Thursday, March 15, 2018

Reviu Buku : BUDAK KAMPUNG CONGO


Buku setebal 224 halaman tulisan Zyed Ahmad Hassan ini baru sahaja terbit. Naskhah terbit sendiri ini kaya dengan cerita pengalaman orang lama. Saya menikmati pelbagai perasaan yang datang sewaktu membacanya. Saya terkejut, ketawa besar, tersenyum, cemas, terjerit, menutup mata, dan menangis sepanjang membacanya.

Melihat judulnya, ada yang menyangka ini himpunan kisah pemuda-pemuda dari Congo, Afrika. Tentu sahaja salah tekaan itu, apatah lagi untuk orang macam saya yang tak pernah tahu Kampung Congo itu adalah tempat yang sama dengan Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.

Dikatakan, nama itu diberi kerana ia diteroka sekumpulan askar Melayu yang pernah berkhidmat di Congo. Sebahagian besar kisah dalam buku ini meliputi dua lokasi utama; Kampung Congo dan Kampung Jeram. Sebahagian lokasi lain hanya disentuh selepas Budak Congo ini memasuki sekolah menengah dan alam pekerjaan.

Disusun mengikut kronologi usia watak, saya terhibur membaca kisah-kisah nakal waktu kecilnya. Seronok mengikuti perjalanannya yang sempat merasa pengalaman 'membuka' kawasan baru. Lebih menyenangkan, ia sisi cerita Kuala Lumpur pada tahun-tahun awal kemerdekaan yang jarang dapat dilihat.

Paling saya suka, ada pesanan, kata hikmah atau peribahasa yang diselit dalam setiap episod. Seperti sedang mendengar ayah berkongsi cerita waktu kecilnya, yang kemudian diseimbangkan dengan nasihat mengenai kehidupan.

Mahu dapatkan buku ini? Klik foto


Saya sangat terkesan dengan peristiwa di lombong. Terkejut dan cemas dibuatnya. Sehingga selepas beberapa bab ke hadapan pun, saya masih ingat babak itu.   Saya juga senang dengan cara penulis menyesuaikan pesanan dengan kisah yang dipilih untuk diceritakan. Antaranya dalam tajuk Merancang Strategi, diingatkan mengenai usaha untuk mencapai cita-cita yang dimulakan dengan ayat ini,

"Bercita-cita tanpa usaha bukan cita-cita tetapi angan-angan."

Juga, meskipun ada beberapa babak berunsur seram dan misteri, saya berpuas hati apabila ia sekali lagi diseimbangkan dengan pesanan yang baik.

Peristiwa di sekolah asrama membuatkan saya sedih dan kesal. Betapa dadah sudah terlalu lama menghancurkan anak muda kita. Sehingga sekarang, ia masih menjadi barah yang merosakkan mentaliti masyarakat. Penulis bijak apabila dia mencari jalan menyelesaikan situasi, paling kurang pada peringkat yang ada dalam kuasanya waktu itu. Ini sikap penting yang boleh kita contohi.

Ada satu hal
yang sangat menarik, iaitu kisah Latihan Dril Kecemasan di sekolah. Sayang, ia 'terpaksa' dibiarkan tergantung. Kalaulah ada banyak lagi cerita mengenainya. Kalaulah ....

Jujur, saya berharap dapat membaca lebih banyak cerita zaman pekerjaan. Cabaran yang dihadapi dalam membangunkan anak syarikat, sehinggalah dilantik menjadi kemudi. Tetapi, kata penulis ia sengaja disimpan untuk dimuatkan dalam buku kedua.

Tidak mahu bongkar terlalu banyak sebenarnya, tetapi tahu-tahu tulisan saya sudah panjang begini.

Ya, ini kisah orang biasa yang berusaha keras mencapai cita-cita.

Akhir kata, selamat maju jaya Tuan Zyed Ahmad Hassan!

Tuesday, July 26, 2016

Alhamdulillah, majalah ini sudah sampai semalam.
Rezeki, cerpen terbit di majalah isu 8, Ogos 2016.

Terima kasih tim Demi Cinta dan Telaga Biru Sdn Bhd yang osem.



Setiap kali ada cerpen terbit, saya baca semula dan bandingkan dengan karya yang dihantar.
Perhatikan beberapa perkara:

1. Perubahan yang dibuat oleh editor. Ini termasuklah,
- Ayat yang dicantas
- Ayat yang ditambah
- Ayat yang diubah susunannya

2. Cari kelemahan yang boleh dibaiki untuk karya akan datang.

Ini antara kelebihan menulis cerpen. Prosesnya jauh lebih pantas dan pendek berbanding novel.
Lebih untung, dapat baca juga perkongsian para guru dan tokoh ilmuwan dalam majalah yang sama. Dari situ, dapat bahan baru untuk ditulis.

Karya ini sudah lama dimulakan. Intipati idea ucapan DS Najib (ingat tak ucapan yang banyak kata pujangga tu?), saya kembangkan. Jadilah cerpen ini.
Jangan susah hati, ini bukan kisah politik. Kisah cinta, untuk sahabat dan keluarga.

Rahmah Mokhtar,
Hati ada cinta.

Mengintai Ruang Berkarya di Majalah (Cerpen)

Dalam dunia penulisan fiksyen, salah satu cara cepat untuk membina nama adalah melalui penerbitan cerpen di akhbar, majalah atau antologi penerbit yang tumbuh semakin banyak.

Secara tidak langsung, menghantar karya supaya terbit di ruang terbitan berkala menjadi platform yang baik membina momentum dan semangat untuk terus berkarya. Sementara menanti manuskrip novel dibukukan, kaedah ini ada masanya dilakukan ramai penulis tempatan. Kita juga tidak mahu menjadi penulis yang berputus asa kerana tidak ada karya yang terbit.

Hari ini, saya mahu berkongsi mengenai penerbitan karya secara eceran di majalah tempatan.
Bagaimana mahu melihat karya terbit di majalah?

Langkah Pertama: Beli majalah

Buat pelaburan awal anda dengan membeli majalah yang ada di pasaran. Ciri penulis yang baik, tindakannya dirancang dan bermatlamat.


Sudah ada majalah? Semak tiga perkara.
Satu, maklumat editorial dan ruang kolum majalah. Ada ruang karya pembaca? Jika ada, adakah ia ruang cerpen atau puisi?

Dua, periksa nama pengelola ruangan (jika ada) dan ambil maklumatnya.

Tiga, lihat maklumat penerbitan. Adakah ia diterbitkan secara mingguan, bulanan atau selang dua bulan? Mengetahui maklumat ini, penulis boleh mencongak masa untuk membuat follow up status karya.



Langkah Kedua: Kaji

Selepas memeriksa tiga perkara asas tadi, kita lanjutkan kajian. Baca isi majalah secara keseluruhan dan lihat jenis konten yang dikongsi. Tajuk-tajuk perkongsian para kolumnis, sering menjurus ke mana? Bahasa penyampaiannya, bagaimana?

Juga, kaji karya yang terbit. Apa yang saya maksudkan dengan kaji? Periksa tema, jumlah perkataan dan bahasa. Adakah karya mesti diselitkan hadis atau ayat al-Quran? Adakah kebanyakan karya yang terbit menggunakan POV1? Bahasanya, santai atau bagaimana?

Mengapa perlu baca isi majalah?
Untuk dapatkan ilmu baru, yang penting sebagai input dalam karya kita nanti. Kita adalah apa yang kita baca.

Langkah Ketiga: Tulis

Sudah tahu jenis karya yang terpilih untuk diterbitkan, mula merangka dan tulis karya kita. Bersesuaian dengan tema majalah berkenaan. Sudah siap, edit sendiri. Pastikan karya kita minimal kesalahan tatabahasa dan ejaan. Jika tak mahu edit, dapatkan khidmat editor bebas. Biasanya, harga servis di antara RM3.50 - RM6 per halaman, bergantung kepada tugasan yang diedit.

Siapkan juga satu dokumen lagi yang mengandungi profil penulis.

Apa yang perlu diisi dalam profil penulis?

Nama penuh,
Nama pena (jika ada),
Emel,
No telefon,
Alamat surat-menyurat,
Maklumat bank (nama bank dan no akaun),
Perakuan (penulis mengaku karya yang dihantar adalah bukan karya ciplak atau plagiat, juga belum pernah diterbitkan di mana-mana ruang online dan offline).

Penting: Letak nama dokumen dengan lengkap.

Contoh:
Cerpen Pangkat - Mingguan Wanita - Rahmah Mokhtar.docx
Cerpen Pangkat - Profil Rahmah Mokhtar.docx

Langkah Keempat: Hantar

Apabila karya sudah siap, buka emel, karang isinya dan hantar. Lampirkan kedua-dua dokumen, karya dan profil penulis.

Apa yang perlu ditulis dalam isi emel?

Ini yang selalu dikongsikan oleh guru-guru saya.
1. Ucapan salam, doa
2. Perkenalkan diri
3. Maklumat karya - sinopsis keseluruhan (setengah halaman A4)
4. Maklumat lampiran - nama dokumen yang dilampirkan.

Langkah Kelima: Tulis lagi

Selepas menghantar karya, kita terus menulis cerpen seterusnya. Tempoh menunggu karya terbit, selalunya di antara 1 hingga 6 bulan. Sepanjang tempoh itu, kita hasilkan karya lagi untuk majalah yang sama atau majalah lain pula.

Bila masa yang sesuai untuk buat follow-up?

1. Sehari atau dua hari selepas hantar emel, untuk tanya status penerimaan.
2. Selepas dua minggu, untuk tanya status penilaian (kala majalah mingguan).
3. Selepas sebulan, untuk status penilaian (kala majalah bulanan).

Letak tajuk emel yang jelas. Contohnya, Pertanyaan: Status Penilaian Karya

Bagaimana jika tiada khabar selepas enam bulan?

Selalunya, ia bermakna karya ditolak. Tenang sahaja, emel editor dan tanya status penilaian karya sekali lagi.
Jika tiada maklumbalas, hantar emel kedua dengan tajuk yang jelas; Menarik Semula Karya (Judul: Pangkat).

Dah tarik balik karya, edit dan sesuaikan dengan Ruangan Pembaca di majalah lain pula.

Baik, sampai di sini sahaja.
Selamat menulis!

Rahmah Mokhtar,
Suka menulis cerpen untuk majalah.

Tuesday, July 19, 2016

Rancang, Buat & Capai

"Sasaran tanpa perancangan, adalah semata-mata impian."

Impian, seringkali nampak terlalu jauh untuk dicapai.

Benar, apabila ia hanya diletakkan sebagai impian. Tanpa usaha mendekatkan jaraknya daripada kedudukan sekarang.

Saya olah kata-kata sahabat saya, Tuan Ikram al-Banjari, "Apabila kita takut mahu mencapai sesuatu, ketahuilah ada ketakutan yang lebih besar menanti. Itulah penyesalan."

Bagaimana mahu mendekatkan jarak impian melihat karya siap ditulis?

Langkah pertama selepas menanam impian, siapkan rangka asas dan rangka cerita yang boleh dijadikan panduan sepanjang proses menyudahkan karya.

Dalam rangka asas sebuah cerita, ada lima perkara penting untuk diambilkira:
1. Permulaan
2. Perkembangan konflik
3. Klimaks
4. Peleraian
5. Penyelesaian

Setiap perubahan jalan cerita ini akan melibatkan turun naik emosi dan perubahan corak pemikiran watak utama. Bagi menggabung jalin kesemuanya, ada tiga elemen untuk dimasukkan iaitu aksi dramatik, perkembangan emosi dan tema yang bermakna.

Apabila semua elemen digabungkan, ada dua perkara boleh ditambah dalam rangka plot.

Mahu tahu lanjut, kita cerita pada 24 Julai 2016, jam 2-5 petang.

Whatsapp 'Kelas Online Telegram' ke 011-1567 3645 untuk info pendaftaran.

Plagiat

Plagiat. Peniru.

Semakin dibincangkan, semakin rancak aktiviti ini berkembang.

Ada rakan kata, "Apabila karya ditiru, itu bermakna kita sudah menghasilkan sesuatu yang bagus. Plagiat itu sendiri adalah penghargaan."

Tetapi, ia bukan penghargaan yang boleh buat penerimanya tersenyum. Jiwa besar mana sekalipun, situasi begini mendatangkan marah.

Bayangkan, kita bersengkang mata sampai pagi. Ada masanya tidur sekadar lelap lima minit. Semata-mata mahu menyiapkan sesebuah hasil yang dikategorikan sebagai seni.

Tahu-tahu, apabila ia disiar, dihebah, ada pihak ambil dan salin bulat-bulat. Siap dalam masa tidak sampai dua jam. Ohoi! Tak menentu jiwa kita dibuatnya. Mendidih!

Selain ambil tindakan yang perlu, apa yang boleh dibuat?

Neelofa kata, pihaknya akan buat dua kali ganda lebih baik. Tinggalkan sang peniru dua langkah di belakang.

Kata sahabat saya, "Orang tiru satu, kita ke depan dua."

Kenapa? Sebab dengan sendirinya kita memang sudah di hadapan.
Yang meniru asyik melihat pesaing, sehingga lupa menggali potensi sendiri.

Naik tangga kejayaan satu per satu, dan nikmati kemanisannya sedikit demi sedikit.

Jalan terus.

Thursday, June 30, 2016

Bengkel Klik dan Tulis (Seni Fotografi Potret & Penulisan Kisah Hidup)

A picture tells a thousand words.

Benar.
Sejauh mana ia benar?
Kata Sebastyne Young, "A picture can tell a thousand words, but a few words can change its' story."

Seperti kerja seni yang lain, mengambil foto itu juga ada teknik yang tersendiri.
Ada kemahiran membaca momen yang boleh digilap supaya cerita yang mahu disampaikan melalui gambar, terus hidup dan dibaca sebagaimana yang kita mahu.

Bagaimana mengambil foto yang boleh diangkat sebagai ada cerita?

Saya kira, inilah tuah yang jelas seperti yang kita nampak di kaki sang ayam.
Peluang belajar seni fotografi potret & penulisan kisah hidup.

Info lanjut, klik bit.ly/29jVwzK

Sunday, April 24, 2016

Jejak Jodoh Berdua #4

10 Julai 2015.
Saya menghubungi puan penerbit semula.
Memberi khabar selepas bertanya kepada tuan mentor mengenai konsep dan stail penulisan yang sesuai.

Alhamdulillah, lampu hijau menyala.
Tidak menunggu, saya terus ke poin penting, 'status cadangan projek buku dengan Hafiz Hamidun.'

Kata puan penerbit, "Saya dah maklumkan pada dia. Tapi, dah banyak kali appoinment tertunda. Apapun, secara asasnya dia setuju. Cuma nanti, cikpuan kena buat satu contoh idea cikpuan tu. Senang saya nak tunjuk pada dia."

Automatik, mata bercahaya!
Tanpa silu saya beritahu yang saya tengah sengih. Sengih yang sungguh-sungguh lebar.

Tahu kami miting pukul berapa? Satu pagi.

Maka, proses menulis pun bermula. Sasaran, menyediakan sampel cerita untuk ditunjukkan dalam perjumpaan pertama.

Tapi, sebelum tulis cerita kenalah asingkan quote yang berlambak-lambak tu. Pening kepala dibuatnya. Mahu memilih dan menyusun semuanya ikut kategori.

Saya ambil empat hari jugalah untuk proses pilih-dan-pecah ini. Ada tiga kategori; Motivasi, Jodoh, Sahabat.

Cadangan asal, saya mahu tulis tiga cerpen - satu contoh bagi setiap kategori. Buat permulaan, saya tulis dahulu satu cerpen untuk tajuk jodoh. Mengambil inspirasi daripada lagu Jodoh Berdua, juga memanjangkan semangat Aku Terima Cintanya.

Hujung Julai 2015, ketika saya sedang sibuk dengan persiapan untuk majlis pernikahan dan kenduri kahwin adik (siapkan hantaran, bungkus doorgift, teman adik fitting baju, siapkan jahit manik untuk baju kenduri, etc), puan penerbit hantar mesej.

Bunyinya lebih kurang begini, "Minggu depan miting dengan Hafiz. Bawa proposal cadangan cikpuan yang kita bincangkan tu."

Terus kena serangan panik dan teruja tahap tinggi. Nak melompat gembira, tapi panik banyak sebab sampel cerpen belum siap!

Dalam masa kurang seminggu, saya siapkan satu contoh cerpen. Lagi dua, simpan diam-diam dalam Dropbox.

Akhirnya, tarikh itu tiba.

3 Ogos 2015. Sembilan pagi, puan penerbit telefon.
Mesyuarat waktu lunch!

Tiba-tiba banyak air liur dalam mulut. Telan semuanya. Tarik nafas panjang-panjang, dalam. Tenanglah wahai diri, tenang.

Baru sahaja bertenang, saya teringat.
'Proposal belum print!'

Cepat-cepat ketuk bilik adik segak....
.
.
.
Jejak Jodoh Berdua #4

Rahmah Mokhtar,
Pakar buat kerja saat akhir.


***
Maklumat pre-order, klik
bit.ly/1WaU04J
bit.ly/1WaU04J
bit.ly/1WaU04J

13 cerita, 13 pasang manusia. 13 quote untuk hati.
Sebab jodoh itu rahsia Tuhan.