita bagi melihat karya diterbitkan.

Apabila karya disiarkan, penulis TIDAK menyiarkan karya yang sama di mana-mana medium dalam tempoh ekslusif ia diterbitkan.

CATATAN BONUS

Bagaimana mendapatkan maklumat mengenai editor ruangan?
1. Semak emel editor di ruangan karya kreatif berkenaan.
2. Semak maklumat editor-in-charge di ruangan editorial majalah.
3. Bertanya senior dalam bidang penulisan.

Sudah dapatkan info editor dan tema majalah?
Mulakan merangka cerpen sekarang.

Bagi yang berminat belajar kaedah menulis cerpen untuk majalah, hantarkan emel ke tuliscerpen101[at]gmail[dot]com.

Mohon letakkan tajuk, Menulis Cerpen untuk Majalah.

Itu sahaja perkongsian saya untuk kali ini. Yang baik itu dari Allah dan mana-mana yang buruk itu daripada kesilapan dan kekurangan saya.

Jom selfie. Mari muhasabah diri.
posted from Bloggeroid

Thursday, March 5, 2015

Aku Terima Cintanya | The Making Of



Proses perancangan (dalam kepala) bagi projek ini bermula apabila Tuan Zamri Mohamad membuat tawaran terbuka di laman FB-nya; mencari penulis yang boleh menovelkan naskhah 77 Tip Melembutkan Hati Lelaki.

Waktu itu, tanpa berfikir panjang saya terus komen, "Saya!"

Mengapa?

Sebab ia antara impian saya sebagai penulis.
Saya menjadi penulis kerana mahu kongsikan ilmu yang dipelajari di dalam kuliah dan memindahkannya ke dalam teks santai, supaya ia dapat dimanfaatkan lebih ramai orang.

Saya anggapkan ini sebagai pembuka.
Sebab tidak mudah menterjemah ilmu kejuruteraan ke dalam cerita harian, dalam bahasa perbualan yan tidak teknikal.

Maka, langkah memfiksyenkan karya Tuan Zamri adalah proses menuju ke arah merealisasikan impian ini.
Segala tunjuk ajar guru penulisan saya, Cikpuan Azzah Abdul Rahman diaplikasi. Walaupun merangkak, saya gagahkan juga.

Tetapi, disebabkan saya bermasalah mahu menulis teks panjang yang mencecah ratusan halaman seperti novel, maka saya membuat keputusan menukarkan fiksyen novel kepada siri cerpen.

Hasrat ini dikhabarkan kepada Tuan Zamri selepas bengkel penulisan cerpen Tuan Bahruddin Bekri. Alhamdulillah, pengkarya naskhah asal bersetuju.

Akhirnya, pada 8 April 2014 saya mengkhabarkan cadangan ini kepada rakan penulis yang sudah saya sasarkan sebagai penulis bersama.

Alhamdulillah, ia disambut baik.
Pada cadangan awal, saya mencadangkan Tuan Abdul Muiez Ruslee sebagai ketua projek, sebab ketika itu saya sedang mengelola projek Komplot ke Syurga.

Maka, fasa menggali konsep karya pun bermula.

Mahu baca sampel cerita dalam buku ini, versi sebelum edit?
Klik saja bit.ly/terimacinta dan muat turun sekarang.

#akuterimacintanya

posted from Bloggeroid

Wednesday, February 4, 2015

Cerpen : Dia

Karya Dia ini pernah terbit di Majalah Usrati Isu 6.



DIA – RAHMAH MOKHTAR
Riak wajahnya lesu, seperti sudah lelah menanggung masalah. Lipatan tudungnya senget-senget dan pakaian tidak bergosok yang disarungkan ke tubuh membuatkan aku mudah kasihan.
‘Ah, gadis itu lagi!’

Sekejap-sekejap, dia melangkah ke depan. Tetapi, selepas beberapa saat dia berundur setapak. Tingkahnya membuat aku semakin tidak keruan. Hendak menegur dan membantu, aku khuatir dia tidak berhasrat kepada bantuan. Mahu memanggil, mendadak datang rasa sangsi.
‘Allah.... Kenapa aku perlu rasa begini setiap kali mahu membantu orang lain?’
Tiba-tiba, dia mendekat dan menegur.
“Kak, boleh bantu saya?”
Aku menoleh pantas. Tanpa dipaksa, rasa baik hati yang masih bersisa mengambil alih pilihan hati. Melihat dia yang masih teragak-agak, aku maniskan roman dengan seulas senyum.
Segera, aku mengangguk dan berkata, “Marilah. Insya-Allah, saya bantu yang mana termampu.”
Laju, dia mengambil tempat di sebelah.
Lima saat pertama, kami sama-sama senyap. Masing-masing tidak tahu bagaimana mahu memulakan. Menyibukkan diri, aku memandang corak lantai masjid yang selama ini tidak pernah menjadi perhatian. Sementara dia asyik berdehem, mencari nafas yang sesuai dengan rentak perasaan kami pada waktu itu.
Akhirnya, kami sama-sama membuka mulut.
“Apa...?”
“Sebenarnya....”
Demi pertindihan suara yang tidak dirancangkan itu, ketegangan antara kami mengendur. Kami sama-sama tersenyum.
Sebelum suasana bertukar janggal, aku cepat-cepat bersuara, “Ceritalah, saya dengar.”
Dia berdeham lagi sejurus memulakan, “Sebenarnya, saya selalu mengikuti kuliah masjid secara diam-diam. Saya duduk di sana, dan dengar diam-diam melalui pembesar suara masjid.”
Aku mengangguk sambil menghalakan mata ke arah tembok batu di luar pintu masjid.
Kemudian, dia menyambung lagi, “Saya selalu nampak kakak senyum. Muka kakak bersih, tenang. Sebab tu, saya nak minta bantuan kakak.”
Aku terus mendengar. Hasrat mahu bertanya yang menjejali hati aku tahankan supaya tidak terlafaz, supaya cerita dia tidak terganggu.
“Hidup saya terumbang-ambing, tidak tenang. Walaupun saya selalu ketawa, tapi hati saya selalu gelisah. Saya tak tahu mahu mengadu kepada siapa. Emak dah mati. Ayah pula, sedang sibuk bina kehidupan dengan orang baru. Hal sekolah saya, langsung tiada siapa mahu peduli. Selepas emak pergi, ayah hantar saya ke sekolah asrama. Sampai sekarang, ayah langsung tak datang jenguk.”
Aku terpempan. Tersentak mendengar masalah gadis itu. Lingkar hitam di sekeliling matanya aku pandang berlama-lama.
Dia kemudiannya diam dan menekur lantai masjid. Aku yang sejak tadi tidak berkata apa-apa semakin kehilangan kata.
‘Bagaimana harus aku memulakan?’
Melihatkan aku senyap, dia mengangkat muka dan bertanya, “Apa patut saya buat kak?”
Aku menelan liur, terbeban dengan pertanyaan yang penuh harapan itu. Matanya yang mula berkaca kian menambah beban di pundak.
Spontan, tangan kanan aku bertindak lebih pantas. Aku pegang tangannya dan kami berpandangan buat seketika. Selepas memastikan aliran nafas kami sudah seiring, aku melontarkan pertanyaan, “Sudah berapa lama kamu duduk di asrama?”
Jawabnya perlahan, “Tujuh bulan.”
“Selama itu, ayah langsung tak datang?”
Dia mengangguk sekali lalu menundukkan pandangan. Kembali berteleku memandang lantai masjid.

“Duit belanja?”
“Ayah kirim melalui bank.”

Aku mengangguk-angguk.
“Bermakna, dia masih peduli. Dia masih melaksanakan tanggungjawab. Betul dia tak pernah datang?”
Habis saja aku tanyakan soalan itu, air matanya tumpah. Mengalir laju, bersama empangan rasa yang dikekang berbulan-bulan. Aku membiarkan dia larut dalam emosi sementara fikiran terus mencanai rasa, mencari cara menguraikan kemelut perasaan dia.
Apabila tangisnya mereda, dia berkata dalam suara yang berselang esakan, “Ayah datang, tapi dia bawa mak cik....”
Aku mengangguk, semakin mengerti.
Luahku kemudian, apabila dia semakin tenang, “Hasbunallahi wa ni’mal wakil. Selalu bacakan doa ini, minta pada Allah supaya dia tenangkan hati kita.”
Mulutnya terkumat-kamit, mungkin mengulang baca potongan doa itu. Soalnya kemudian, “Apa maksud doa itu, kak?”
“Cukuplah Allah sebagai sebaik-sebaik pelindung bagiku.”
Dia mengangguk. Lambat-lambat, dia tersenyum nipis. Walaupun tidak dinyatakan, aku tahu dia sedang menghargai. Kemudian, kami sama-sama senyap. Menikmati ketenangan yang baru menjengah.
* * *
“Kamu tahu? Sebenarnya kamu sudahpun menerima hakikat yang ayah kamu sudah berbahagia dengan orang baru, tetapi selaku anak yang mahukan banyak perhatian, kamu memilih mengutamakan rajuk berbanding pengertian.”
“Apa maksud kakak?”
“Sebab kamu berani menyatakan cerita kehidupan kamu kepada saya. Itu tandanya kamu memilih mencari penyelesaian dan mahu hidup lebih baik. Kamu anak yang baik. Teruskan menyayangi ayahmu, sebab dia memang layak dikasihi. Walau bagaimanapun dia berkelakuan, dia tetap ayahmu dan seorang ayah patut disayangi dengan hati yang penuh kebaikan.”
Dia mengangguk-angguk, dengan senyuman yang kian lebar.
* * * * *